• 2025
  • Berani dalam Benar - 'Gerhana Ilmiah" : Kewajaran KPT perlu segera diteliti

Berani dalam Benar - 'Gerhana Ilmiah" : Kewajaran KPT perlu segera diteliti

- Dzulkifli Abdul Razak, Feb 14, 2025

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) diperkenalkan sewaktu Perdana Menteri Kelima mengambil alih, sebagai satu langkah baharu dalam penyampaian pendidikan. Selama ini tumpuan hanya kepada Kementerian Pelajaran, kemudian dinamakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Pengajian tinggi turut dikelola oleh seorang menteri yang sama.

Namun begitu kedudukan KPT tidak tetap, ada masa ia di"rehat"kan, kemudian muncul semula seperti permainan yo-yo. Kedudukan tidak menentu ini dikaburkan lagi dengan taraf kepemimpinan yang samar-samar, berbanding KPM yang mempunyai "kekananan" agak jelas diperingkat global seperti UNESCO misalnya. KPT bagaikan melukut ditepi gantang sahaja, sekejap ada, sekejap tiada - lebih merupakan pertimbangan politik sempit dari pendidikan terbuka. Bebas, berani dan bernas bukan seperti kini dikelumbungi peraturan itu dan ini berpaksikan Akta Universiti dan Kolej Universiti yang rata-rata anti-intelektual berbaur politik cetek!

Ini membuatkan hujah mempertahankannya agak meleset apabila pengajian tinggi mengalami "gerhana" yang tidak pernah berlaku dibawah "kelolaan" mana-mana menteri seingat penulis dalam 50 tahun bersama bidang pendidikan umumnya. Titik hitam ini jelas membuktikan satu kegagalan apabila seorang Naib Canselor antara universiti tertua dan kebanggaan negara ditarik balik darjah kebesaran kurniaan empunya tahta di Istana yang sekali gus pemegang amanah sebagai Canselor universiti tersebut.

Walhal gabungan Canselor dan Naib Canselor merupakan beregu paling ampuh untuk memastikan keutuhan universiti, hatta pendidikan dan peradaban negara. Kedua-duanya tidak boleh terpisah bagaikan irama dan lagu, aur dan tebing. Apatah lagi, dalam hal ini kerabat Istana yang dimaksudkan terkenal dengan keterlibatannya dalam dunia ilmu termasuk di peringkat masyarakat awam seperti IDEAS dan TFM antara lain. Antaranya juga penulis makalah diruang akhbar yang ramai Naib Canselor ikuti. Ertinya universiti berkenaan mempunyai peluang kebebasan meluas dalam melunaskan amanah kepada pelajar dan juga rakyat melalui sokongan Istana.   

Sebagai contoh penulis sempat melunaskan kewajaran ini semasa menjadi Penyandang Kursi Kepemimpinan Islam di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada tahun 2014-2016 melalui modul "Kepemimpinan Qalbu" bersama-sama cerdik pandai di Universiti tersebut. Kini ianya masih diterima pakai oleh AKEPT dalam Buku Jingganya. Selain itu, sebagai Pengerusi Lembaga USIM (2016-2018) apabila berupaya menubuhkan Pusat Penyelidikan Mizan bagi melunaskan modul Qalbu dilapangan. Kini Pusat tersebut diiktiraf UNESCO sebagai satu-satunya Pusat Rantau Asia dan diketuai oleh seorang profesor yang antara termuda mendapat gelaran itu atas pencapaian ilmiahnya. Sayugia dimaklumkan bahawa pembiayaan Pusat Mizan datang dari Bank Rakyat sepenuhnya buat julung kali membiayai penyelidikan begitu rupa bagi sebuah universiti Islam.

Pendek kata, semua ini tidak akan mungkin atau kekal sekiranya pertalian Canselor-Naib Canselor tidak mesra dalam menceduk ilham daripada Canselor yang mempunyai pengaruh begitu luas. Dalam kes terkini, selepas begitu ramai Naib Canselor yang boleh dicontohi, soalnya, mengapa terdapat kecelaruan mengikut  petikan akhbar dari sumber KPT yang menyatakan bahawa persona berkenaan "menjalankan tugs dengan baik" dan disambung lagi perlantikannya selama dua tahun. Ini seolah-olah tidak senada dengan tindakan yang ambil oleh pihak Istana untuk "menjaga kebenaran dan institusi diraja," walau imej universiti, juga KPT jelas tergugat! Ada yang tidak kena. Adakah Istana dimaklumkan atau dirujuk dahulu sesuai dengan kedudukan sebagai Canselor?

Apatah lagi, apabila pihak KPT akur akan perletakan jawatan Naib Canselor atas "sebab mahu menumpukan perhatian terhadap perkara lain." Jika begitu,  mengapa setuju disambung perkhidmatan yang telah lupus? Seolah-olah ada kelompangan antara kedua-dua pihak! Yakni jika wujud keakraban Canselor-Naib Canselor, isu seremeh tidak akan timbul. Kalau timbul pun dapat diselesai pada peringkat KPT, kalau pun tidak nasihat dari pihak Lembaga universiti itu sendiri.

Penulis ingin menyorot kepada pengalaman sebagai pelajar pada tahun 1970an apabila universiti melalui krisis akademik mengancam ketika itu. Ia segera ditangani dengan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Penyiasatan Dalaman atas budi bicara pengurusan universiti,  dipengerusikan oleh Pro-Canselor. Lalu, krisis tersebut tangkas diselesaikan sebelum sebarang "gerhana" muncul. 

Pendek kata, keterlanjuran krisis kali ini, turut membuktikan kealpaan banyak pihak dan mengundang segera penelitiaan rapi seperti yang disuarakan dalam perbahasan Parliamen minggu lalu. Setiap yang bertanggungjawab disemua peringkat mesti terpanggil menilai kewajaran masing-masing, termasuk mengikut langkah wajar Naib Canselornya. Supaya akhirnya, kewajaran KPT yang jelas menunjukkan prestasi terhodoh sejak dari penubuhannya dua dekad lalu dalam laksanakan. Mungkin sudah sampai masanya untuk di"rehat"kan sekali lagi, seperti amalan lalu. Namun, kali ini untuk diabadikan selama-lamanya. Lantas berbalik semula kepada pendidikan berterusan, menyeluruh dan sepadu bagaimana saranan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Pengajian tinggi merupakan sebahagian, tidak perlu lagi berasingan! Noktah. Kalau ada yang masih berhujah KPM akan menjadi terlalu besar dan sibuk ilhami kementerian bergelar MEXT di Jepun yang meliputi bidang-bidang seperti Pendidikan, Sains dan Teknologi, Budaya dan Sukan sekali gus. Dalam pada itu berupaya menyelengara Olympik 2020, memenangi Hadiah Nobel, mengurus Pasta Osaka 2025 antara lain yang KPM tidak termimpi pun.  Maksudnya tiga atau empat lagi kementerian boleh lagi dirangkumkan, dan sudah tentu merupakan suatu penjimatan yang hebat dari berbagai sudut seiring dengan langkah penjajahan yang lain. Apa lagi meningkat kerjasama dan berpasukan. Satu contoh perpaduan yang jitu bagi kerajaan yang masih terkial-kial membendung gelagat cakap tak serupa bikin baik diantara beberapa kementerian dan anggota parti mereka sendiri. Kalau pendidikan terus menjadi penghalang kepada matlamat ini, natijahnya amat buruk mengatasi apa yang terbentang dihadapan mata dan kepala kita sekarang. Ia amat memalukan umpama ketam mengajar anak berjalan lurus. Bahan ketawa dunia pendidikan yang sudah jauh berlalu! Insafilah.