Berani dalam Benar: Udang Sebalik "Gambar"?
Dzulkifli Abdul Razak,
Okt 14, 2025
Berapa banyak wajah seseorang menteri wajar ada di dalam kampus, tidak termasuk gambar rasmi yang diberi oleh pihak tertentu. Apa pula KPInya?
Ini ditanyakan seorang siswa apabila satu lagi gambar bersaiz iklan terpampang di kampus. Gambar-gambar yang lama masih berpanjangan di beberapa tempat dalam berbagai bentuk. Masing-masing dijaga rapi oleh pihak berwajib.
Siswa-siswi agak hairan akan amalan ini. Ada yang untuk tujuan "Selamat Datang" kepada upacara rasmi walaupun singkat masanya, anggaran setengah hari sahaja. Ada juga untuk "Terima kasih" walaupun kadang kala hanya wakil sahaja yang muncul. Apapun bukankah ini sebahagian daripada kewajipan dan tanggungjawab seorang pegawai awam, termasuk sang politikus! Pun bergaji dan berelaun dalam menjalankan tugas tersebut. Malah sudah tentu ucapan selamat datang serta terima kasih diberikan secara terbuka semasa majlis yang berkaitan dengan "percuma" tanpa apa-apa "yuran" iklan. Dengan lain perkataan ia tidak perlu, hanya pembaziran belaka. Lainlah jika ada arahan tertentu untuk berbuat demikian berserta peruntukan khasnya! Dalam ingatan saya, ini pernah terjadi sekali, lazimnya tidak.
Ada pula yang menaikkan "petikan kata-kata" seperti ilham seorang pujangga. Dalam hal ini, berbagai ragam diperhatikan dan merupakan satu peluang bagi beberapa individu "tumpang sekaki." Sekali gus tertonjol dengan menteri menghiasi kampus. Satu langkah bijak mencuri tumpuan ramai. Terkini adalah nama glamour itu dan ini yang diselitkan sekali. Hal ini agak baharu bagi saya dalam dunia akademik, dan hampir mirip dengan gaya "pop" meraih populariti. Anehnya orang pop inginkan gelaran akademik, dan terbalik bagi orang akademik. Ada yang menggelarkan usaha ini "pseudo-academic" - gelagat akademik palsu! Dunia akademik umumnya sering lebih serius dalam hal ini atas dasar hormat dan beradab.

Oleh itu, bagi para pelajar antarabangsa amalan meletakkan gambar disana sini adalah pelik kerana tidak berlaku negara masing-masing. Lantas, tidak ambil pusing pun kerana pada akhirnya siapa jua pun akan terdedah kepada universiti mahu atau tidak. Jika niat serta prestasi baik dianjurkan mengikut lunas-lunas jati dunia ilmu, dipacu idea bernas akan terkenallah dia. Iklannya adalah tindakan mendalami budaya tegar akademik seantero seiring hak-hak asasi berilmu dan bersuara. Kalau sebaliknya, baharulah terkial-kial "mengiklan" untuk mendapatkan perhatian yang jauh tersasar. Namun, ini jarang berlaku di banyak universiti yang serius kerana budaya ilmiahnya ketal bukan palsu. Bahkan pemimpin universiti mendahului dalam hal-hal akademik. Bebas bersuara, bertindak dan berani - tidak takut atau untuk menurut sahaja. Maka martabat dan budaya ilmiah tinggi letaknya dan disegani ramai. Ambil sahaja apa yang berlaku kepada Harvard apabila Presiden Trump cuba memperlekehkan.

Mereka di kepemimpinan baharu bertegas mendapat hak-hak mereka tanpa membuta tuli mengangguk sahaja. Tidak pula cuba mengampu-ampu. Tidak mundur. Terus mara. Gigih berilmu. Tidak ada wajah-wajah individu kelihatan memandang ianya tuntutan bersama. Bukan berpuak-puak. Hak universiti dipegang rapi dan dilindungi oleh perlembagaan universiti serta negara. Malah mahkamah turut menyebelahinya. Itulah sebenarnya tugas presiden Harvard. Tiada halangan umpama AUKU (UUCA), tidak juga AKDN (ISA) dan berbagai lagi bertujuan menyekat kebebasan berilmu bagaikan "pseudo-academic" agar terus mudah dikongkong dan ditakut-takutkan serta dijajah minda, jiwa raganya. Sesuai dengan undang-undang sisa penjajahan yang digunakan kepada warisan bangsa sendiri. Janji untuk memansuhkan itu dan ini merupakan retorik penjajah semata-mata. Lantas pendidikan semakin menyerupai satu lagi bentuk penjajahan yang belum terpadam selepas 68 tahun merdeka.

Maka berbalik kepada pertanyaan siswa akan berapa wajah menteri di dalam kampus? Jawabnya mudah. Tiada. Ini berdasar pengalaman mengurus dan mengendali empat buah universiti tempatan sepanjang lebih 20 tahun keseluruhannya. Dan empat tahun di peringkat antarabangsa mengetuai Persatuan Universiti Antarabangsa berpangkalan di Paris. Yang mempunyai lebih 600 ahli institusi merentasi lebih 100 buat negara. Rata-rata soal tersebut adalah remeh. Lebih matang kepimpinannya lebih tegas pegangannya, lebih berani tuntutan haknya kerana ketua seumpama ini dipilih secara demokratik oleh warga masyarakat universiti. Bukan diangkat oleh individu tertentu dan masuk dalam satu kesepakatan (kini dipanggil "cartel"). Sekiranya yang dilantik itu tidak atau kurang kecekalan, amalan universiti akan bersimpang siul ke arah kepalsuan. Kesannya antara sebab aktiviti "pengiklanan" menjadi kencang kerana seperti ada udang sebalik "gambar" seperti mana amalan politik cetek yang diseret masuk dalam dunia akademia, mengikis budaya ilmiah jati. Jika Perdana Menteri pada awal pelantikannya pernah menolak usaha pengiklanan wajahnya, universiti perlu mengambil iktibar dari teguran bernas ini agar mengembalikan semula maruah dunia akademik serta ahli-ahlinya yang teruk dicemari sesuka hati sendiri! Soalnya adakah para pemimpin dan masyarakat terpelajar berani menunaikan hak ini sebagai tuntutan amanah abadi pendidikan? Tiada apa-apa udang sebalik batu?

Kita tunggu sahaja dan lihat nanti!
--
It always seems impossible until it is done Nelson Mandela (1918-2013)
