Selamatkan negara melalui ekosistem pendidikan bermakna
- Dzulkifli Abdul Razak,
Mac 16, 2025
Negara akan gagal sekiranya pendidikan kecundang! Ini adalah antara intipati utama diperolehi semasa persidangan meja bulat yang berlangsung pada tarikh bersejarah Mac 14, 2025, diterangi pula oleh barakah Jumaat di Putrajaya. Usahasama dianjurkan oleh Kementerian Ekonomi dan Akademi Sains Malaysia (ASM) merupakan satu inisiatif yang sudah sampai masanya bukan sahaja kerana berbagai perubahan sedang berlaku seantero, ia juga mengambil peduli tentang keadaan di tanah air sendiri. Masing-masing mempunyai kepincangan yang wajar segera diambil berat. Misalnya, di Amerika Syarikat, kebimbangannya meruncing apabila kerajaan pimpinan Donald Trump meluluskan beberapa arahan presiden untuk menutup dan melumpuhkan Jabatan Pendidikan peringkat pusat "sekelip mata" tanpa banyak usul periksa cukup mengejutkan banyak pihak khasnya sektor pendidikan dinegara itu sendiri. Ditambah pula dengan beberapa langkah memotong sumber kewangan kepada semua pihak yang tidak akur, termasuk universiti-universiti dikatakan terbaik di dunia seperti Universiti Columbia. Ini memberi isyarat yang Trump tidak berjenaka dalam hal tersebut, serta terus mengasak dengan beberapa dasar bertentangan dengan amalan kepelbagaian, kesaksamaan dan keterangkuman (DEI) untuk mengimbangi keberhasilan pendidikan sejak tahun 1980 lagi. Namun kini DEI dianggap sebagai satu dasar perkauman terhadap rakyat berkulit putih ramai. Maka kini diarah agar ia dinyahkan serta dirungkai keseluruhannya secepat mungkin. Tidak ada soal-jawab dan tolak-ansur lagi. Buat, jika tidak akan di hukum serta berkemungkinan ditutup sama sekali. Nohtak.
Kepada ramai yang mengkagumi Amerika Syarikat sebagai "syurga" demokrasi dan kebebasan tanpa batasan, tindakan ini tidak kurang merupakan satu penghinaan yang amat sangat. Lalu enggan menerimanya membabi buta apabila kepentingan pendidikan dijadikan percaturan politik sempit berbaur perkauman yang cukup berat. Apalagi ditekan dan diumpan dengan wang ringgit rakyat bagi memakmurkan agenda peribadi bersalut nilai politik menjijikkan. Lantas berbagai dasar diwarnai mengikut selera masing-masing untuk menjadikan Amerika perkasa semula (make America great again) konon! Sama ada ia boleh berjaya sebagai negara yang matang lagi terbuka akan diadili oleh dunia kelak. Semua ini mengimbau semula akan sebuah buku: "Excellence without Soul" (Kecermalangan tanpa Roh) terbitan Universiti Harvard yang turut terdesak sebagai bukti. Rohnya sudah lama mati.
Pun begitu, bagi sebahagian besar dunia, khususnya di Selatan, yang membangun dan kurang atau tidak demokratik, gelagat ala Trump ini bukan satu perkara baru. Institusi pendidikan yang ada dinegara masing-masing tidak perlu ditutup pun, kerana ia tidak pernah "terbuka" sepertimana dialami negara maju akibat kekangan politik sifar nilai; bersalut amalan peruntukan kewangan yang tidak telus dan tidak amanah berasaskan dasar dan pandangan lebih berbentuk anti-intelektual bagi mempenjarakan naluri berfikir dan berkarya, sekali gus menzahirkan juga pendidikan tanpa roh! Pendek kata, pendidikan diperkosa tanpa segan silu sepertimana dilakukan Trump dimata dunia. Hanya watak seperti ini tidak mengusarkan sebagaimana watak Trump kerana ia sudah menjadi kelaziman selama ini. Terbaru DYMM Sultan Pahang menggunakan panggilan "badut" bagi kelompok ini! Pelipur lara membawa bala kepada semua.
Maka masanya sudah sampai untuk sesuatu dilakukan dalam mengembalikan roh serta maruah negara sendiri melalui pendidikan bermakna. "Badut" segala rupa tiada tempat didalamnya. Keadaan bertambah tenat angkara berbagai fitnah.
Disinilah terletaknya keunikan persidangan meja bulat tempoh hari. Ia bukan sekadar pemukiman biasa, bermalam-malam sesama sendiri, mencari populariti dalam integriti. Sebaliknya, ia padat untuk setengah hari dengan cadangan serba berisi olahan ASM. Diikuti dengan pembicaraan "bebas" oleh berbagai sektor masyarakat profesional memberi pandangan ikhlas baik dari aspek dan kelompok orang asal, golongan pra-sekolah, pakar perangcang dan peniaga. Turut bersama para saintis serta cendekiawan pendidikan, serta anggota dari badan bukan kerajaan - semua dipengerusikan oleh Menteri Ekonomi yang banyak mendengar tanpa prasangka dari berucap utama. Atau satu lagi "blueprint."
Hatta, mutunya memberangsangkan merangkumi pelbagai pendapat dengan beberapa ketetapan yang turut dihalusi lagi bertujuan usaha menyelamatkan pendidikan sebelum dibaham bibit-bibit pemikiran serta kerakusan Trump yang mula menyelinap masuk secara tidak disedari. Bagi pengajian tinggi, gerhana ilmiah yang terus menyelubungi sejak kebelakangan ini merupakan petanda yang tidak amat baik, amat memerlukan ubat cepat, bukannya azimat.
Ringkasnya, persidangan meja bulat tersebut berkesan buat langkah berani sejajar dengan kehendak semasa dan terkini. Maka ia wajar didokong serta diteruskan sebagai bukti kemampuan berdikari membina negara bermaruah diatas ekosistem pendidikan yang tidak kepalang. Bukan kecundang. Banyak masa sudah terbuang, sepak terajang, atau bersembang-sembang; temberang lidah bercabang. Ratusan peluang terlepas pandang.
Demi masa terluang, ayuh, kembali berjuang, agar kesempatan badut Trump tidak lagi menjelang. Supaya tabiat lama tidak akan berulang menghindari nasib sang lebai malang!