Selamat Tinggal Majlis Profesor Negara – Pengajaran & Iktibar
Professor Tan Sri Dato' Dzulkifli Abdul Razak
MajalahSains.Com
28 Mei 2018
Sahlah sudah bahawa Majlis Profesor Negara (MPN) terbubar ekoran pengumuman yang dibuat baru-baru ini. MPN terletak dibawah Jabatan Perdana Menteri dan dipengerusikan oleh Penasihat Sains kepada Perdana Menteri. Oleh itu pembubarannya menimbul banyak persoalan kepada ramai.
Namun, kepada yang tahu menahu tindakan tersebut sudah pun dijangka. Malahan, ianya bukan suatu kejutan langsung. Mengapa sedemikian? Untuk tujuan itu ada baiknya jika diketahui serba sedikit latar belakang tertubuhnya majlis tersebut.
Latar Belakang MPN
Ia tertubuh hampir 10 tahun yang lalu anjuran Kementerian Pengajian Tinggi. Ketika itu, tujuannya adalah untuk “merakyatkan” ilmu yang ada di universiti. Ini terutama sekali berguna apabila masyarakat umum menghadapi isu-isu baru ataupun yang membawa keperitan kepada mereka. Dan isu tersebut tidak pula mudah untuk difahami. Oleh demikian, rakyat terus tertanya-tanya dan menjadi satu bebanan untuk mencari penyelesaian. Dalam pada itu keadaan terus berleluasa. Begitu juga deritanya.
Ambil saja contoh soal banjir atau bah yang agak lumrah dipantai timur umumnya. Ia boleh dikatakan sudah menjadi sebahagian dari cara hidup mereka. Apapun kebelakangan ini fenomena sedemikian menjadi lebih kerap dan bertambah tenat. Bilangan yang terpaksa berpindah meningkat, begitu juga jangkamasa banjir berkenaan, serta menyebabkan lebih banyak kerosakan dan kehilangan nyawa. Hal ini dapat diamati pada awal tahun 2015 misalnya. Ia menimbulkan kegusaran umum dan mereka terlibat hilang sabar kerana ini adalah luar jangkaan mereka berbanding tahun-tahun sebelum itu. Dari satu segi terkini, “tsunami” teknologi yang turut membadai merupakan satu lagi isu bakal mengundang berbagai natijah yang belum difahami secukup-cukupnya sebelum sebarang keputusan mutlak diambil.
Sentuhan Masyarakat
Keadaan menjadi lebih buruk apabila negeri dan kawasan di pantai barat semananjung juga turut terkesan. Malah begitu juga di selatan. Dalam keadaan beginilah peranan MPN membuak-buak untuk bertindak sebagai penghubung dengan masyarakat keseluruhannya. Baik dari segi ilmu – yakni memberi penjelasan serta mendapatkan maklumbalas dari khalayak agar dapat menyakinkan mereka tentang apa yang sedang berlaku. Serentak mengenal pasti akan penyelesaian; sama ada jangka pendek apatah lagi jangka panjang, tindakan sudah boleh dimulakan bagi meringankan keadaan semasa. Para pelajar dan universiti amnya boleh turut terlibat secara sukarela.
Usaha seumpama ini menguntungkan semua pihak dalam satu gandingan yang amat bermakna apabila ilmu diterjemahkan kepada tindakan yang berupaya menyelesaikan masalah. Sedangkan para profesor berperanan sebagai “sukarelawan” seiring para pelajar dan universiti. Maka MPN berupaya memecah benteng pemisah antara universiti dan masyarakat yang sewajar merupakan hakikat dalam mengiktiraf peranan seorang profesor dan juga sebuah universiti yang berwibawa.
Menara Gading
Ringkasnya, budaya Menara Gading yang sering dikaitkan dengan sesebuah universiti sudah mula dipecahkan. Maksudnya, pertanggungjawaban sesorang profesor, malah para akademik umumnya adalah untuk mendampingi dan membela masyarakat. Ilmu menjadi asas utama baik melalui pengajaran dan pembelajaran, atau penyelidikan apatah lagi dalam menawarkan perkhidmatan kepada masyarakat secara sukarela serta menabur bakti selepas mendapat begitu banyak laba daripada keringat serta sumbangan masyarakat kepada universiti baik secara langsung atau tidak.
Ini juga bermaksud kepompong Menara Gading wajar dilenyapkan kerana ia menjadi penghadang besar dalam membina hubungan universiti-masyarakat melalui para akademik serta profesornya. Selagi ini tidak terjadi, kedua-dua dunia ini akan terus terpisah dan universiti leka dengan mimpi-mimpinya untuk menjadi bijak pandai yang tidak berpijak dibumi nyata. Ilmunya terpendam dalam jurnal akademik, suaranya terbatas didewan-dewan berhawa dingin untuk dihidangkan untuk halwa telinga mereka yang juga hidupnya di Menara Gading masing-masing baik dari seluruh dunia sekalipun. Penderitaan rakyat dikaji dan bicara sekadar memenuhi syarat untuk menyelidik dan menerbit bagi meraih ganjaran kenaikan pangkat dan menempa nama serta populariti kelas dunia. Tidak dapat tidak, ada diantara mereka dikenali sebagai “profesor kangkung” seperti ejekan terhadap golongan yang hidup dalam kepura-puraan.
Kiasan “Kangkung”
“Kangkung” sebagai sejenis sayuran sememangnya amat dikenali ramai. Ia mempunyai zat dan khasiat yang banyak, berupaya pula memberi manfaat kepada mereka yang memakannya. Sepertimana seorang profesor – kiasan ini mengakui yang beliau juga berupaya memberi manfaat kepada sesiapa yang berdampingan dengannya melalui limpahan serta perkongsian ilmu yang ada padanya. Pada saya gelaran “profesor kangkung” itu tidak mempersoalkan kewibawaannya sebagai seorang sarjana dan ilmuwan. Sebaliknya yang menjadi persoalan utama adalah kesanggupan beliau untuk menawarkan ilmu kepada khalayak sejagat. Umpama “kangkung” yang hidup meluas, namun agak longlai kerana “batang tubuh”nya agak lembut dan mudah dihembus angin kekiri dan kekanan. Begitu jugalah profesor berkenaan yang tiada pegangan mutlak berasaskan kepakaran ilmunya. Malah, mudah condong kesana kemari bergantung kepada angin politik atau kemewahan yang meniup dari masa ke masa. Dengan kata lain, seseorang profesor kangkung itu tidak ada jati diri akademiknya tersendiri. Mereka tidak “profess” atau mengutarakan satu-satu prinsip pendirian secara konsisten sebagai perjuangannya. Ini terkias terus umpama sayur kangkung yang tidak mengakar secara mendalam walaupun tumbuh segar dan lampai. Sebaliknya ia terapung-apung dalam air secara sendirian, andaian kepura-puraan Menara Gading yang sedang menghantui banyak universiti serta para profesor yang tidak juga berakar dengan kukuh. Malah tidak juga berani atau sanggup menyanggah yang jelas salah, apatah lagi bertindak memperbetulkan yang telah tersimpang jauh berasas akan ilmunya.
Kesimpulan dan Pengajaran
Inilah halnya dengan MPN kebelakangan ini. Dibadai angin kemewahan sebagai suatu organisasi berprestij dinaungi Perdana Menteri pada ketika itu, dan ditiup pula oleh muslihat politik yang menyimpang, MPN mula terjerumus sebagai sebuah organisasi yang hilang punca serta “sesat” dalam memakhotakan peranannya membela nasib rakyat. Malah ada yang mendakwa MPN berusaha pula sebagai pelaris agenda politik yang tidak lagi dapat dipertahankan. Pendek kata kiasan “kangkung” yang dihujahkan diatas terus mewarnai MPN. Sekali gus pegangan ilmunya dipersoal, kewibawaan moralnya menjadi tanda tanya, malah kewujudannya sebagai badan berkecuali berdasarkan pegangan dan pendirian yang mutlak juga disangsi.
Kerja-kerja baik dan amal yang dilakukan selama ini tenggelam, sebaliknya mengundang pembubaran kerana tidak lagi berpaut kepada amanah sebagai orang yang berilmu serta berhikmah. Demikianlah peringatan yang dapat ditarik oleh dunia akademik mengambil iktibar daripada apa yang di alami MPN, sama ada disedari atau tidak untuk bangkit semula menegakkan Malaysia dalam era baru ini dengan menyanjung amanah berilmu tanpa berkompromi sama sekali.
“…’guts’ is a commodity that is scarce nowadays in the country”
– Mahathir Mohamad, 7th Prime Minister (10 May 2018)