George Town Festival Serlah Minda Terjajah?
Emeritus Professor Tan Sri Dato' Dzulkifli Abdul Razak
Opinion - Bacalah Malaysia
August 1, 2024
George Town Festival (GTF) kali ini mencetuskan kontroversi.
Ia menampakkan kekalutan perancangan sama ada secara sengaja atau tidak. Alasan yang mengatakan ia terlepas pandang dalam merangka aktivitinya adalah satu kedangkalan yang jelas.
"Bukankah hasrat GTF membawa kepada keterangkuman, apa lagi kumpulan yang berada sebelum penjajahan lagi. Bilangannya hampir setengah dari rakyat negeri Pulau Pinang. Oleh itu alasan tersebut mirip kepada helah semata-mata.
Ini bertambah nyata mengambil kira keberadaan Universiti Sains Malaysia (USM) selama lebih 50 tahun di tengah-tengah kepulauan itu. Disertai dengan kepakaran dalam banyak budaya, termasuk kaum asal.
"Pusat Seni USM dan Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah adalah dua contoh yang cukup nyata kepada kerajaan negeri sejak dahulu lagi. Belum lagi menyentuh Pusat-pusat Pengajian seperti Kemanusiaan, Sains Sosial, serta Perumahan, Bangunan dan Perancangan.
Sudah tentu ada antara para penganjur GTF merupakan pelajar USM yang ingat atau pernah mendaftar dengan Pusat-pusat pengajian berkenaan. Sambil mengenali nama-nama tersohor dalam hal ehwal kesenian dan kebudayaan setempat.
"Atau adakah seperti kacang lupakan kulit?
Jadi tidak wajarlah menegakkan benang basah dengan menuding jari kononnya ada yang ingin menjadikan ia isu perkauman!
Sebenarnya sebaliknya. Dengan menyisihkan kaum lain dalam video promosi GTF bukankah ia memulakan langkah perkauman terang-terangan.
"Sebab itu video tersebut dibatalkan – walaupun kesannya sudah menjalar jauh dalam memecah belahkan emosi rakyat yang inginkan kedamaian dan kesejahteraan. Jangan pula cuba menyorokkan kuku yang sudah pun mencalar dan menguris keharmonian sedia terpupuk.
Maka dengan hanya meminta maaf tidak bermakna semua sudah beres.
Terutamanya bukan buat kali pertama, malah diulang-ulang untuk mencuba nasib. “Testing the water,” dalam bahasa penjajah mengambil enteng isu kebudayaan dan kesenian tempatan sejak dahulu lagi.
Sehingga kemusnahan perkampungan Melayu tradisi tidak mendapat peduli. Umum tahu yang keadaannya sudah sampai peringkat membimbangkan.
Ia tidak lestari kerana aspek nilai serta budaya setempat dihumban begitu sahaja sepertimana di negara jiran terdekat. Malah sejarah juga mereka putar belitkan untuk menghalal kerakusan dan ketamakan berkuasa dengan apa cara jua.
Maka persoalan seterusnya, bagaimana perkara seperti ini dikawal supaya tidak diulangi lagi. Khususnya melalui politik sempit dan songsang bagaikan talam dua muka.
Di sini timbulnya soal kesedaran yang Pulau Pinang sudah lama bertuan sebelum masuknya para penjajah serta lanun-lanunnya.
Bermaksud landasan pemikiran menyahpenjajahkan harus disegerakan. Yakni, mengangkat semula saranan lama yang nama GTF perlu diserasikan dengan budaya setempat. Antara soalan terpenting: siapa ini orang bernama ‘George’? Seorang raja kepulauan Inggeris, jawapannya.
"Bukan pula Tanah Melayu atau sebahagian padanya termasuk Pulau Pinang ketika itu dinaungi Raja sendiri, bukan George! Ibu kotanya ada nama tersendiri bukan George Town. Jadi mengapa George Town? Tidak lain tidak bukan adalah untuk menjajah minda sehingga hari apabila masih ada yang mempertahankan nama George Town tidak ditukarkan.
Kononnya nama ini sudah terkenal dan mesti dikekalkan juga ujar mereka tanpa malu-malu.
Mengambarkan bagaimana minda cukup terjajah dalam satu negara berdaulat!
"Sebenarnya ada yang takut nama baru nanti mengambil nama setempat, bukan Inggeris lagi! Mungkin sebab itulah promosi GTF menyisihkan kaum tempatan senyap-senyap. Sekarang terkial-kial menepis kiri dan kanan. Menyalak-menyalak seperti anjing suruhan penjajah.
Hakikatnya negara India menukar nama Bombay kepada nama asal Mumbai, Bangalore kepada Bengaluru dan Madras kepada Chennai, tempat asal rumpun kaum Tamil teramai bermaustin di Malaysia. Begitu juga negara China.
"Peking menjadi Beijing sebagai ibu negara dan perlabuhan penting Canton kepada Guangzhou. Jadi mengapa George Town, hanya ibu negeri Pulau Pinang sahaja tidak boleh diusik. Bukan pun ibu negara Malaysia yang tetap Kuala Lumpur, bukan pula “Muddy Confluence.”
Jika di negara merdeka lain ini boleh dilakukan tanpa bantahan bertahun-tahun lamanya, mengapa di negara kita tidak boleh?
Berlagak sebagai wakil tegar penjajah kerana tidak mesra dengan nilai dan norma tempatan sepertimana minda ikutan tuan penjajah.
Ada pula yang mendakwa bahawa semua nama nanti mesti ditukar.
"Satu lagi dalih remeh kerana India dan China tidak berbuat demikian. Hanya melibatkan tempat-tempat ternama dan pusat-pusat berdaya maju seperti contoh-contoh diatas. Berasaskan ini, nama George Town wajar ditukarkan dengan segera mengikut aliran perkembangan tempatan. Yang lain tidak semestinya.
Kesimpulan kesemua hujah ini menjurus kepada betapa minda masih terjajah.
Bahawa George serta kerajaan Inggerisnya merupakan penindas, perasuah serta perampas yang memunggah harta karun serta hasil maksul negara ini untuk memperkayakan empayar mereka berdekad-dekad lamanya tiada tolok bangunannya adalah penting diambil kira.
Lantas, mengapa nama George masih disanjungi dan kekalkan? Sedangkan pesalah tempatan dihukum tanpa kompromi. Malah ada yang dihantui dengan itu dan ini seolah-olah kesalahan mereka mengatasi angkara George!
Mungkin sudah agak terlambat untuk menghukum George.
Pun begitu paling kurang wajar menghapuskan namanya dalam kehidupan seharian kita dengan menukar nama ibu kota Pulau Pinang dan tidak meraikan kedurjanaan silam yang berkaitan. Ia tidak boleh dibiarkan lagi tanpa berlaku ketidakadilan kepada penderitaan lama yang tidak berdosa.
Termasuk juga sisa-sisa tali barut penjajah yang masih mendalangi sehingga kini melalui kegiatan politik songsang di bawah berbagai slogan mengelirukan.
Selagi ini tidak diiselesaikan, selagi itulah proses penjajahan berakar umbi senyap-senyap selama-lamanya! Memandangkan ulang tahun Merdeka kali ke-67 akan menyusul sedikit hari sahaja lagi. – BACALAHMALAYSIA.MY
- Penulis adalah Rektor Keenam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia