• 2018
  • Cabaran dalam pendidikan tinggi negara

Cabaran dalam pendidikan tinggi negara

Professor Tan Sri Dato' Dzulkifli Abdul Razak
Kolumnis - Berita Harian Online
15 Julai 2018

150718BH

KEBAHAGIAAN, kegembiraan, kasih sayang dan saling menghormati. Semua perkataan ini pertama kali dilafaz pada majlis penyerahan tugas bekas Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh kepada Menteri Pendidikan, Dr Mazslee Malik.

‎Kata-kata itu melakarkan satu hasrat betapa dunia pendidikan mendatang berbeza daripada sebelum ini dengan sorak soaring upwards.

Betapa tumpuan akan diberi kepada satu pembudayaan baharu dalam menginsankan persekitaran daripada sasaran bernombor sahaja. Betapa pula nilai yang lebih terangkum boleh menyeronokkan lagi pembelajaran dari pelbagai lapisan - pelajar, sekolah, keluarga dan negara.

Perubahan ini tampak menyegarkan selepas berdekad-dekad 'dipandu' oleh angka Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ala kilang, seolah-olah mengeluarkan benda atau produk untuk dipasarkan.

Malangnya, KPI itu sudah membawa maksud dan pengertian yang sumbang kepada pendidikan amnya.

Pelbagai keluhan kedengaran dan tidak kurang juga yang terdorong kepada salah laku (seperti meniru, menciplak) semata-mata untuk menepati KPI yang dikenakan. Timbul budaya yang agak membimbangkan, berpaksi kepada kebencian dan saling mencurigai.

Pendek kata, kelangsungan tiga kata itu sememangnya wajar, namun cabaran yang bakal didepani juga tidak sembarangan.

Zahir budaya positif

Dari satu sudut, ia agak melegakan kerana universiti akan diupayakan untuk lebih menumpukan kepada apa yang asas.

Yakni bertindak sebagai medan ilmu untuk menzahir budaya positif yang bebas daripada pengaruh luar - politik berpuak-puak, khususnya dan ditelusuri dengan budaya takut lagi menakutkan.

Suasana ala kilang yang tandus serta sering membosankan mungkin ‎dapat dipulihkan serentak. Semua ini perlu berubah seiring keinsafan yang mulai timbul selepas begitu lama terpendam.

Kemungkinannya lebih menyerlah tatkala terkabulnya janji untuk menyerahkan semula hak kebebasan bersuara dan berfikir, lantas mula menjiwai warga universiti keseluruhannya. Hal ini akan menjadi nyata 100 hari dari tanggal keramat Mei 10.

Pun begitu, soalnya sama ada universiti kita sudah bersedia? Sudah jelaskah apa yang perlu dilakukan dengan tuntas dan bijak? Bagaimana pula dengan kebahagiaan, kasih sayang dan saling menghormati?

Di mana hendak disematkan? Ataupun ke mana hendak dihalakan? Ini soalan cepu emas yang berkehendakkan kebijaksanaan yang bukan kepalang. Apatah lagi apabila bertembung dengan pendekatan serta dasar yang sering dikata tanpa roh.

Misalnya, 'kebahagiaan' jika difahami sebagai happiness kita akan berhadapan dengan muslihat tersendiri.

Jika tidak ditangani dengan ilmu yang tepat, besar kemungkinan menimbulkan angkara yang tidak berkesudahan. Begitu juga 'kasih sayang' sebagai love. Ini hanya dua contoh.

Oleh yang demikian ke mana hendak dihalakan? Pada hemat saya hala tujuan yang agak selamat dan mendekati penyelesaian menelusuri semula Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK,1996) sebagai konteksnya. Mengapa?

Jelasnya, kerana Falsafah Pendidikan Kebangsaan ialah kerangka unggul yang rata-rata dipersetujui berkait rapat dengan pembinaan negara, sekali gus sahsiahnya.

Tambahan, Falsafah Pendidikan Kebangsaan mengasaskan apa yang wajar bagi pendidikan warga negara Malaysia, tersimpul dalam dua rangkaian kata: 'seimba‎ng dan harmoni' serta 'kesejahteraan'.

Kembali kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan

Inilah biji benih pembudayaan pendidikan negara yang selama ini agak terabai ataupun diabaikan. Ringkasnya kebahagiaan, kasih sayang dan saling menghormati mahu atau tidak ialah antara inti sari biji benih Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Dengan kata lain, melalui Falsafah Pendidikan Kebangsaan pelbagai pembudayaan tidak mustahil dijelmakan seperti yang termaktub bagi tujuan kemakmuran dan keharmonian diri, keluarga, masyarakat dan negara. Dan apa itu kebahagiaan, kasih sayang dan saling menghormati.

Akhir kalam, apa saja pengembaraan pendidikan yang akan dilakukan di Malaysia ia mesti mengakar kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Selama ini, ia terpinggir kerana disangka tidak menjangkau abad ke-21. Oleh itu, masanya sudah tiba untuk memugar semula‎ Falsafah Pendidikan Kebangsaan dalam membangunkan Malaysia Baharu dalam acuan kita.

Semoga kita tidak tersalah langkah lagi demi masa hadapan generasi hari muka.

Penulis ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)