Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Revolusi Industri Ke-4
Professor Tan Sri Dato' Dzulkifli Abdul Razak
MajalahSains.Com
12 Februari 2018
Tahukah anda bahawa Malaysia mempunyai falsafah pendidikannya sendiri? Maksudnya satu pemetaan minda sudah pun wujud untuk dimanfaatkan melalui pendidikan keseluruhannya. Dari mula masuk ke sekolah, hatta prasekolah sekalipun hinggalah tamat pengajian, kita terbimbing oleh falsafah ini selagi masih berada dalam sistem pendidikan Malaysia. Begitu jugalah di negara-negara lain dengan falsafah dan sistem pendidikan mereka tersendiri.
Ini bermakna, walaupun terdapat beberapa persamaan antara sistem-sistem pendidikan sedia ada, namun terdapat perbezaan yang unik bagi sistem di negara masing-masing. Keunikan inilah memperjelaskan jati diri negara atau kelompok masyarakat yang unggul di negara tersebut dalam menepati? kehendak serta konteks setempat termasuk nilai, budaya serta tamadun dan peradaban yang berlainan tetapi tidak kurang penting dan ampuhnya.
Itu jugalah yang membuat pendidikan itu kaya dengan pelbagai ilmu dan pengetahuan setempat sebagai satu perkongsian untuk dunia sejagat. Bagi Malaysia, bahasanya sudah tentu satu-satu kelainan yang membawa maksud serta pandangan dunia yang lain dari yang lain. Ia jelas merupakan satu sumbangan budaya yang tidak ada tolok bandingnya.
Ambil saja contoh amalan “budi” sebagai nilai berbahasa dan berbudaya tinggi. Ataupun “sejahtera” sebagai nilai yang membayangkan cara hidup sempurna lagi seimbang. ?Tanpa kedua-kedua konsep ini akan terdapat kelompangan? baik dari sudut nilai, budaya dan cara hidup. Bayangkan tanpa falsafah bagaimana pula pendidikan akan terarah dan apa pula kesudahan usaha kita membangun negara bangsa Malaysia.
Apa itu FPK?
Untuk tujuan inilah Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) merupakan satu landasan cukup penting dan mustahak untuk difahami, dihadami dan disempurnakan. Pada dasarnya, ada lima penumpuan serta asas yang wajar diberi keutamaan.
Pertama, FPK berhasrat untuk memupuk insan seimbang dan harmonis melalui kesepaduan ilmu melalui pendidikan secara berterusan.
Kedua, kesepaduan serta keseimbangan harmonis tersebut merujuk kepada empat aspek utama yang menyentuh asas jasmani, intelek, rohani dan emosi (JIRE).
Ketiga, asas utama kesepaduan JIRE untuk melahirkan insan seimbang dan harmonis adalah berpaksikan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.
Keempat, hasil dari ini akan memperlihatkan keberadaan ‘kesejahteraan diri’ bagi setiap individu melalui sistem pendidikan Malaysia, dan
Kelima, kesudahannya individu tersebut berupaya menyumbang kepada keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara; begitu jugalah dunia sejagat.
Kelima-lima perkara ini tersusun dengan tertib dan rapi untuk memboleh setiap individu terdidik peringkat demi peringkat sebagai seorang insan (bukan ‘modal insan‘) seimbang yang berupaya menyumbang atas dasar ilmu yang diperoleh serta nilai yang seimbang. Jika dihubungkaitkan kelima-lima aspek teras ini, maka terzahirlah FPK yang serba indah lagi sempurna berbunyi:
“Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, betanggungjawab, berketrampilan, dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.”
(Sumber: Kementerian Pelajaran Malaysia, 1996)
Apa?kah ‘kesetaraan’ FPK?
Saya menilai FPK sebagai serba indah dan sempurna kerana kesetaraannya begitu istimewa baik dari perspektif dan hasrat UNESCO sekalipun. ?Khususnya dalam mengungkapkan pendidikan abad ke-21 mengikut empat ‘tiang pembelajaran’ yang diuar-uarkan badan tersebut merangkumi: learning to know, learning to do, learning to be serta learning to live together.
Pertama sekali, FPK digubal pada tahun 1988 berbanding dengan empat ‘tiang pembelajaran’ UNESCO yang diterbitkan pada 1998 – satu dekad kemudian, malah dua tahun selepas FPK disemak semula pada 1996.
Apapun ‘kesetaraan’ dengan pendidikan abad ke-21 yang diutarakan FPK masih relevan sehingga hari ini. Maknanya, Malaysia bukan saja mendahului badan dunia itu 10 tahun lebih awal, tetapi mempunyai wawasan yang begitu jauh kehadapan lagi bersesuaian dengan kehendak zaman.
Dengan kata lain selagi mana-mana satu antara lima perkara utama dalam FPK tidak terlangkau atau terabai serta dilakukan dengan sempurna maka jelas matlamat serta hasrat FPK akan kesampaian dan selagi gus pendidikan menjadi pemacu masa hadapan mendahului yang lain. Dan ini dengan tercapai ‘kesejahteraan diri’ semesti dapat mengelak dari mengalami apa-apa kepincangan pada seseorang individu yang seimbang, apatah lagi masyarakat dan negaranya.
Oleh itu persoalan yang timbul sekarang, dimana letaknya Revolusi Industri Ke-4 (RI4) dalam konteks FPK?
Kewajaran Revolusi Industri Ke-4 dan FPK
Untuk menjawab persoalan tersebut, kita perlu kembali semula kepada landasan falsafah – yakni adakah falsafah RI4 itu sesuai dan selaras dengan FPK? Atau sebaliknya?
Dari segi RI4, kita telah maklum dari makalah-makalah terdahulu bahawa kesan yang dijangka dari RI4 amat berbeza sekali berbanding dengan hasrat FPK seperti yang sebut diatas. Misalnya RI4 sebagai sebahagian dari turutan berbagai revolusi industri sejak 250 tahun lalu menampakkan kesan alam sekitar menjadi tidak seimbang dihampir semua peringkat. Ia tidak terhad kepada peringkat setempat malah merangkumi lebih jauh dari itu. Dan umumnya keadaan menjadi lebih tenat.
Misalnya, Forum Ekonomi Sedunia (WEF) di Davos tahun demi tahun memaparkan betapa jurang ketidak keseimbangan ?menjadi lebih luas sejak sedekad lalu. Sayugia diingatkan bahawa FPK telahpun wujud sebelum ini dengan hasrat yang berlainan bahkan bertentangan.
Oleh itu keyakinan bahawa RI4 akan mampu merapatkan jurang yang ada dan sekaligus membawa balik keseimbangan diantara berbagai pihak, selain insan itu sendiri, amat diragui. Bermakna juga RI4 akan terus mengancam keadaan semasa dan menjadikan keadaan lebih buruk lagi apabila pekerjaan menjadi rebutan antara mesin dan manusia contohnya.
Seiring dengan ini, apa yang jelas adalah RI4 seperti sebelumnya, lebih dipacu oleh kepentingan ekonomi serta keuntungan sebagai matlamat utamanya. Sektor-sektor lain hanya secara sampingan saja sehingga membawa kita kepada kedudukan semasa dengan pelbagai krisis yang menimpa. Pendek kata, aspek JIRE diseret untuk lebih memugar ekonomi semata-mata tanpa banyak menghiraukan aspek lain. Ini bermaksud, insan yang terbina akan lebih mirip berperanan sebagai insan cenderung ekonomi lantas tidak seimbang dalam percaturannya. Semua ini jelas merupakan sesuatu pertembungan dengan FPK.
Bertolak dari ini, keraguan untuk menyelami dan menyempurnakan ‘kesejahteraan diri’ seperti yang jelas tercatat dalam FPK turut menjadi samar-samar. Malah, tidak langsung terungkap dalam agenda RI4 ?kerana ‘kesejahteraan diri’ pada asas membawa nilai-nilai kerohanian yang nyata. Ini sudah tentu tidak akan terjelma melalui kerangka RI4 yang rata-rata berpaksikan dimensi teknologi tanpa roh. Kelangsungan dari ini terbit pula berbagai aspek etika dan moral seiring dengan soal-soal fitrah manusia itu sendiri.
Walaupun RI4 dikatakan akan membawa lebih kekayaan dan kemewahan, semuanya persis berpusat kepada kebendaan dan material semata-mata. ?Ini menjadikan ketidakseimbangan dengan bukan material atau kebendaan terus menerus berleluasa sebagaimana dikatakan di Davos.
Apa lagi kemungkinan besar nilai kerohanian dan emosi akan terus tercicir sepertimana kekhuatiran yang disuarakan pada peringkat WEF sekalipun.
Kesimpulan
Daripada perbincangan terdahulu, sudah dapat dirasai bahawa RI4 bukannya sesuatu yang mudah diterima mengambil pandangan FPK. Ia disebabkan asas dan nilai falsafah yang amat berbeza antara kedua-duanya. Dengan kata lain, kewajarannya agak rendah dan dengan itu memerlukan beberapa langkah bijak untuk menentukan bahawa FPK tidak sekali-kali diasingkan dalam keghairahan untuk menjadi RI4 kenyataan tanpa memberi ruang kepada nilai, budaya dan tamadun setempat berkembang dalam arus perdana. Di sini terletaknya kehebatan FPK untuk menentukan RI4 dapat diinsankan seperti yang dihuraikan dalam artikel sulung dalam kolum Sains untuk Manusia ini.