• 2025
  • Kewajaran Majlis Raja-raja mengharamkan vape sepenuhnya mesti disokong dan disanjung!

Kewajaran Majlis Raja-raja mengharamkan vape sepenuhnya mesti disokong dan disanjung!

Dzulkifli Abdul Razak,
Jun 20, 2025

Para pemimpin berbagai lapisan, khususnya yang tertinggi, sering melaungkan betapa ekonomi perlu diperkemaskan terlebih dahulu, sekali gus rasuah dinyahkan, juga bagaimana perpaduan harus dibentengi oleh pendidikan serta ketamadunan tahap tinggi, ditatang nilai dan budaya luhur lagi sejahtera. Tidak dapat tidak ini diakui sebagai asas penting dalam memupuk sebuah negara bangsa yang jati, terhormat dan berdaulat. Tanpa tolak ansur.  

Namun, sejujurnya, setiap satu ini tidak kalis dengan sendirinya. Masing-masing bergantung satu sama lain. Ekonomi tidak akan utuh jika rasuah tidak terbasmi sehingga ke akar umbi. Begitu juga rasuah akan kekal jika ekonomi merudum. Dan rakyat di perhambakan berbagai cara. Rasuah menjadi "amalan" mencari "rezeki" yang dinaungi kuasa serba-serbi. Malah pendidikan turut dirasuahkan juga oleh kuasa tertentu di semua peringkat, sehingga perpaduan terjejas, kalau tidak membudayakan kebencian berpaksi nilai sengsara bukan sejahtera!  

200625

Amalan penderaan, penodaan, perkosaan terus meluas dan masyarakat teramai, mengheret ketamadunan dalam kancak kehaiwanan mengikut kehendak sendiri. Seiring igauan ekonomi yang mengamalkan apa sahaja yang wajar bagi kuncu-kuncu ikutan masing-masing! Maka segala-galanya berkitar semula dan terus-menerus mendedahkan anak bangsa kepada gerhana masa hadapan !

Dalam hal ini, satu faktor pokok sering tidak kelihatan. Malah dilupakan. Ramai agaknya, sudah tentu generasi muda, tidak terkesan dengan pengisytiharan musuh negara nombor satu sejak awal 1970an lagi. Pada pertama kali istilah "dadah" digunakan secara meluas untuk memberi fokus kepada perang terhadap musuh utama tersebut. Seluruh lapisan masyarakat terlibat dan digerakkan. Tiada tolak ansur. Azamnya pahit! Malangnya cabaran terus memuncak. Usaha gigih yang dilaburkan tidak kesampaian. Industri haram membancuh dadah merbahaya tidak mudah dileburkan. Tarikan ekonominya begitu menawan dan sukar ditepis, apa lagi dilincirkan dengan amalan rasuah serta tindakan tidak beretika dan tidak berperikemanusiaan terhadap sesiapapun. 

200625b

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan dadah ganja digunakan sebagai "perangkap" dengan dakwaan bertujuan pengainayaan dari segi undang-undang. Maka tidak hairanlah yang perang membanteras gejala dan salah guna bahan berbahaya tersebut menemui jalan berliku-liku yang berisiko tinggi. Menuntut nyawa serta jiwa raga sebagai perisai dalam menunaikan amanah yang digenggam. Tidak kurang yang gugur dan merana demi menyelamat negara dari serangan durjana.  

200625c

Namun begitu ada ketika pihak berkuasa serta kerajaan yang dipertanggungjawabkan cuai dalam menjalan amanah mereka. Baik dengan sengaja atau tidak. Malah atas sebab-sebab ekonomi juga ada peristiwa di mana amanah dan tanggungjawab dikompromikan untuk laba ekonomi dan cengkaman kuasa.  Tiada contoh yang paling sesuai selain keputusan yang "menghalalkan" penggunaan vape cair dan gel mengandungi nikotin dua tahun lepas. Keputusan sebulat suara oleh kabinet pada masa itu membolehkan sesiapa sahaja menggunakan berbagai ramuan vape sesuka hati mereka sehingga sekarang. Ramai remaja kecundang. Tiada lagi had umur seperti yang dikenakan oleh kawalan Senarai Racun di bawah Akta Racun 1952. Kelonggaran ini adalah atas arahan mengutip cukai untuk mencerahkan mengikut laporan yang diuar-uarkan. Apapun ramai para profesional kesihatan sama ada setempat dan antarabangsa tidak bersetuju - malah bercanggah - dengan kedangkalan keputusan yang diambil. Perkara ini sering diulang-ulang untuk membetulkan keadaan sewajarnya, tetapi tidak mendapat apa-apa susulan berkesan, entah mengapa!  

200625d

Oleh yang demikian, apabila muncul berita yang beberapa buah negeri mengambil langkah untuk mengharamkan vape sepenuhnya di negeri berkenaan, satu ujaan hebat mula dirasai oleh negara! Langkah berani yang telah lama ditunggu-tunggu menjelang tiba sudahnya. Contoh terkini, adalah negeri Pahang yang secara rasmi mengharamkan penggunaan rokok elektronik atau vape di negeri itu. Mengikut laporan, keputusan itu diumumkan exco kanan Pahang dalam sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa agama negeri. Petikan  "pendirian dalam hal berkaitan vape sudah difatwakan Pejabat Mufti Pahang dan dirujuk ke pejabat penasihat undang-undang negeri."

"Perkara ini juga sudah dibentangkan dalam mesyuarat exco Pahang pada 14 Mei lalu dan mendapat limpah perkenan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah," jelasnya. Tambahan, keputusan mengharamkan penggunaan vape itu juga selaras dengan titah Al-Sultan Abdullah sebelum ini yang mahukan kerajaan Pahang mengharamkan penggunaan vape secara menyeluruh. Pada 19 November 2024, Al-Sultan Abdullah telah terlebih dahulu menyuarakan perkara itu: "Alat vape ini adalah alat yang merosakkan kesihatan. Saya akan menyuarakan kepada kerajaan supaya vape perlu diharamkan secara total. "Tidak perlu diberi pertimbangan sewajarnya, bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia," titah baginda, yang menganggap vape sebagai antara punca utama golongan muda terjebak dalam ketagihan dadah secara langsung atau tidak.  

200625e

Dalam perkembangan berkaitan, ketika ditanya sama ada pengharaman menggunakan vape itu turut membabitkan pengharaman penjualan peranti itu di semua premis di Pahang, ini diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk penguatkuasaan dan pelaksanaan dengan tegas. Bahkan pihak kerajaan negeri mencadangkan supaya penjualan vape dikurangkan secara beransur-ansur atas kemampuan PBT sendiri. Seboleh-boleh mulai tahun depan,  tidak ada lagi tempat atau premis menjual vape. Agar para peniaga vape atau rokok elektrik, tidak lagi perlu tambah bekalan dan stok yang sedia ada. Noktah!

Langkah berani negeri Pahang ini menguatkan lagi tindakan sama berani bagi empat negeri lagi yang turut mengharamkan penjualan vape, iaitu Johor, Kelantan, Terengganu dan Perak. Ada beberapa lagi disebut-sebut akan turut serta dalam masa terdekat! 

200625f

 

Maksudnya, azam kerajaan-kerajaan negeri di bawah naungan Raja-raja jelas mengatasi omong kosong kerajaan pusat serta agensi di bawahnya. Sekali gus memberi harapan menggunung selepas begitu ramai yang berputus harapan dalam membanteras penghalalan vape bikinan sendiri. Dengan kata lain, Majlis Raja-raja merupakan satu-satu tampuk kuasa yang rakyat dapat bergantung untuk membela nasib mereka yang dipersia-siakan. Kita mensyukuri ketegasan Raja-raja dalam melindungi rakyat jelata sedang mereka yang diamanahkan melalui peti undi muflis tindakannya! Kaya-raya dengan wang haram melalui penjualan vape! 

200625g

          It always seems impossible until it is done         

Nelson Mandela (1918-2013)