Awas! Antara Stoking, Stocking Dan Minda Yang Terjajah
Emeritus Professor Tan Sri Dato' Dzulkifli Abdul Razak
Opinion - Bacalah Malaysia
Mac 28, 2024
Tiba-tiba istilah ‘stoking’ muncul bertempiaran di sana-sini. Semua berminat berkata sesuatu tentangnya. Itu dan ini. Positif dan negatif. Tua dan muda.
Mengikut Kamus Dewan, stoking adalah padanan perkataan ‘sock’ dalam bahasa Inggeris. Yakni sarung kaki pendek. Hingga ke buku lali. Berbeza dengan ‘stocking’ – merujuk kepada sarung kaki yang panjang – sampai ke lutut ataupun peha.
Lebih-lebih lagi wanita sebagai gaya fesyen umumnya. Ada juga untuk tujuan perubatan – bagi merawat tekanan darah rendah di bahagian kaki. Selalunya akibat terlalu lama duduk seperti dalam penerbangan jauh! Boleh memudaratkan. Jadi dicegah dengan memakai stoking yang sesuai.
Namun bagi lelaki, ‘stocking’ dirujuk sebagai ‘long sock.’ Jarang-jarang dirujuk ‘stocking.’ Dipakai bersama seluar pendek sewaktu musim panas misalnya. Atau sebahagian pakaian seragam rasmi.
‘Stocking’ dalam Bahasa Melayu (BM) adalah stoking panjang. Agak melucukan kerana dalam istilah Inggeris sifat panjang sudah termaktub dalam istilah asal. Jadi agak berganda terjemahannya. Kerana yang pendek dipanggil ‘sock’ – bukan ‘stoking.’
Mengapa tidak ada ‘sok’ sahaja. Entahlah! Mungkin keliru budaya.
Dalam budaya Melayu kaki tidak bersarung! Begitu juga tangan. Jadi ada istilah ‘sarung tangan’ bukan ‘glof’ seperti ‘glove’ dalam bahasa Inggeris. Tetapi bukan pula ‘sarung kaki’ – stoking kononnya!
Jelas kedua-dua jenis pakaian tersebut bukan dari budaya dan norma tradisi. Yang ada ‘kain sarung’ untuk tubuh badan (termasuk bahagian atas kaki umumnya), panggil sebagai ‘sarung’ sahaja.
Begitu juga dalam bahasa Inggeris. Ambil terus! Malah almarhum Pak Ungku, bekas Naib Canselor Universiti Malaya, juga pernah memperkenal konsep ‘Sarung Index’ – tiada hal, Petunjuk Sarung dari segi pencapaian ekonomi!
Ternyata konsep ‘sarung’ mempunyai akar umbi budaya Melayu zaman berzaman. Tidak begitu bagi ‘sock’ atau ‘glove.’ Cuaca dan iklim tempatan tidak memerlukan pakaian begitu rupa. Kaki yang dipakaikan ‘sock’ akan berkuap dalam cuaca panas tropika.
Apa lagi dikenakan pula dengan kasut bertutup keseluruhannya. Peluh yang terhasil memberi berbagai ketidakselesaan. Dan terpaksa kerap diganti demi menjaga kebersihan dan kesihatan.
Sebab itu tradisi tropika lebih sesuai dengan capal yang terbuka bahagian hadapannya. Berangin, tidak berpeluh! Sihat.
Soal ‘glove’ langsung tidak timbul. Tidak ada kena-mengena. Melainkan baru-baru ini dalam soal aurat mengikut sesetengah pendapat. Dari segi budaya tempatan tiada keperluan langsung kerana ia lazim merupakan pakaian hiasan wanita Barat, seperti juga topi beraneka bentuk serta rupa.
Bagi kita selendang dan tudung. Bukannya ‘hijab.’ Walaubagaimanapun sarung tangan bagi tujuan kerja seperti dalam bidang perubatan serta teknologi lebih mencakupi. Dan masih dikenali sebagai sarung tangan tertentu. Bukannya ‘glove’ hiasan.
Amalan budaya 'ceduk' yang cetek seperti 'stoking' adalah budaya malas yang seharusnya dinilai dengan lebih teliti supaya penggunaan dari semua segi tidak sumbang. Atau mengelirukan. Apatah lagi 'stoking' dalam bahasa asal mempunyai makna tersendiri. Tiada kaitan dengan apa-apa jenis sarung kaki! Jadi apa perlunya stoking sama sekali.
Pendek kata kalau tali leher (bukan tai, padanan ‘tie’ ?) dapat dinyah penggunaannya sekelip mata atas sebab-sebab yang wajar: iklim, budaya, kos, keselesaan, begitu juga sepatutnya stoking yang terletak di hujung kaki.
Umumnya, wanita pun tidak perlukan stoking.
Tiada pun ganjil, jadi mengapa pula lelaki terpaksa ?
Ekoran itu mengapa pula pakaian ‘coat’ masih dibebani dan tidak dinyahkan atas sebab-sebab yang serupa seperti tali leher.
Malah lebih-lebih lagi dalam menepati kewajaran menyahkan bersama tali leher sekali gus!
Kenapa ada dua darjat, kalau tidak masih terjajah minda dan gaya pemikirannya. Cukup melemahkan jika itulah andaiannya.
Aneh, tiada pula kelompok bertegang urat leher menuntut penjajahan pakaian dihentikan. Atau membuat laporan polis selama ini. Apatah lagi gara-gara memulaukan yang terlibat.
Agaknya ada pihak yang cukup selesa dengan minda mereka terjajah selama ini. Memilih-milih bulu, punca kepada kelemahan menyelesaikan masalah!
Remeh? – BACALAHMALAYSIA.MY
- Penulis adalah Rektor, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)