• 2025
  • "Kupohon maaf kepada rakyat, dari mercu Parliamen ini"

"Kupohon maaf kepada rakyat, dari mercu Parliamen ini"

- Dzulkifli Abdul Razak,
Ogos 1, 2025 
 
Boleh dikatakan kita masih beruntung kerana masih ada individu yang agak  berbeza dari kebanyakan. Pandangannya berisi. Hujahnya berani. Kata-katanya tersusun. Nadanya sederhana. Pegangannya tegas. Prinsipnya istiqamah.
 
Kejujurannya meresap terasa. Keyakinan ketara. Matlamatnya jelas. Budi bahasanya lembut. Budi pekertinya sopan. Budi bicaranya setimpal. 
 
010825      010825b
 
Banyak lagi yang boleh dijadikan tumpuan ramai. Kawan dan lawan. Tua, apatah lagi yang muda. Apa pun tuahnya melimpah ruah, terpercik kepada semua.
 
Tiada lagi keraguan, walaupun tidak berjawatan kayangan. Tidak pula sibuk mengampu ke sana ke mari. Yang benar tetap benar. Yang salah, salah. Tidak dicampur adukkan atas sesuatu berkepentingan sempit. Maka lidahnya tidak bercabang-cabang. Langkahnya tidak berpusing-pusing, melencung dalam menyampaikan yang mutlak!   
010825c
Sementara ramai masih dirasuk politik lapuk yang menekankan menang-kalah semata-mata, kepadanya adalah menang-menang! Semua mendapat laba, bahagia. Kerana rakyat itu umpama "raja."
 
Katanya: "Rakyat tidak pernah silap." Bukan seperti sang "elit" (kayangan) yang mudah lupa, apa lagi kini sebagai "sang penguasa" tidak disangka-sangka. Bak bulan jatuh ke riba. Sekali gus, umpama katak naik junjung. Lupakan diri. Lupa daratan. Lupa yang rakyat merana! 
 
010825d
 
Jadi diserunya kembali seperti belum memiliki kuasa. Juga dirujuk “ikrar murni yang pernah di lafaz" ketika sebelumnya. Jangan lupa janji-janji manis. Jangan juga bacul, menjadi pak turut sahaja. Gila kuasa. Sebaliknya, merendah diri dan kembali menginsafi semangat asal perjuangan (kalau masih berbaki). 
 
Menurutnya: "Kita menjadi sasaran kemarahan rakyat jelata. Perdana Menteri kita (sic) disuruh turun. Ada hikmah disebalik ini semua." Aamiin, namun, hanya terserlah kepada yang sedarkan diri akan rakyat telah "dikhianati," ujarnya. 
 
010825e
 
Lantas bermadah sepi: "Kupohon maaf kepada rakyat, dari mercu Parliamen ini." Sedangkan yang lain sibuk menuding jari bagaikan gergasi. Masih celupar dengan minda angkuh menang-kalah mereka. Rupa-rupanya, 25 tahun masih tidak mencukupi, walaupun setelah "turun ke jalan raya berkali-kali;" mereka akui. Masih banyak belum dipelajari dan dihayati pasca-Covid, satu ujian Ilahi kepada yang peduli. 
 
010825f
 
Natijahnya, jika ada satu-satunya pengajaran suci keramat yang turun mengatasi kemarahan rakyat, inilah dia! Jika dahulu dipantunkan berbunyi:
Siakap, senohong, gelama, ikan duri. Bercakap bohong, lama-lama jadi menteri. 
 
010825g
 
Kini direformasikan sebagai: Siakap, senohong, gelama, ikan duri. Banyak sudah retorik kosong, mana janji reformasi sebagai bukti! 
 
Maka, kepada individu berkenaan, terima kasih tidak terhingga atas madah pencerahan, bak sinaran batu geliga menerangi jiwa pewira, menghindari negara ditimpa berbagai malapetaka. Pernah kau bersuara yang pelik-pelik sering berlaku, dan tiada redanya. Apakah ini peringatan ada yang tidak kena?   
 
010825h
 
Apa pun, semoga kau direstui dan dilanjutkan usia, menjadi contoh seluruh Malaysia! Meneruskan, tanpa henti, menyedarkan perjuangan asal dalam membentuk masa hadapan pertiwi setiap generasi. Salam merdeka!  
--
          It always seems impossible until it is done          Nelson Mandela (1918-2013)