Berani dalam Benar: Memanusiawikan kucing di menara gading
- Dzulkifli Abdul Razak
Tatkala 2024 melabuhkan tirainya pada minggu lalu di kampus-kampus universiti, tidak terbayang bahawa isu berkaitan haiwan, khasnya kucing menjadi berita hangat serta berputar belit sebagai adegan akhir tahun. Kini terbaca akan tawaran wang berjumlah agak lumayan diiklankan bagi mendorong kepada tertangkapnya mereka yang terlibat dengan peristiwa yang menyayat hati.
Hal ini menggambarkan betapa isu tersebut kian rumit untuk diselesaikan segera semenjak ia mengejutkan ramai sehingga hari ini. Turut mengejutkan kerana selama ini universiti kecoh didorongi hal-hal berkaitan "modal insan" serta "kebolehpasaran" sebagai penunjuk "kejayaan" dalam penarafan itu dan ini. Sekonyong-konyong timbul soal "modal haiwan" pula mengatasi segala-galanya. Agak mengejutkan juga kerana andaian apabila "modal insan" (kerakusan) terurus mengikut tatakelola tertentu, maka "modal haiwan" (kebinatangan) tersasar sekali gus membentuk pendidikan bercorak "otak dan watak" yang pernah disebut-sebut tidak lama dahulu. Nampaknya ada kesangsian kerana isu penderaan beberapa ekoran kucing jinak jelas terbukti kejam dan zalim meracuni sama sekali asuhan otak dan watak, apatah lagi di sebuah universiti yang tidak calang-calang kedudukannya.
Lebih mengejutkan ia berlaku diangkat siswa-siswi yang cukup prihatin akan peristiwa tersebut dan menuntut penyelesaian lebih tuntas serta menyeluruh. Bukan sambil lewa sahaja, mencalarkan nama kampus di tengah-tengah ibu kota.
Namun, sehingga masih belum ada kepastian akan penyebab sebenarnya walaupun terdapat beberapa saranan serta tekaan yang diragui, terutama oleh kumpulan pelajar yang rapat dengan penjagaan kucing di kampus.
Mengapa ini tercetus sekarang dan kenapa (mungkin dahulu tidak dianggap serius) menjadi persoalan utama. Adakah ia satu lagi penanda kecelaruan "watak" apabila budaya pendidikan dirasuk kedangkalan "otak" ekoran berapa andaian toksik yang membimbangkan?
Misalnya penderaan bersiri antara para pelajar dewasa secara berkelompok yang terkesan kebelakangan ini mengikut laporan awam. Adakah penderaan haiwan merupakan satu lagi bentuk "keseronokan" yang mudah tersorok dari mata umum, sehingga membawa kepada maut yang ngeri mengikut apa yang terencana. Semua kebarangkalian ini mengundang satu lagi keresahan yang mencemaskan seperti diuar-uar oleh bukan sahaja masyarakat kampus tetapi ibubapa dengan keluarga mereka.
Pendidikan untuk memanusiawikan, tidak terkongkong kepada persoalan kerjaya manusia semata-mata tanpa dilingkari masyarakat hakiki sekitarnya, termasuklah makhluk bernyawa yang lain, begitu juga tumbuh-tumbuhan dicipta Ilahi. Sekali gus membawa natijah insan sejahtera melalui kerangka rahmatan Iil 'alamin, mencantas modal insan serta kebolehpasaran. Inilah sebenarnya pendidikan terpancar nyata dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan sejak berdekad lamanya. Tetapi tidak dihiraukan oleh yang beramanah apabila terbiar ditelan bulat-bulat oleh teori Neoliberal Modal Insan adunan Barat yang menyahkan roh sama sekali.
Dalam hal ini masyarakat, hatta universiti, lantas negara yang boleh diteladani adalah Turkiye! Semenjak begitu lama negara ini terkenal dengan kemesraannya terhadap kucing (antara haiwan lain) di merata-rata tempat secara terancang dan merentas berbagai organisasi serta pertubuhan awam dan swasta segenap pelusuk. Ia meletakkan satu bentuk pendidikan yang luwes kepada apa dikenali sebagai "soka kedisi" bermaksud "kucing jalanan" - ratusan ribu banyaknya. Empunya masyarakat umum bukan mana-mana individu. Sejarahnya melepasi ribuan tahun dikatakan bermula dengan warisan Yunani kuno. Dan ada kaitannya dengan Empayar Othmaniah apabila kucing dilindungi tambahan pula disayangi Rasullullah saw! Malah sebuah dokumentari tentang kucing dikalangan masyarakat Turkiye memenangi anugerah pada 2061 membuktikan kepedulian yang ketal terhadap kucing dengan bangganya. Mengikut kajian ada dasar "tiada-pembunuhan, tiada-tangkapan" melalui undang-undang haiwan tertentu. Haiwan juga mempunyai hak serta keperluan umpama manusia.
Semua ini diraikan membuktikan haiwan tidak terainaya. Sudah tentu ini tidak semudah bagi ibukota seperti Istanbul misalnya, tetapi ia juga tidak begitu sukar jika di bandingkan dengan sebuah kampus seperti yang kita hadapi kini, seolah-olah menemui jalan buntu. Pun begitu universiti Turkiye tidak taksub dengan ranking yang kita agung-agungkan. Haiwan dan kucing tidak masuk kira! Bunuhlah beberapa banyak masih tersenarai 100 keatas! Meeeow!
Pun begitu mengikut pengalaman sebuah universiti tempatan, penyelesaiannya bukan mustahil jika langkah yang sesuai lagi berperikemanusiaan diambil sebagai kerangka pendidikan yang lebih manusiawi. Dalam hal ini, satu usaha bersama dikalangan pelajar serta staf di wujudkan merentas kampus beberapa tahun kebelakangan untuk menepati aspirasi rahmatan lil 'alamin bagi universiti berkenaan. Tajaan serta kerjasama swasta juga turut terpanggil. Saban tahun ia menjadi matlamat pendidikan terbuka dengan asuhan serta tindakan bersesuaian menghargai keberadaan haiwan segala macam termasuk babi hutan. Bahkan mendapat sokongan rasmi pihak universiti, sehingga meraih pengikitirafan peringkat antarabangsa baru-baru ini. Pihak tempatan langsung tidak ambil pusing selagi kesan negatifnya tidak memuncak seperti kontroversi dini hari. Lazimnya begitulah.
Sebagai rumusan, tahun mendatang awal-awal lagi telah mengingatkan kita agar pendidikan kita masih kelompangan dalam memanusiawikannya semantap mungkin. Panggillah dengan apa cogan kata - mungkin Kucing Mcdani - melamar saranan kreatif saudara Fahmi Reza yang direstui. Masalahnya akan terus menghantui kita. Allahu'alam