• 2024
  • Kes Penderaan Di Universiti, Suatu Petanda Iklim “Penjajahan” Pendidikan?

Kes Penderaan Di Universiti, Suatu Petanda Iklim “Penjajahan” Pendidikan?

Emeritus Professor Tan Sri Dato' Dzulkifli Abdul Razak 
Opinion - Bacalah Malaysia 
November 13, 2024 

131124d

Dalam pembicaraan tentang masa hadapan pendidikan, kecerdasan buatan (AI) sering disentuh dalam mengegarkan perubahan yang tidak dapat dibayangkan.

AI dikira mutlak sehingga ramai menyertainya tanpa mengambil kisah kesan sampingan dalam apa bentuk sekalipun. 

131124

Satu daripadanya adalah memonopolikan input mengikut seadanya tanpa meragukan sumber yang berkaitan. Maka yang palsu mungkin boleh “dibenarkan” serta menjadi suatu tafsiran serta tindakan susulan yang “betul” belaka.

Dengan ini wujud satu bentuk “penjajahan” minda yang mungkin tidak disedari sama sekali bergantung kepada algoritma yang digunakan. Jika dahulunya watak penjajah itu dapat menyedarkan kita, kini tidak lagi. AI mengganti para penjajah dengan tiada membawa rasa ngeri. 

Sama ada ini dapat diterima merupakan isu yang jarang diperdekatan apatah lagi  berkait dengan istilah berkelas dunia yang memukau segala-segalanya.

Namun dalam pada itu, terdapat berita mutakhir bahawa usaha menyah-penjajahan pendidikan dirasakan penting untuk memberi kesan pendidikan yang sebenarnya. 

Ia mula ditimbulkan semula semasa pandemik Covid-19. Khusus bagi negara-negara yang semenang sudah menjadi jajahan taklukan berdekad-dekad lamanya. Sudah pun lali. 

Oleh itu tidak hairanlah jika terdapat laporan mutakhir yang Universiti Oxford akan membelanjakan lebih daripada £3.3 juta untuk menyah-penjajahan kurikulumnya agar jurang yang ada kini dapat dirapatkan, umpamanya antara yang berkulit hitam dengan putih! 

131124b

Di bawah program tersebut kempen akan dilakukan untuk menghalang kerakusan perkauman dan penderaan di kampus tersebut. Sekali gus terimbau kita akan kes yang seakan sama di sebuah kampus tempatan baru-baru ini.

Sebagai satu ulangan yang pernah berlaku beberapa tahun lalu, dan hukuman berat sudahpun dijatuhkan. Malangnya ia seolah-olah tiada membawa sebarang kesan sama sekali apabila penderaan berulang semula seakan sama sahaja. 

Mengikut seorang profesor sejarah di Universiti Exeter, indoktrinasi melalui tipu helah kurikulum amat tidak diingini dan merupakan satu penodaan nilai intelek. It merosakkan kerukunan sosial serta menyalahgunakan dana awam.

Ia mungkin berpunca dari salah faham kecil terhadap pihak yang melakukan keganasan tersebut. Tetapi dengan keterjadian yang kian meningkat menunjukkan ia bukan lagi semata-mata soal kegagalan mengurus hal ehwal pelajar seperti umumnya dinyatakan, lantas merentasi tuntutan tidak terhad hanya untuk memperbaiki piawaian pentadbiran (SOP) sahaja.

Apatah lagi dalam suasana dan iklim ketenteraan yang membawa natijah “sangkaan baik” untuk merapatkan lagi pertalian sesama anggota dan peserta, sedangkan ini tidak semesti berlaku selagi sikap penjajahan merupakan intipati kepada maksud penderaan serta penyeksaan berkenaan. 

131124c

Turut menyebabkan pula cacat cela secara fizikal, apa lagi mental dan emosi. Menukar itu dan ini sahaja tanpa usaha menyah-penjajahan tidak akan membendung keadaan secara berkesan untuk jangka panjang.

Pendek kata budaya berpendidikan telah tercemar dengan lunas-lunas penjajahan yang sudah lama sebati tanpa disedari. 

Malah kini diterima sepenuhnya bagai aktiviti universiti seperti di Oxford, walaupun Oxford sendiri merasakan kepincangannya ekoran keputusan menyah-penjajahkan yang dilaksanakan.

Ia bererti pendekatan kita sudah lama ketinggalan serta jumud kearah pemusnahan masa hadapan yang sewajarnya lebih pelbagai, saksama dan adil merentasi apa jua berbedaan yang diada-adakan.

Dalam buku baru oleh Susan Williams berjudul ‘White Malice’ (2021) menghuraikan penglibatan peranan penjajah di benua Afrika pada lewat 1950an. Tatkala itu kemerdekaan Afrika dicekik sehingga tidak bernafas buat beberapa tahun.

Akhirnya mati. Sebagai contoh, Ghana dibawah kepemimpinan Kwane Nkrumah ketika itu baru sahaja menghalau penjajah Inggeris keluar. Negara Afrika lain terus teruja, dan menaikkan semangat untuk turut bersama. Termasuk cerminan keadaan di Amerika Syarikat yang rakyat berkulit hitam juga menuntut kebebasan yang sama di bawah pimpinan Martin Luther King serta Malcolm X.

Dalam hal itu, agenda menyah-penjajahan dikatakan terpenting dalam memaknakan semula masa hadapan negara bebas lagi berdaulat. Didahului dengan membebaskan dan mendaulatkan pendidikan negara dari unsur-unsur paksaan serta penderaan penjajahan.

Selagi ini tidak berlaku pendidikan terus terhambat dengan kebiadaban penjajahan ke atas pendidikan. Penderaan akan terus giat berkembangan! – BACALAHMALAYSIA.MY

  • Penulis adalah mantan Rektor, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)