• 2024
  • Istiadat Konvokesyen Perlu Ketimbang, Belajar Dari Sembahyang Jumaat Yang Tidak Sah!

Istiadat Konvokesyen Perlu Ketimbang, Belajar Dari Sembahyang Jumaat Yang Tidak Sah!

Emeritus Professor Tan Sri Dato' Dzulkifli Abdul Razak 
Opinion - Bacalah Malaysia 
November 30, 2024 

 301124

Negara baru reda dari musim konvokesyen ataupun majlis pengijazahan dimerata universiti, dalam berbagai ragam. 

Terkini terbaca ada yang bagaikan konsert berbanding majlis ilmiah yang agak tertib dan syugul.

Penulis pernah mengalami sedemikian apabila dijemput menyampaikan ijazah di Universiti Islam Gaza pada 2013. Apabila ditanya mengapa begitu, jawapannya agak ringkas: 

'Gaza terlalu sepi dan derita setiap hari, dan majlis meraikan kejayaan ilmiah mewajarkan suasana lebih meriah dan ceria. 

301124b

Termasuk kibaran bendera, nyanyian serta sorak serai, juga nyalaan bunga api! Namun tiada yang melampui batasan adab dan susila. Kita akur dengan keadaan di Gaza yang agak luar biasa itu. 

'Jika ini dipanjangkan kepada Malaysia, agak melangkaui tertib sebagai menghormati suasana kesarjanaan serta keilmuan. Malaysia lebih beruntung. Walaupun ada juga nyanyi-nyanyian diamalkan oleh sesetengah pihak, ia sekadar waktu berehat untuk menghilang kebas. Kemudian disambung bertertib semula'.

Malah ada juga universiti yang terus tanpa henti bagi setiap sidang berjalan.

Universiti yang penulis sendiri ketuai selama 11 tahun sedemikian amalannya, mengambil tradisi kesopanan berilmu dan menyanjung kesarjanaan tanpa kompromi. Tetapi berbanding dengan majlis anugerah Hadiah Nobel di Stockholm, misalnya, ia masih kekurangan.

Para pemenang Nobel menyertai masuk ke majlis terkemudian sekali,  selepas para jemputan kenamaan termasuk Raja Sweden sendiri, mengambil tempat mereka. Begitu sekali para sarjana disanjungi dunia.  Bukannya birokrat dan politikus diutamakan. 

Ini juga bermakna majlis pengijazahan mempunyai susunan serta adab dan adatnya tersendiri untuk melambangkan kedudukan ilmu yang tiada tolok bandingannya. Penuh tradisi dan berisi. Jika ada pun perbezaan, tidak sembrono gelagatnya dan merosakkan majlis! 

301124c

'Sebagai contoh, buat universiti kedua tertua di utara yang penulis mirip berkecimpung, kuasa di bawah naungan  Canselor – selaku lambang agung institusi. Hanya Canselor serta beberapa orang lantikan khas dikenal sebagai Pro-Canselor, secara rasmi mengikut perlembagaan universiti, ditauliahkan untuk menyampaikan ijazah bagi semua peringkat dan hadiah-hadiah yang diiktiraf'.

Hanya jika ada keperluan, baru perseorangan tambahan dilantik setelah mendapatkan persetujuan dari pihak Canselor.

Contoh: Naib Canselor ada dilantik dari semasa ke semasa dan lafaznya sebelum menyampaikan ijazah kepada para gradual berbunyi: Dengan kuasa yang berikan kepada saya oleh Tuanku Canselor, maka saya mengurniakan ijazah kepada para graduan berikut.

301124d

Tanpa lafaz ayat seperti ini pengijazahan tidak sah kerana tiada punca kuasa untuk berbuat demikian. 

Begitulah ketatnya kawalan pengijazahan agar keutuhannya terpelihara dalam semua hal.

Tidak tercemar, serentak menjaga nama baik universiti, bidang pengajian serta para ilmuan yang terlibat. 

'Ini adalah amanah besar dan hakiki yang universiti perlu pertahankan demi kemurnian berilmu mengikut lunas-lunas etika serta moral yang cukup rapi. Jika tidak akan terjebak menjadi kilang ijazah modal insan yang diremehkan masyarakat, apatah lagi dimata dunia. Ijazah kacang putih bagaikan sampai sarap!'

Sekali gus kedudukan universiti terhenyah dan pengurusannya kecundang kerana gagal mematuhi takbir urus diiktiraf badan berwibawa dunia umpama UNESCO dan pertubuhan profesional yang lain. 

'Walau pun terdapat kelainan pada beberapa bentuk dan cara, sudah pasti soal kepatuhan takbir urus yang disyaratkan tidak boleh ditolak ketepi sama sekali. Misalnya sememang ada universiti yang melayakkan setiap ahli Lembaga Universiti tersebut menganugerahkan ijazah, tanpa terbatas kepada beberapa kedudukan seperti Canselor dan Pro-Canselor'. 

Malah setiap anggota ahli Lembaga Universiti – berbelas orang, boleh digemblengkan. 

301124e

Ertinya agihan taburan tugas tidak membebankan.

Ternyata, oleh itu lantikan luar atau tambahan mudah dielakkan.

Tidak kiralah siapa, atau apa kedudukannya selagi kewajaran, khasnya dari segi ilmiah tidak ditepati dengan rapi. 

'Soalan kenalan atau hubungan itu dan ini hanya membawa kepada kemyuskilan amalan takbir urus baik sebagai tanda aras paling tinggi berbanding dengan amalan lapuk yang pernah dilazimkan ditelan perubahan masa dan tuntutan kualiti seantero'.

Apatah lagi jika tidak mendapat penurunan punca kuasa daripada pihak Canselor atau yang setaraf dengan panggilan lain.

Natijahnya, ini melibatkan soal maruah, etika dan juga imej di mata dunia ilmiah yang berpegang teguh kepada amalan dan perlakuan ilmiah jitu serta ketal berdisiplin. 

301124f

Jika culas kesudahannya nanti seperti sembahyang Jumaat tidak sah yang dilaporkan di sebuah negeri baru-baru ini mengikut pihak berwajib.

Kerana melanggar tertib dan syarat.

Maka terpaksa diulang semula mengikut arahan badan yang beramanah!

Tidak bezanya dengan konvokesyen sembrono. Bayangkan ini berlaku bagi sesuatu majlis konvokesyen yang perlu diulangi kerana syarat dan rukun tidak diteliti dan diperlakukan sesuka hati mengikut selera itu dan ini! – BACALAHMALAYSIA.MY

  • Penulis adalah bekas mantan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)