Persidangan Kemuncak ASEAN ke-47 masih berdarah!
Dzulkifli Abdul Razak, Nov 08, 2025
Persidangan Kemuncak ASEAN ke-47 sudah lebih seminggu berakhir. Ramai yang masih bersorak "berjaya" kononnya disokong padu oleh kehadiran Setan Besar yang disambut penuh meriah dengan kebanggaan negara sebagai Pengerusi ASEAN. Dunia tersentak melihatkan gelagat ini kerana ada tangan-tangan terlibat yang berlumuran darah pembunuhan beramai-ramai bangsa Palestin lebih dua tahun lamanya, kalau tidak sejak 1948 lagi. Terkini, hampir 70 ribu nyawa tidak berdosa sekurang-kurangnya terkorban - kebanyakan wanita dan kanak-kanak. Dan masih berterusan pada saat-saat ASEAN dirasmikan dengan megahnya. Dunia terus terpegun dengan sikap talam dua muka ini apabila tidak sepatah pun tentang genosida rakyat Palestin disebut-sebut. Tidak juga renungan tafakur bagi mengenang peristiwa berdarah yang zalim itu. Malah sebaliknya! Berhibur lara, bersuka ria!


Tetapi bagi rakyat jelata tetap cekal azamnya. Tidak mudah digula-gula sebesar manapun Setan berada. Ramai yang keluar dengan rasa dukacita untuk membantah kehadiran Setan Besar serta kuncu-kuncunya. Namun dihalang pula pihak berkuasa sehingga tidak ketara maksudnya. Maka bersorak-sorailah kumpulan Setan Besar memuncak kononnya membawa laba buat Malaysia, menang-menang luangan mereka dalam membangunnya diplomasi dunia. Bukan boneka, sahutan kuncunya sambil mendabek dada tanda berjaya. Setan Besar gelak ketawa sambil memperkukuh lagi kedudukannya. Semua ini gara-gara politik neo-liberalnya untuk mendominasi negara yang lemah kepimpinannya.
Lantas rasa kecewa rakyat terus meluap-luap tatkala Setan Besar tiba dirai penuh upacara seolah-olah insan kudus yang banyak berjasa. Bukan celaka. Melampaui berpura-pura yang tiada hadnya sebagai "wira kedamaian antarabangsa" pujian mereka. Malang, ada yang termakan mentah-mentah mengiurkan puji-pujian dari Setan Besar idola kuncunya. Sehingga sanggup Gaza dilupakan dek terpukau oleh keghairahan menagih nama di mata dunia: akupun wira disamping Setan Besar. Tidak kiralah maruah tergadai asalkan Setan Besar turut nyata terpesona.
Maka tidak hairanlah selang sehari "episod jenaka" ini terpapar, dilaporkan anggaran 100 orang rakyat Palestin terbunuh, termasuk wanita dan kanak, angkara musuh durjana melanggar syarat gencatan senjata. Kelibat Setan Besar sudahpun hilang dari bumi Malaysia. Sedangkan kuncu-kuncu yang ada langsung kelu lidah mereka, tidak bermaya mengutuknya! Seakan-akan sudah turut kehilangan kemerdekaan berkata-kata mempertahankan prinsip yang telah tergadai.
Pendek kata, pementasan ASEAN telah mendedahkan berbagai rentak dan irama Setan Besar dengan percikan darah bangsa Palestin tidak berdosa ke atas wadah ASEAN seelok sahaja Kemuncak tersebut dikuburkan. Apa tidak! Pada malam itu juga, Israel dilapor melancarkan serangan udara di Lebanon, selepas Gaza! Presiden Lebanon meminta negara dipertahankan, sementara perdana menterinya mendakwa pencerobohan itu begitu biadap keatas kedaulatan negara. Tidak ubah Malaysia. Mereka menuntut dunia, termasuk ASEAN, mengutuknya! Tapi sepi! Malah, di Tebing Barat pula warga Palestin yang sedang memetik buah zaitun sebagai tuaian amalan biasa, dikatakan dikasari pihak Israel di perkampungan Turmus Aya. Tidak ada sesiapa yang membela.

Dalam pada itu, video tentang seorang Gaza yang ditahan dikatakan “diseksa” semasa ditahan di pusat Sde Teiman membolosi media sosial. Ia menimbulkan berbagai tanda tanya. Laporan mengatakan seorang pegawai tinggi IDF terlibat, lalu didesak letak jawatan dan ditempelak Israel sebagai derhaka. Namun dia sempat dipetik berkata: Adalah menjadi tugas kita untuk menyiasat apa-apa dakwaan munasabah tentang tindakan kasar terhadap seseorang tahanan. Tambahnya lagi, "malangnya prinsip ini tidak lagi diamalkan oleh semua orang" - tidak terkecuali para anggota Kemuncak ASEAN. Yang jelas, ini merupakan satu-satunya bukti yang Setan Besar tidak penuh berkuasa dalam membuat apa-apa tuntutan terhadap keadilan melibatkan Israel, apatah lagi para ikutan dan kuncu-kuncunya. Semua terus menyepi dan membisu tanpa malu! Hak asasi bangsa Palestin terhindar lagi di mata dunia!


Paling nyata sekali apabila duta Setan Besar di Malaysia turut menjadi jurucakap dalam mempertahankan persekongkolannya! Ini jelas nampaknya kebergantungan pihak bertanggungjawab tempatan untuk mendapatkan pembelaan dari pihak asing. Walhal, isu ini lebih mencerminkan hal dalaman yang tidak membenarkan campur tangan mana-mana pihak luar. Melainkan pihak luar berkenaan sudah mula menunjukkan kedudukan angkuhnya pasca ASEAN yang lemah untuk berdiri atas kaki dan amat memerlukan sokongan sang Setan Besar. Inikah agaknya yang dimaksudkan dengan kemenangan diplomasi dunia ala Setan Besar? Membawa isyarat tentang apa yang mungkin berlaku pada masa-masa hadapan selepas ini! Tidak ubah sebagai satu bentuk penjajahan halus lagi licik mengaburi mata. Pendek kata, bak menyerahkan kedaulatan dan budi bicara kepada pihak luar yang tidak lagi perlu diragui. Sebagai bukti tambahan terkini yang amat jelas sekali adalah kemunculan berita yang Setan Besar dalam masa begitu singkat sudah ingin melaksanakan langkah untuk “menyumbat” segala bahan media dari Hollywood ke dalam rangkaian berita dan maklumat awam negara, termasuk pada waktu perdana. Ini dikatakan ekoran "persetujuan" yang dicapai sempena Kemuncak ASEAN untuk memaksa kelonggaran syarat bagi memuatkan siaran asing melangkaui had ada kini. Misalnya, pada tahun 2009, Parlimen dimaklumkan bahawa had untuk siaran bahan tempatan adalah 80 peratus; adakah ini akan diturunkan untuk memboleh Malaysia di-Hollywood-kan? Tidakkah ini merupakan yang kita sudah berada diambang penjajahan idaman Setan Besar? Bagaimana pula dengan had penggunaan Bahasa Kebangsaan?



Pendek kata, pementasan Kemuncak ASEAN telah mendedahkan berbagai rentak dan irama Setan Besar masih berdarah dalam ingatan ramai seantero! Slogan "keterangkuman" dan "kemampanan" Kemuncak tersebut tercapai sekadar ala slogan Setan Besar untuk taksub menjadikan Amerika Syarikat perkasa semula - make America great again! Noktah! Begitulah idaman kuncu-kuncunya yang ingin tumpang sekaki bersama.
--
It always seems impossible until it is done Nelson Mandela (1918-2013)
