• 2023
  • Mungkinkah ada vape jenama ‘nikotin madani’?

Mungkinkah ada vape jenama ‘nikotin madani’?

Emeritus Professor Tan Sri Dato' Dzulkifli Abdul Razak 
UIAM Berhujah - Utusan Malaysia 
5 Oktober, 2023  

051023

BARU-BARU ini, Parlimen disibukkan dengan isu menghisap cecair vape (rokok elektronik) semasa persidangan berlangsung. Kononnya rakaman seorang wakil rakyat menghisap bahan tersebut tular menyebabkan isu berkenaan menjadi begitu hangat dibahaskan.

Yang aneh, begitu banyak lagi isu berat dalam kerangka Rancangan Malaysia Ke-12, namun isu vape tetap dikumandangkan juga. Seperti mana biasa, tuduh-menuduh dalam suasana hiruk-pikuk berlaku antara pihak bersengketa penuh emosi, memberi gambaran betapa Parlimen mudah dikotak-katikkan tanpa rasa malu.

Mengikut yang dituduh, apa yang disangka sebagai alat penghisap cecair vape hanyalah sebatang pena diletakkan di bibir. Tidak reda juga. Kajian menunjukkan 30 kali hisapan vape boleh menyerupai kadar nikotin dalam badan hasil hisapan sebatang rokok biasa.

Setakat ini tidak jelas apa kesudahan isu penggunaan vape di Parlimen. Apa pun, menghisap vape adalah lumrah dalam kalangan orang dewasa di mana sahaja, tetapi tidak begitu bagi kanak-kanak khususnya berumur 18 tahun ke bawah. Umumnya di Malaysia, bahan vape bersalut racun nikotin dilarang bagi anak-anak muda sebelum usia 18 tahun oleh Akta Racun 1952 bertujuan melindungi kesihatan mereka daripada segala macam kemudaratan racun nikotin.

Malangnya, ini tidak lagi berlaku mulai 1 April lalu, apabila peraturan mengehadkan penggunaan racun nikotin berkuatkuasa dibawah Akta Racun dibatalkan tergesa-gesa. Lantas membolehkan sesiapa sahaja termasuk bayi baharu lahir sekalipun diberi nikotin tanpa melakukan apa-apa kesalahan dibawah akta berkenaan. Malah, vape mengandungi nikotin boleh dijual dan diberi di merata tempat sepertimana gula-gula atau air minuman dalam botol.

Jadi, tidaklah memeranjatkan jika pelbagai laporan buruk diterima sebagai aduan dari semua peringkat — guru, ibu bapa, masyarakat, bahkan pelajar sendiri akan angkara penyalahgunaan vape. Malah, Kementerian Kesihatan mempunyai pengkelasan baharu, EVALI (ElectronicVape Associated Lung Injury) berhubung soal ini oleh kerana kejadiannya begitu mendadak semenjak kelonggaran penggunaan nikotin dibenarkan pada 1 April.

Yakni sudah masuk enam bulan meliputi seluruh negara termasuk anak-anak muda antara berjuta terkesan. Tetapi tidak sekecoh dakwaan seorang dewasa sebagai ahli Parlimen menghisap vape di ruang Parlimen pada 19 September lalu. Mengapa?

Adakah ini bermakna nyawa dan kesejahteraan anak muda kurang 18 tahun lebih murah daripada seorang YB (Yang Berhormat) yang dihiruk-pikuk dan dipolitikkan? Mengapa tidak ada pihak berarak seperti bantahan kes DNAA (melepaskan tanpa membebaskan) baru-baru ini?

Mana dia suara-suara yang membela anak-anak muda dan remaja teraniaya? Dimana Menteri Belia dan Sukan dalam hal ini? Katanya beliau patuh kepada keputusan Kabinet kononnya, walaupun kehendak para pengundi terpaksa disisihkan. Jelas ini satu tindakan dayus untuk menyelamatkan kerjaya politik sempitnya!

BERTEMBUNG

Bagaimana pula dengan Menteri Pendidikan apabila ramai pelajar sekolah bawah umur 18 tahun dilaporkan menderita akibat racun nikotin sejak 1 April lagi? Langsung tidak bersuara walaupun sudah diperkenal 40 hadis! Apa lagi yang diperlukan untuk membanteras penyalahgunaan dadah nikotin yang terang ketagihannya seiring dadah heroin?

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim? Tidakkah vape mencemar alam sekitar luaran (dan juga dalaman)? Bukankah bantahan di Parlimen berkaitan soal serupa? Namun, sunyi sepi bak ada dua darjat apabila anak-anak muda boleh mencemar udara melalui vape begitu sahaja tanpa bantahan langsung daripada kementerian berkenaan! Menteri ekonomi pula apa halnya?

Selain mengetengahkan isu ‘ketagihan’, makan diluar rumah, bagaimana dengan ‘ketagihan’ hakiki yang boleh menjejas kesihatan serta membawa maut pramatang kepada rakyat muda? Bagaimana pula dengan kos merawat ketagihan jenis baharu sepertimana amaran Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kepada Malaysia dalam isu ini? Ekonomi semasa mampukah?

Sedangkan ramai masih kais pagi makan pagi. Mengapa pula Menteri Kewangan tidak menasihati sewajarnya dalam kes hidup mati remaja tiang negara? Mengapa dipersia- siakan kerana matlamat utama hendak mengutip cukai nikotin, walaupun bak mencurah air pada daun keladi, jika tidakpun bagaikan api dalam sekam!

Atau mengapa tidak merujuk terus atau memujuk rayu Perdana Menteri untuk melakukan yang terbaik dan beramanah dalam melindungi nasib anak-anak muda yang daif? Mencontohi negara jiran yang berjaya dalam hal ini tanpa laungan madani pun.

Paling memalukan, kini Malaysia satu-satu negara terpencil di seluruh dunia sehingga ada negara lain mahu melabur besar-besaran dalam industri vape tempatan untuk pasaran dunia. Sengkek sangatkah maruah bangsa yang sanggup diperkudakan untuk meracuni manusia sejagat sebagai pembekal utama cecair vape seantero?

Apatah lagi isunya jelas bertentangan dengan setiap satu daripada enam rukun rasmi madani. Misalnya, vape dan nikotin tidak mampan, dan tidak juga sejahtera. Jelas! Mungkin berdaya reka dalam erti kata vape dan nikotin boleh diadun pelbagai cara memberi khayalan memuncak serta lebih membahayakan. Yakni daya reka negatif lagi memusnahkan. Maka sudah tentu tiada nilai hormat terpahat padanya. Juga tidak menyakinkan apabila tiada hormat. Apatah lagi dari segi ihsan.

Natijahnya, langkah membebaskan vape dan nikotin bertembung terus dengan enam tiang madani, lebih buruk lagi ia menghancurkan kerangkanya tatkala vape dan nikotin dibiarkan bermaharajalela seperti yang terlanjur sama ada sengaja atau tidak, terutama buat anak-anak muda.

Bagi Menteri Kesihatan, tidak perlu diulangi selaku ‘induk’ kepada musibah yang sepatutnya dielakkan tanpa bertolak ansur atau kompromi sama sekali. Oleh kerana sebaliknya, maka terdesak menghadapkan isu tersebut dibawa ke hadapan mahkamah oleh pihak yang peduli supaya nasib dan kesejahteraan rakyat tidak diambil enteng sahaja.

Sementara itu, terus berdoa agar yang dizalimi terbela jua mengatasi kerakusan dan ketamakan berkuasa. Tiada pilihan lain, selain diadakan satu jenama kacukan - ‘vape nikotin madani’!

PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).