Berani dalam Benar: Buli peringkat tinggi - halus dan licik
Episod penderaan di kalangan kanak-kanak muda dan remaja sudah lama menjadi igauan bagi ibu bapa serta guru sekolah, malah di pengajian tinggi juga. Apatah lagi syarikat umum.
Walaupun ada yang telah dihukum oleh berbagai pihak, termasuk mahkamah, namun tidak menampakkan keredaan serta perubahan sikap yang ketara. Seolah-olah tiada keinsafan sama sekali terkesan sebagai keberhasilan ekoran pendidikan untuk "mencapai kesejahteraan diri", sepertimana yang dizahirkan oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), tahun 1996.


Dengan kata lain, matlamat asal pendidikan berteraskan FPK gagal diterjemahkan, walaupun berbagai dakwaan serta langkah dikatakan telah diambil melibatkan berbagai agensi.
Ringkasnya, segala langkah dan usaha bagaikan sia-sia belaka, umpama mencurah air di daun keladi. Asalkan ada sudah memadai - khalayak mudah berpuas hati dan pihak bertanggungjawab bersikap acuh tidak acuh selagi boleh ditepis dan tidak dipertikaikan oleh sesiapa, baik di medan Parlimen sekali pun. Sementara itu cerita-cerita penderaan terdengar disana sini, tetapi tidak terbukti dengan kukuh. Ramai yang memakan hati, dan merana senyap-senyap sendiri. Nasi sudah menjadi bubur! Noktah! Biasalah! sahutnya.


Apa pun, pada tanggal Julai 16 baru-baru ini, satu titik tolak yang amat berbeza berlaku. Berkaitan peristiwa kematian seorang pelajar Tingkatan 1 dari sebuah sekolah agama, kemelut luar biasa mula terlakar. Utamanya, pelajar tersebut terus dikebumikan tanpa melalui banyak tindakan yang lazim dilalui mengikut Kerangka Langkah Piawaian (SOP) yang termaktub. Kepada pihak mangsa, timbul tanda tanya tentang siasatan yang dianggap tidak memuaskan kerana tiada syor untuk membedah siasat agar dapat memahami lagi sebab musabah punca kematian berkenaan yang dilaporkan agak menyayatkan perasaan. Kini menjadi masalah negara!
Tambahan pula terdapat kononnya 'tanda-tanda lebam' pada mayat tersebut. Lantas ia membawa kepada rasa syak berlakunya 'kekasaran' yang mungkin berkaitan rapat dengan sebab kematian itu. Walaupun ada pandangan yang individu tertentu disyaki terlibat, ia tidak disusuli dengan pantas mengikut SOP sewajarnya.

Oleh demikian, rasa tidak puas hati mula membuak-buak merangkumi bukan sahaja kaum keluarga, malah sahabat handai yang rapat dengan mereka. Justeru, ramai juga turut sama musykil, menimbulkan rasa geram!

Maka pada Ogos 10, tercetus satu perhimpunan ribuan para penunjuk perasaan buat julung-julung kali dalam tragedi sedemikian rupa. Hashtag #JusticeforZara dan #JusticeforZaraQairina mendapat perhatian dalam media sosial melebihi 100,000 hantaran, dan terus meningkat hari demi hari. Ia satu kejutan yang tidak diduga sehingga pihak bertanggungjawab ternampak bimbang. Misalnya, diberitakan pihak mereka telah membuat tidak kurang dari 10 laporan polis dalam usaha 'menghalang' serta 'menyekat' swabalik serta perbincangan dalam media sosial serta pelantar lain yang dianggap tidak wajar sama sekali. Soal ketelusan serta percanggahan maklumat serta sikap sambil lewa menjadikan tragedi berkenaan memuncak. Lalu tuntutan yang menteri terlibat 'meletakkan jawatan' atas berbagai sebab yang agak jelas mula berkumandang. Layanan berat sebelah dipertikaikan dan membawa padah bagi pihak mangsa, berserta kelembapan mencari penyelesaian secepat mungkin. Ini bertukar heboh dengan gema "letak jawatan" dan "turun" yang cukup memalukan meliputi imej organisasi yang sekaligus terpalit buat negara!
Kepada pemerhati awam, seolah-olah sudah kehilangan maruah serta kedudukan untuk bertahan. Ini jelas terserlah dari celoteh, gerak-geri tubuh badan dan air muka mereka yang terlibat. Ternyata tidak lagi sejahtera padanya, andaian ada sesuatu yang hendak dirahsiakan dan diselindungi. Kata-kata kesat dan kurang sopan mula menunjukkan betapa kecewanya keadaan sejak beberapa minggu selepas tarikh Julai 16.

Kepada yang lebih peka, arahan menggali semula kubur untuk tujuan melakukan bedah siasat membukti kekecewaan yang sahih. Ia mengulangi persoalan mengapa hal ini terabai sejak tiga minggu lalu. Sedangkan ia satu hal yang boleh dielakkan dari menyakiti mayat sekiranya SOP berkaitan diambil perhatian serius dalam berlaku adil dan telus. Ini jugalah antara sebab utama desakan letak jawatan terpanggil. Hilang sudah kepercayaan untuk berlaku adil dan telus - sebagai amanah yang tidak boleh dipandang ringan untuk bertolak ansur dalam apa hal pun. Malangnya, mahu tidak mahu, dikusutkan lagi oleh pengalaman terkini tatkala sekelompok anggota masyarakat berusaha, dalam cuaca panas terik, menghantar memo tuntutan kepada menteri berkenaan. Mereka mendakwa pihak menteri tidak menepati janji untuk turun menerima memo tersebut secara peribadi, di perkarangan Parlimen. Yang menerima memo itu adalah wakil, lantas membuatkan keadaan lebih tegang diselubungi kesedihan yang tidak ubah dibuli atas dorongan kedudukan kuasa yang disandang. Bak kata pihak mangsa, menteri tidak menghargai peluang ingin bersua muka dan merapatkan semula perhubungan yang telah renggang. Sebaliknya, pilihannya untuk berada di ruang selesa dengan menghantar wakil semata-mata. Ia amat sangat dikesali. Keputusan kebudak-budakan, tiada langsung rasa empati, bersulam keangkuhan yang mendalami lagi luka masih berdarah!

Pendek kata, kepimpinan menyantuni rakyat hanya satu lagi retorik kosong - cakap tak serupa bikin. Sebenarnya kupasan kependekan MADANI membawa makna sebaliknya: Membuli. Angkuh. Diam lagi Dingin. Ampu. Naluri ternoda. Iri - serentak memudaratkan lagi keadaan, sengaja atau tidaknya.
Maksudnya, bukan sahaja penderaan atau buli meliputi para pelajar di sekolah dan IPT, seperti yang dihebohkan saban hari, tetapi nampaknya pihak kementerian masing-masing tidak terkecuali secara halus lagi licik bersikap dan bertingkah laku yang seerti dengan membuli dengan membudayakannya secara, sedar atau tidak. Oleh sebab itu jugalah buli terus-menerus menular dalam amalan yang mempengaruhi alam pendidikan. Dicorakkan bak kata pepatah: Guru (dan rakan sejawat) kencing berdiri, murid kencing berlari. Masakan murid membuli jika tidak mencontohi peringkat yang lebih tinggi, termasuk menteri. Dan selagi ini tidak diakui dan dinyahkan, buli akan berakar umbi dalam budaya MADANI tersendiri, meracuni peribadi. Bukan menyantuni sama sekali!
Doa kita bersama rakyat, agar isu terkini penuh tragedi ini memberi kesedaran yang buli sudah menyerapi institusi serba-serbi, dengan corak MADANI pilihan hati! Kita memohon semoga dilindungi Ilahi! Termasuk keluarga terdekat yang boleh menjadi sasaran buli tahap tinggi seperti yang dilaporkan berlaku kepada anak dan isteri. Entah siapa pula lagi? Semua isyarat buli sudah menjadi-jadi, melampaui. Untuk menjauhinya, semua lapisan pembuli perlu disanggah berani, bermula dengan peringkat paling tinggi sekali yang tidak lagi manusiawi! Lama sudah bersembunyi dibelakang MADANI.
