Berani dalam Benar: Kembara Ramadan dicemari vape bernikotin
- Dzulkifli Abdul Razak, Mac 9, 2025
Ketika Ramadan menjelang tiba, ramai yang merasa tuahnya dalam suasana semasa. Ketika hidup terhimpit, Ramadan membawa kelegaan dengan menginsafi betapa ramai pula yang lebih sengsara hidupnya. Ramadan bagi antara kita sekadar ujian yang difardhukan, sedangkan bagi segolongan lain umpama satu kenyataan seharian tanpa ketentuan penghujungnya. Namun masih ramai yang mensyukuri nikmat dengan hati terbuka. Rela segala-gala.
Apatah lagi pada Ramadan kali ini dilaporkan harga barang makanan lebih mahal, mengalahkan janji yang semua akan reda. Membela rakyat jelata katanya. Ia kini dusta yang menodai kesucian Ramadan menuntut bukan sahaja lapar dan dahaga, tetapi semua kata dikota. Yakni berkata-kata nista perlu dipuasakan juga. Jika tidak, cacat ibadah puasa atas sifat talam dua muka. Lidah bercabang tiga - alamat hanya berlapar dahaga tanpa barakah pahala yang dimusnah oleh celupar kata-kata dusta durjana.
Alam pemikiran tiada bezanya, lebih terseksa kerana niat dihati pelbagai warna. Tidak sempurna. Lisan dan tindakan sering bercelaru. Kadang kala bertentangan sama sekali. Sebagai bukti, ini terkesan apabila seorang remaja mengakui Ramadan kali lebih sukar baginya daripada tahun-tahun lalu. Tatkala ditanya mengapa, jawapannya amat nyata: Saya ketagih vape! Dengan air muka cukup suram remaja terus bercerita. Ada antara rakan-rakannya berpura-pura berpuasa kerana tekanan ketagihan vape nikotin amat tinggi, menyala. Apa tidak, kajian ketagihan jelas membuktikan bahawa kesan ketagihan nikotin sama giannya dengan orang ketagihan dadah merbahaya, heroin! Kejamnya.
Namun, heroin sekata diharamkan diseluruh dunia termasuk Malaysia, walhal bagi vape bernikotin sebaliknya. Malaysia satu-satu yang "menghalalkannya" untuk remaja usia 18 tahun kebawah mulai April 2023. Tarikh celaka bagi usia ini, apabila kerajaan atas nasihat menteri kesihatan meluluskan tindakan bersifat genosida melalui bahan nikotin dalam vape sambil menidakkan pendapat para pakar tempatan mahupun antarabangsa termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Malah WHO ada memberi amaran bahawa tindakan Malaysia berkaitan vape akan mengwujudkan golongan penagih terbaru sepertimana yang dialami remaja tadi. Tidak sampai pun tiga tahun, gejala anak remaja kita akan ditimpa musibah genosida akibat keputusan kerajaan, sudah mula menjelma. Amat memalukan di mata dunia memandangkan kedangkalan kefahaman negara.
Tambahan pula selepas bertalu-talu desakan membatalkan "penghalalan" barang haram dalam bentuk vape bernikotin, sedangkan tembakau bernikotin kekal diharamkan di bawah Akta Racun 1952! Inilah yang jelas dimaksudkan dengan talam dua muka. Lidah bercabang tiga. Satu hakikat yang nyata, cakap tidak serupa bikin. Sangat berbeza dengan isu beberapa kepingan "ham sandwic" terkesan di sebuah universiti kebelakangan ini dan mendapat perhatian negara daripada pelbagai kumpulan agamawan, ilmiah, pihak berkuasa serta rakyat jelata. Marah-marah atas sangkaan "ham" itu sebagai daging babi yang mendapat iklan halal (palsu). Ini juga merasuk kampus-kampus lain apa lagi para pelajar serta khalayak luar. Anehnya, kes vape sunyi sepi sepanjang tiga tahun berlalu meracuni ribuan anak remaja tidak berdosa, kebanyakan dalam usia pelajar universiti dan sekolah apabila vape dijaja seluas-luasnya tanpa apa-apa sekatan lagi. Sedangkan ham sandwic tidak sampai ratusan terlibat, dan kalau lebih ramai pun tidak meracuni, tidak ketagihan, tetapi pembekalnya didakwa dan dihukum walaupun ham berkenaan tiada DNA babi mengikut ujian terkini. Kesalahannya lebih kepada pemalsuan sijil sungguhpun pasti "halal" pasca kajian. Tidak begitu bagi pembekal vape yang terus bermaharajalela dengan aktiviti genosidanya yang terang-terangan tidak halal disokong tepu anggota jemaah menteri kononnya! Duta tuhan antara mereka pun enggan bersuara lantaran mengorbankan belia dan remaja dalam mandatnya!
Mengapa agaknya vape bernikotin dijadikan "anak kesayangan" merupakan tanda tanya sehingga sekarang, apatah lagi menteri kesihatan terkini lebih arif dalam kes keracunan dan ketagihan. Masih membisu seribu kata dalam mendapat penyelesaian segera terbentang di hadapan biji mata kepala. Tidak amanah dan adil dalam memelihara keafiatan anak bangsa, kesimpulannya. Pun begitu, setiausaha politik kanan perdana menteri seawal tahun ini dipetik berkata: "Agak sukar untuk kerajaan membuat keputusan drastik mengharamkan vape." Lebih tidak masuk akal apabila menyarankan "anak muda" menunggangi bahan haram beracun ini untuk memungut kekayaan, tidak peduli sumber haram kerana ancaman maut seperti diakui umum. Tidakkah ribuan bakal penagih dalam masa terdekat menjadi pertimbangan berat untuk menyahkan vape dan tembakau sekali gus. Kerana ketika ini sahaja begitu ramai sudah tidak atau sukar berpuasa akibat kesan durjana atas pengakuan "sukar kerajaan membuat keputusan."
Cukup jelas, ini pembohongan terang-terangan kerana kerajaan yang sama mengambil "keputusan drastik" apabila menghalalkan vape pada saat-saat akhir menjelang April 1, 2023. Ia melibatkan menteri kesihatan ketika itu, angkuh menafikan hak dan pandangan teramai yang tidak setuju sama sekali tindakan songsang lakunannya. Apa sukarnya jika menteri kesihatan kini (seperti mantan rakan seadanya) membuat pusingan-U juga drastic untuk meletakkan kembali vape bernikotin tersebut di bawah kawalan Akta Racun 1952! Kalau dahulu boleh atas alasan arahan menteri kewangan (juga perdana menteri), sudah tentu langkah yang sama boleh dilakukan sekelip mata juga atas arahan yang sama. Hendak seribu daya.
Istilah "sukar" sama sekali janggal penuh kepura-puraan sempena bulan Ramadan Mubarak yang menuntut melakukan sehabis baik! Mahu atau tidak sekali gus bermakna melenyapkan satu lagi rintangan besar supaya para remaja khasnya mampu berpuasa mengatasi ketagihan nikotin, sepertimana bahan tembakau. Suatu amalan makruf yang jelas, sejelas-jelasnya, melainkan ada niat jahat tersembunyi di belakang kedayusan mengakui untuk bertindak benar. Pendek kata, munafik!
Ramai yakin bahawa para pakar yang dahulu tidak setuju dengan tindakan-U pada 2023 akan berlumba-lumba membantu. Malangnya, pihak yang beramanah (termasuk badan agama berwajib) tidak ambil pusing dalam menghalang pencabulan kesucian Ramadan secara sengaja. Melainkan dua buah negeri yang ingin mengharamkan vape bernikotin secara menyeluruh, selainnya tidak bingkas pun. Pada akhirnya, bak soalan para remaja yang musykil: "Siapa kesudahan memikul dosa tidak berpuasa hasil kecurangan meletakkan tanggung jawab dan amanah kearah genosida warga sendiri.@ Jika inilah sikapnya, menentang genosida lebih besar di Gaza dan Palestin sekadar igauan belaka. Hanya menunggu bala kerana mereka yang alpa dan talam dua muka, lidah bercabang tiga. Kembara Ramadan tidak lain pementasan sia-sia sahaja, terus dicemari vape bernikotin tanpa kesudahannya.
--
It always seems impossible until it is done Nelson Mandela (1918-2013)