Merekayasa Ilmu Dalam Menyuburi Hubungan Masyarakat Dan Universiti
Emeritus Professor Tan Sri Dato' Dzulkifli Abdul Razak
Opinion - Bacalah Malaysia
October 29, 2024
Dalam menyambut keberadaannya pada tahun ke-41, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menghidangkan satu lagi detik bersejarah yang belum pernah dilakar oleh universiti tersebut, malah mana-mana universiti tanah air, hatta seantero sekalipun!
Lantaran minggu lalu, apabila penaja-penaja ranking sibuk dengan ‘berita’ tentang senarai universiti yang terbaik mengikut perhitungan ‘komersial’ mereka, tidak satupun yang menarik perhatian kepada persada Anugerah Gaun Hijau Antarabangsa (International Green Gown Award, IGGA) yang diselengarakan Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP, United Nations Environmental Programme).
Sekali gus meletakkan IGGA pada tahap yang lebih tersohor dan beretika kerana bukan komersial bentuknya. Khasnya, berbanding program seperti QS dan ranking lain yang sering disogokkan kepada kita dengan tujuan mengaup keuntungan.
Hatta pendekatan ini sering dikritik tidak beretika dan tidak profesional. Malah ada yang menarik diri apabila menyedari hakikat ini khusus di negara berat yang lebih autonomus pandangannya dan yakin akan kewajarannya.
Malangnya negara membangun yang lebih terkongkong tadbir urusnya mengikut telunjuk itu dan ini, seperti yang kini berlaku.
Apatah lagi ia melibatkan wang yang banyak, atas anggapan ‘pendidikan’ boleh dijual beli asalkan keranah komersial dituruti. Tiada yang kisah atau peduli, baik ia berbentuk pembohongan ilmiah yang terbukti berat sebelah. Masyarakat jelas dicicirkan!
Lebih dari itu, IGGA disokong pula oleh sekurang-kurangnya lima badan ilmiah profesional seantero menyakinkan kita bahawa nilai etika tiada dikompromikan.
Tambahan ahli-ahli anggota pertubuhan berkenaan dilantik menjadi pengadil bebas serta penilai kepada hasil yang bakal diberi pengiktirafan tanpa memerlukan apa-apa pembayaran atau tajaan.
Bukan sahaja ini meletakkan nilai sanjungan yang tiada tolok bandingannya, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada mana-mana universiti yang miskin atau kurang kaya.
Menjadikan kekesanan lebih saksama lagi adil dalam semua segi bukan sahaja terhad kepada selera komersial serta ekonomi, khasnya yang mampu ‘membeli’ itu dan ini.
Pun begitu ia tidak mudah dicapai kerana melibatkan kerja yang lebih rumit dan terperinci bagi menunjukkan kekesanan dan perubahan yang berlaku dengan ketara.
Bukan sekadar menunjukkan angka atau semakan kotak tersedia – Ya/Tidak! Sedangkan kesan atau perubahan tidak terjelma sama sekali.
Contoh, mungkin makalah mendapat penerbitan tersohor, namun terbatas dalam kepompong dunia akademik semata-mata. Tidak memberi bakti budi melibatkan kehidupan masyarakat sebenarnya.
Maka dalam kerangka IGGA, ini tidak dapat diterima kerana seolah-olah ia belum sesuai untuk dinilai. Meskipun melibatkan pembayaran bagi menghalalkannya sesuka hati sahaja.
Maksudnya, tidak semua boleh berjaya selagi cara pendekatannya tidak diiktiraf UNEP dan para pengadil bebas tadi. Wang tidak mempunyai apa-apa peranan sama sekali dari segi pengaruh komersial.
Yang paling penting dan berbeza adalah ketiadaan nombor ranking kepada mana-mana para peserta yang dianggap berjaya.
Misalnya, 10 teratas atau 100 teratas dan sebagainya. IGGA menumpukan kepada yang paling baik dalam kategori tertentu sebagai kekuatan yang boleh diteladani. Mungkin ada juga contoh yang hampir terbaik.
Itu sahaja yang diiktiraf dalam satu majlis khas sempena dengan Persidangan Peringkat Tinggi PBB saban tahun. Pada tahun 2024, IGGA meraikan ulangtahun kesepuluh – bermakna cara dan kerangka kerja diiktiraf dunia melalui PBB sekian lama tanpa sekarang keraguan sama sekali.
Terus berkembang sebagai kaedah diterima seluruh dunia secara profesional, bukan komersial. Bebas dari pengaruh yang tidak diingini atau tipu daya halus menyelubungi dasar politik sempit lagi membingungkan.
Soalan kepada para pendidikan jati yang amat penting adalah amanah yang digenggam tanpa di pertaruhan bagi tujuan selain pendidikan bagaimana dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang terhidang lebih tiga dekad.
Mendahului semua bentuk ranking atau penarafan yang diada-ada kebelakangan ini songsang dengan intipati FPK seadanya.
Dengan kata lain ranking menyisihkan FPK, yakni bukan lagi penentu matlamat FPK sebenarnya. Iaitu untuk mencapai ‘kesejahteraan diri’ sebagai ‘insan sejahtera.’ Amalan ranking, oleh itu hanya sia-sia dan membuang masa serta wang juga tenaga. Masanya telah tiba: tepuk hati tanyalah minda!
Sebagai bukti, UIAM sejak 2018 telah merekayasa ilmu dalam menyuburi semula hubungi masyarakat dan menara ilmu tersebut. Bermula tahun 2020, UIAM telah menuai kejayaan acuan IGGA berbanding ranking komersial yang lazim dikumandangkan.
Pada tahun tersebut UIAM menjadi Pemenang Institusi Lestari Terbaik Sedunia, sekaligus pertama kali untuk dunia Islam, Asia dan Malaysia.
Ia memecahkan persepsi UIAM hanya terperangkap dalam dunia Muslim. Ini kali pertama, mengikut Rektor ketiga masa itu, UIAM menerobos dunia keseluruhannya, mewakili Islam merentasi kata-kata.
Tetapi dituruti tindakan membawa kekesanan jua, selepas 37 tahun kewujudannya! Pada tahun 2023, menjadi pula Pemenang Dunia Kategori Memanfaatkan Masyarakat – selepas terputus dua tahun oleh pandemik Covid-19.
Pada tahun ini, tuah 2023 diulangi empat kali ganda.
Tiga untuk kategori lain sebagai Pemenang Dunia, yakni kategori pertama: Mencipta Impak, seterusnya: Libaturus Pelajar, dan satu lagi: Kepelbagaian, Kesaksamaan serta Keterangkuman dalam Kelestarian.
Yang keempat, adalah ulangan tahun 2020 sebagai Institusi Lestari – satu-satu tanda aras baharu bagi UIAM malah dunia! Kali ini selepas 40 tahun.
Satu lagi sejarah, pertama untuk dunia juga serentak merekayasa hubungi masyarakat dan menara ilmu sesubur fajar menyinsing. Syabas.
- Penulis adalah mantan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)