Berani dalam Benar: Peluncuran, pelancaran, pelancuran dan pelacuran - yang mana satu idaman qalbu?
Dzulkifli Abdul Razak, Feb 24, 2025
Baru- baru ini, Malaysiakini (Feb. 20) melaporkan teguran semasa perbahasan di Parlimen melibatkan seorang menteri yang dikata menggunakan perkataan "pelancuran" semasa membaca ucapan. Lalu ditegur oleh wakil rakyat pembangkang yang menyarankan perkataan sebenarnya adalah "peluncuran" - merujuk kepada istilah "launching" dalam bahasa Inggeris. Mengapa tidak "pelancaran" ? Ini agak mengecewakan, kerana Menteri berkenaan dilaporkan tersalah sebut!
Isu tentang "peluncuran" atau "pelancaran" ini sudah berlarutan begitu lama tanpa penjelasan yang memuaskan. Lebih mengikut idaman qalbu masing-masing. Betul atau tidak, bukan soalnya. Yang jelas "peluncuran" lebih berpihak kepada bahasa Indonesia (diakui oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, DBP) sedangkan bagi Malaysia, "pelancaran" untuk sekian lama tanpa apa-apa kekeliruan atau kemusykilan. Makna kedua-duanya hampir sama jika dirujuk kepada bahasa Inggeris sebagai bahasa sumber. Ia hanya sekadar pilihan dan konteks kenegaraan. Malah ada yang tidak kisah pun asalkan maknanya sampai. Itu tepat tetapi tidak semudah yang diduga. Kerana masing-masing mempunyai perbedaan serta kecenderungan tertentu mengikut sumber rujukan kamus di kedua-dua negara sungguhpun serumpun! Ia secara tidak langsung menggambarkan gaya hidup serta ragamnya sesuai dengan masyarakat berkenaan. Tidak ada salahnya, tetapi ada kefahaman kita sendiri yang perlu didahulukan, sebelum kera dihutan disusui menurut hikmah perpatah.
Mengapa meminjam pula sedang kita negara yang berdaulat dan bermaruah tersendiri. Pun mempunyai kota kasa tersendiri. Lantas sering menguar-uarkan bahasa serta budaya sebagai tanda kebesarannya. Termasuk mengutamakan nilai, adab dan amalan setempat berteraskan Bahasa Kebangsaan, antara hakikat terpenting sekali. Maka "pelancaran" menjadi pilihan utama sealiran dengan cogan kata - Bahasa Jiwa Bangsa. Bahasa Malaysia, Bangsa Malaysia!
Ada yang berpendapat bahawa kata-kata pinjaman agak lazim dalam dunia pendidikan. Dan menandakan perkembangan bahasa kebangsaan kita. Mungkin esok lusa pula penggunaan istilah "sukses" akan dirasmikan dalam usaha membutuhkan sebuah negara yang bertamadun! Apatah lagi “sukses” menggambarkan “suatu capaian keberhasilan dalam berbagai aspek kehidupan, seperti karier, pendidikan, dan hubungan sosial,” mengikut Kamus Besar Bahasa Indonesia (KBBI). Sukses "berarti berhasil atau beruntung. Sukses tidak hanya berkaitan dengan status sosial atau ekonomi, tetapi juga mencakup pencapaian tujuan peribadi dan impian. Sering kali sukses dihubungkan dengan pencapaian tertentu, seperti kekayaan" atau kebendaan. Di Malaysia sudah adapun majalah Sukses (pertama di Malaysia dalam bahasa Melayu) yang mencatat kejayaan peribadi dan perniagaan. Majalah diterbitkan sejak tahun 2008 dan diwujudkan untuk memberi ilmu keusahawanan dan sumber inspirasi bukan sahaja kepada para usahawan, malah kepada bakal usahawan meliputi pelajar universiti, individu serta bakal. Ayuh sukseskan sahaja! Tidak perlu "kejayaan" pun, sepertimana kita dengan bangganya nyahkan "mutu" untuk "kualiti" dan banyak lagi. Tahniah!
Atau lebih mudah lagi mengapa tidak gunakan sahaja bahasa penjajah totok kerana mengikut KBBI ianya sumber selepas Latin (“successus”) kemudian Inggeris! Jadi biarkanlah "kejayaan" terhakis sama sekali dari kosa kata. Bahasa perosak Bangsa!
Pun begitu, perbincangan mengenai penggunaan perkataan pelancaran atau peluncuran telah lama mendapat pandangan pihak DBP yang diberitakan pernah membuat ciapan yakni bahasa perkataan “peluncuran” itu sebenarnya berasal dari Bahasa Indonesia. Maksudnya yang seakan-akan sama dengan “pelancaran”, dalam Bahasa kita - iaitu hal atau perbuatan memperkenalkan produk atau program yang semakin meluas digunakan kini oleh warga Malaysia kononnya “sebagai variasi dalam konteks yang sama.” Namun, dalam Persuratan Melayu (mengikut prpm.dbp.gov.my) “luncur” lebih tepat kepada “lucut daripada pegangan; terlepas; lulus: Wangnya luncur dari poket. Atau tidak berlaku lagi; lelap: Jam tangan yang digadaikannya itu telah luncur! Jauh dari “lancar” iaitu “melakukan atau mengadakan sesuatu (serangan, tindakan, dll) seperti: gerakan Bulan Bahasa Kebangsaan akan dilancarkan tidak lama lagi. Selain membayangkan juga kepantasan, tidak tersangkut-sangkut, licin (pergerakan sesuatu benda, percakapan, dll), kelancangan! Perbezaannya agak ketara!
Tapi apa pula halnya dengan “pelancuran” yang mencuri perhatian seperti yang dikisahkan dalam adegan Parlimen minggu lalu. Seolah-olah satu kacukan antara “peluncuran” Indonesia dan “pelancaran” Malaysia yang tidak duga wujud. Tambahan didakwa tersilap sebut dan ditegur dengan saranan mengarah kepada perkataan Indonesia!
Rupa-rupanya mengikut Kamus Dewan Edisi Empat (KD4), “melancur" wujud membawa erti “memancur” atau “memancut” antara lain. Lantas “pelancuran” ada sebagai “pemancuran” atau “pemancutan” umpama, tangki kenderaan itu amat sangat bocor, nanti akan berlakulah pelancuran sepanjang jalan!
Begitu juga menurut KBBI, lancur merujuk kepada “senjata tajam (pedang) yang lengkung ke bagian yang tajam.” Sedangkan ada sinonimnya yang membawa maksud “lancar, tidak terhalang atau tersendat.” Contoh penggunaan: “Kendaraan yang melaju di jalan tol harus lancur.” Atau, “Kaki saya terpeleset kerana lantai yang tidak lancur.” Jelas adegan yang berlangsung dalam Parlimen tempoh hari seolah-olah Si Rabun membimbing Si Buta!
Memandangkan hal seumpama ini, kekhuatirannya adalah sama ada Bahasa kita sudah masuk dalam linkungan perkataan satu lagi: pelacuran? Disini, kata Indonesia dan Malaysia tidak banyak berbeza. Bagi Indonesia, ia merangkumi: malang; celaka; sial; buruk laku. Hatta: pelacuran, perihal menjual diri (murahan); persundalan; dan dari segi ilmiah pula, suatu penyelewengan etika yang didapati berlaku dirata dunia ilmu pengetahuan. Bukan sedikit yang selesa melacur ilmu untuk laba yang kian sering terkesan di berbagai peringkat termasuk ranking atau penarafan komer-sial. Bagi Malaysia pula, mengikut KD4 termasuklah, tidak jadi, gagal, malang, sial; Juga buruk laku, sundal; jalang, sundal; mencari nafkah atau nama dengan menyundal, menjual (kehormatan) diri. Termasuk "menjilat" itu dan ini tanpa segan silu lagi. Ada juga lagu berjudul “Lacur.”
Malah jika direnungi, pada dasarnya pelacuran bahasa Malaysia, hatta dunia ilmiah terdekat, sedang pesat dirundung malang, bukan setakat di Parlimen tetapi secara berleluasa dengan berbagai contoh yang boleh diwiridkan tanpa putus-putus. Paling menyayat hati, begitu ramai kelompok yang masih tidak mengerti! Tidak pun peduli akibat cengkaman kemaruk berkuasa politik yang pekak dan tuli! Sungguh negri! Pelacuran mandiri!