• 2024
  • Gelagat Terkini Tanda Dan Sijil “Halal”

Gelagat Terkini Tanda Dan Sijil “Halal”

Emeritus Professor Tan Sri Dato' Dzulkifli Abdul Razak
Opinion - Bacalah Malaysia
October 2, 2024 

021024 

Dari masa ke semasa istilah “halal” muncul dengan beberapa isu yang baharu. 

Terkini agak kecewa apabila terdengar suara mengatakan bahawa soal halal lebih sekadar papan tanda: “tiada daging babi, tiada minuman alkohol” (tdb, tma) sahaja. 

Ini disuarakan sejurus negara menyambut Hari Malaysia pada September 16 dengan cogannya: Jiwa Merdeka! 

Tertanya-tanya “merdeka” bagaimana sekiranya kefahaman asas perkataan “halal” masih terkurung dalam kerangka “tdb, tma” sahaja. 

Selepas lebih 60 tahun laungan merdeka dan meraikan Hari Malaysia! Maknanya, tidak mendalami langsung silang budaya dan keterangkuman berbilang agama dan bangsa. Pendeknya, perpaduan tidak erat.  

Mengapakah masih buta budaya sesama mereka?

Mungkin “halal” hanya cogan untuk berniaga, mencari laba, berbilion harga. Bukannya mencari redha dan taqwa – hanya berkiaskan niaga, bukan agama! Tidak juga Tuhan Maha Esa.

Maka yang diperhangatkan adalah proses, bukan matlamat. Lebih dunia dari akhirat. Lebih-lebih bagi mereka yang khianat. Apatah lagi bersendikan manusiawi. Bukannya Ilahi.  

Lantas berkata-katalah si anu untuk mempertahankan “tdb, tma” – ataupun tidak diwajarkan sama sekali.  

Kononnya memalukan negara di mata dunia.

Terlupa sebaliknya, Malaysia pembuka jendala untuk semua bagi memupuk dunia sama-rata melalui fitrah dan hati mulia. Tidak ternoda dengan papan tanda “tdb.tma” yang belum tentu halalnya.

Yang amat memalukan adalah kewujudan dalang bermacam agenda yang songsang agama rasmi negara. Malah ini bukan kali pertama drama seakan-akan serupa dipertontonkan. Sering cukup bising!

Dahulu khabarnya sup bak kut teh agenda utama bakal menarik ribuan pelancong dari negara China. 

Kononnya, mereka berselera! Jadi dijaja tanpa kelola sehingga meninggikan suara semasa kita. Dihebohkan sesuai untuk semua, malah makanan bertaraf negara. Tidak perlu tanda itu dan ini kerana laris di mana sahaja, untuk sesiapa sahaja. Tidak semesti daging babi ujarnya. Halal belaka! 

Si anu ketika itu tidak banyak bersuara.

Entah kenapa?

Kemudian isu menjadi reda memandangkan lebih dongeng dari fakta.

Nasiblah tidak semua terpedaya akan kuntau lakonan si dia.    

Kali ini bertambah kecewa berpaut soal bahasa. Akhirnya terbongkar juga sumber durjana angkara terjemahan berkomputer ChatGPT yang dikatakan tidak tepat dan menyebabkan kontroversi sesat. Walaupun ada yang akui tepat sahaja terjemahan itu, kini terlihat seolah-olah ingin mencari-cari helah bagi menutup muka malu. 

Terlanjur langkah membawa padah perbalahan sesama parti dalam kerajaan berpadu bukannya mudah.

Terpaksa pula menyaman lawan berjuta-juta, menjadikan bahan ketawa buat diri sendiri dan partinya. Bukan negara yang malu seperti didakwa. Kali ini cukup jenaka!

Punca pokok muslihatnya adalah kerana masih ramai yang tidak peduli bahasa kita.

Justeru, kenyataan akhbar terpaksa dialih bahasa  tergesa-gesa. Kalau fasih berbahasa negara sudah pasti ini tidak punya.

Natijahnya bilakah lagi hendak fasih.

Lagi 60 tahun merdeka Malaysia? 

021024c

Si anu lagi sekali hening.

Pandai memilih-milih bulu untuk membuat pusing demi keuntungan sendiri. Bak harimau sorokkan kuku, strategi yang teruji.   

Tidak kurang juga mengapa dimonopoli kepada agensi tertentu sahaja? Sedangkan monopoli tidak sihat baik bagi semua, Islam khususnya. Tidak adil, tidak saksama pun baik sesama Muslim. Amalan anti-persaingan yang sihat ini, rakus dan tamak. Naik lemak, maka perlu segera disemak!  

Apapun paling pening sekali adalah penggunaan bahan-bahan yang tidak membawa sebarang tanda merbahaya, tetapi tetap pembunuh utama seluruh dunia.

Walaupun TIDAK halal mengikut senarai Jakim sebagai bahan memabukkan, racun dan memusnahkan kesihatan tetapi terlaris.

Ada yang ambil kesempatan. Kalau tidak pun haram mengikut fahaman tertentu, mengapa pula di”halal”kan tatkala dikeluarkan bahan vape cecair dan gel bernikotin dari kawalan ketat Senarai Racun dibawah Akta Racun 1952 pada April 1 tahun lalu.  

021024d

Walhal, senarai tersebut jelas meng”had”kan penggunaan bagi mereka berumur 18 tahun ke bawah atas dalil kemudaratan kukuh!

Pusingan U terbesar pada April 1 itu meng”restui” racun pemusnah ribuan nyawa tidak berdosa. Tanpa apa-apa tanda halal atau sebaliknya. Mengapa direlakan sahaja?

Malah kebergunaan tanda sama ada “haram” atau “halal” bagi kes ini agak tepat kerana hampir semua yang terlibat adalah rumpun Melayu-Muslim.

Bermula pembuat dasar, pembekal bahan, apa lagi para pengguna begitu muda terus terainaya. Maka kita mula faham mengapa si anu tetap membisu, lepas tangan

Biarkan musuh bergelut sesama sendiri. Lantakkan mereka dengan sijil halalnya!

Rupa-rupanya ada beberapa darajah tafsiran sijil “halal” mengikut selera masing-masing.  Satu, bagi semua hal melainkan yang ada tanda “tdb, tma.” 

Kedua, yang membawa ketagihan, keracunan dan membunuh secara pra-matang. Juga merangkumi “halal” kerana tidak ada maklumat atau tanda menghalangnya baik pasaran terbuka. Tambahan, undang-undang gubalan Parliamen sekali gus menyokong peng”halal”an kes vape bernikotin sebagai cecair dan gel untuk dilambakan dipasaran terbuka kepada semua bangsa. 

Gelagat “halal” kini  sudah sampai ke kumuncaknya. Tiba masa menjadikan “halal” cara hidup arus perdana.

Yang TIDAK halal atau haram ditanda khusus seperti arak, dadah termasuk tembakau dan vape bagai Senarai Racun!

Sudah tentu bahan yang terlarang al-Quran! Semoga “halal” tidak di persendakan lagi! – BACALAHMALAYSIA.MY

  • Penulis ialah mantan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)