Kembalikan Sentuhan Insani Dalam Pendidikan STEM Kebangsaan
Professor Tan Sri Dato' Dzulkifli Abdul Razak
MajalahSains.Com
11 Jun 2018
Kebahagiaan, kasih sayang dan saling menghormati. Tiga patah perkataan ini pertama kali dilafazkan pada majlis penyerahan tugas antara dua orang menteri di Kementerian Pengajian Tinggi, sebuah kementerian yang telah digugurkan buat kali ketiganya sejak diperkenalkan pada tahun 2004. Kata-kata itu melakarkan satu hasrat betapa dunia pendidikan mendatang berbeza daripada sebelum ini yang meriah dengan sorakan “soaring upwards“nya. Betapa tumpuan akan diberi kepada satu pembudayaan baru dalam menginsan persekitaran daripada sasaran-sasaran bernombor sahaja. Dan betapa nilai yang lebih terangkum boleh menggembirakan lagi pembelajaran berbagai lapisan – pelajar, sekolah, keluarga dan negara.
Perubahan ini tampak menyegarkan, setelah berdekad di”pandu” oleh angka-angka petunjuk prestasi atau Key Performance Indicator (KPI) ala-kilang, seolah-olah mengeluarkan benda-benda atau produk untuk dipasarkan. Sekali gus, petunjuk-petunjuk tersebut diperkenal sebagai tanda aras yang wajar disasar tanpa banyak perhitungan. Antaranya berkaitan konsep modal insan, kebolehpasaran, tadbir urus, managerialisme dan berbagai lagi. Malangnya, masing-masing membawa maksud dan pengertian yang sumbang kepada pendidikan amnya. Dan pengajaran dan pembelajaran itu tidak lagi menyeronokkan.
Lebih teruk lagi “kebahagiaan” yang diimpikan dirondong “ketegangan” sehingga membawa kepada berbagai tabiat kurang menyenangkan. Malah, berbagai keluhan kedengaran dan tidak kurang juga yang terdorong kepada salah laku (seperti meniru, menciplak dsb) yang kian meningkat semata-mata untuk memenuhi KPI yang dikenakan. Walaupun kedudukan universiti tersenarai teratas dalam berbagai liga global, tetapi dalam senarai etika belum tentu lagi kerana tiada sesiapa yang berminat “menyukatnya.” Maka timbul budaya yang agak membimbangkan berpaksi kepada “ketegangan”, “kebencian,” dan “saling mencurigai.” Pendek kata, kelangsungan tiga kata tersebut sememangnya dijangka, namun cabaran yang bakal didepani juga tidak sembarangan.
Dari satu sudut, ia agak melegakan kerana universiti akan diupaya untuk lebih menumpukan kepada perkara asas. Yakni bertindak sebagai medan ilmu untuk menzahir budaya positif yang bebas dari pengaruh luar – yang terdahulu politik berpuak-puak dan dihantui dengan budaya takut lagi menakutkan. Suasana ala-kilang yang tandus serta sering membosankan mencabar minda agar perlu segera dipulihkan. Semua ini mungkin berubah secara beransur-ansur, seiring keinsafan yang mulai timbul selepas begitu lama terpendam. Kemungkinan ia lebih menyerlah tatkala terkabulnya janji untuk menyerahkan semula hak kebebasan bersuara dan berfikir di kampus. Sekali gus menjiwai semula warga universiti keseluruhannya. Hal ini akan menjadi nyata dalam 100 hari bermula tanggal keramat Mei 10.
Namun, persoalan utama adakah universiti-universiti kita sudah bersedia? Sudah jelaskah apa yang perlu dilakukan dengan tuntas dan bijak? Bagaimana pula dengan “kebahagiaan”, “kasih sayang” dan “saling menghormati”? Dimana hendak disematkan? Ataupun kemana hendak dihalakan? Ini merupakan soalan cepu emas yang berkehendakkan kebijaksanaan bukan kepalang. Lantas daya pemikiran luar kotak kerana percaturannya juga luar biasa. Apatah lagi bila bertembung dengan STEM yang “akarnya” masih tidak menentu. Ini memandangkan pendekatan sains dan teknologi sering dikata “tanpa roh” yang boleh menyukarkan lagi perhitungan dalam memaknakan “kebahagiaan” apa lagi “kasih sayang.” Apa lagi jika menyongsang ekoran andai-andaian “saintifik” tertentu. Misalnya, “kebahagiaan” jika diertikan sebagai “happiness” akan menimbulkan muslihat tersendiri. Dan jika tidak ditangani dengan “ilmu” yang tepat akan menimbulkan “angkara” yang tidak berkesudahan. Begitu juga dengan “kasih sayang”. Hal ini akan melebar lagi dalam penentuan agenda Revolusi Industri Keempat dalam mencari “kebahagiaan” masa hadapan kononnya. Malah, Jack Ma pernah memperkatakan tentang Love Quotient (LQ) yang disambut baik oleh pentadbiran lalu. Adakah ini sama dengan “kasih sayang” yang dimaksudkan? Adakah ini sama dengan Spiritual Quotient (SQ)?
Oleh yang demikian, pada hemat saya satu hala tuju yang agak selamat dan mendekati penyelesaian adalah kearah Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK, 1996) dalam pengertian yang sebenarnya mengikut acuan kita sendiri. Malah, ianya juga relevan kepada acuan Malaysia Baharu.
Mengapa sedemikian rupa terjawab kerana FPK merupakan kerangka unggul yang rata-rata dipersetujui berkait rapat dengan pembinaan negara sekali gus sahsiahnya. Tambahan, FPK mengasaskan apa yang wajar bagi pendidikan warga Malaysia, merentasi abad ke-21, tersimpul dalam dua rangkaian kata: “seimbang dan harmonis,” serta “kesejahteraan diri”. Inilah biji-biji benih pembudayaan pendidikan negara yang selama ini agak terabai ataupun diabaikan.
Ringkasnya, “kebahagiaan”, “kasih sayang” dan “saling menghormati” mahu atau tidak adalah antara intisari biji benih FPK. Dengan kata lain, melalui FPK pelbagai pembudayaan tidak mustahil dijelmakan seperti termaktub didalamnya, yakni “kemakmuran” dan “keharmonian” baik bagi diri, keluarga, masyarakat dan negara. Disinilah nanti tiga patah perkataan tersebut akan terasuh secara spontan dan semula jadi bernafaskan FPK.
Akhir kalam, apa saja pengembaraan pendidikan yang bakal dilakukan di Malaysia mesti mengakar kepada FPK. Selama ini ia terpinggir kerana disangka tidak menjangkau abad ke-21. Lebih teruk lagi tidak yakin kepadanya. Maka berdekad-dekad kita mencari-cari, sedangkan “batu geliga” bercahaya di hadapan mata tetapi disangka kaca.
Masanya telah tiba untuk memugar semula FPK dalam membangunkan Malaysia Baharu dalam acuan kita. Semoga kita tidak tersalah langkah lagi demi masa hadapan generasi hari muka yang bahagia, berkasih sayang dan saling hormat menghormati.
Nota – Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak merupakan penerima anugerah Tokoh Akademik Negara 2017. Beliau merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Felo Akademi Sains Malaysia (ASM) dan Felo Akademi Sains dan Sastera Sedunia (WAAS) dan mantan Naib Canselor USM (2000-2011). Beliau boleh dihubungi melalui emel: dzulrazak51@gmail.com