Berhemah Menghadapi Ledakan Kecerdasan
Professor Tan Sri Dato' Dzulkifli Abdul Razak
MajalahSains.Com
14 November 2017
Pada bulan Mac tahun lalu, pertandingan antara sebuah mesin dengan manusia berentap dalam satu permainan budaya Cina (seakan permainan dam) yang dikenali sebagai? “Go” telah berlangsung. Cara permainan ini dikatakan amat rumit sekali kerana terdapat berbagai “langkah” terlibat untuk memenangi permainan satu antara satu itu. Lee Sedol adalah juara dunia bagi “Go” dan sering muncul pemenang, namun tertewas beberapa kali oleh mesin yang diprogram khas untuk tujuan ini.
Kehebatan Mesin
Berasaskan algoritma yang direka untuk bermain “Go” oleh sebuah syarikat bernama DeepMind (anak syarikat Google), mesin berkaitan pernah memenangi 4 dari 5 permainan yang dipertandingkan dengan Lee Sedol. Ini adalah kerana mesin tersebut melalui aturcara tertentu mampu dilatih dengan mencontohi bagaimana pemenang Lee Sedol melakukannya. Latihan itu dijalankan bertubi-tubi sehingga mesin tersebut begitu sebati dengan corak permainan dan seterusnya mengatasi ?keupayaan manusia memandangkan mesin boleh bertindak dengan lebih pantas. Inilah keistimewaan kecerdasan buatan (AI) dalam melakukan tindakan-tindakan yang dilakar melalui algoritma untuk memberi tumpuan sepertimana yang dikehendaki. Dan ini disamakan dengan sebutan “berfikir” bagi sebuah mesin. Ataupun “mesin berfikir” (?thinking machine).
Berbanding dengan seorang manusia, keistimewaan “berfikir” begitu rupa agak berbeza kerana manusia masih bebas membuat sesuatu yang lain disamping itu mengikut apa yang difikirkannya. Umpama berlaku kebakaran semasa permainan sedang giat berlangsung, manusia masih ada pertimbangan lain untuk bertindak; bergantung kepada apa yang difikirkannya. Ia boleh lari untuk menyelamatkan diri misalnya. Walaupun terpaksa mengaku kalah dengan meninggalkan permainan yang sedang berjalan, ia merupakan satu antara banyak pilihan yang terbuka kepada manusia. Memenangi permainan bukannya sesuatu yang mutlak dalam konteks menyelamatkan diri. Konteks adalah ciri yang terpenting bagi seseorang manusia untuk membuat keputusan.
Kehebatan Manusia
Bagi mesin pula, konteks tidak wujud baginya. Hal sedemikian tidak penting memandangkan algoritma yang ada tidak membenarkan mesin secara “automatk” mengenali apa itu “kebakaran” atau konteks-konteks yang lain. Maksudnya, peristiwa yang tidak ada kena mengena dengan taktik permainan mengikut algoritma berkaitan tidak dipentingkan, maka ia tidak akan diambil kira sama sekali. Yang pasti adalah penumpuan seratus peratus untuk memenangi permainan tersebut tidak kira apapun yang berlaku pada persekitarannya. Pendek kata, mesin tidak ada kebebasan “berfikir” – malah apa yang dikatakan “berfikir” bagi mesin sebenarnya semata-mata satu kepatuhan kepada aliran algotrima sahaja (ini berlaku kepada manusia yang menurut saja membuta tuli seakan-akan sebuah mesin). Ia seolah-olah satu bentuk “penghafalan” yang akan diulang berkali-kali tanpa perlu “berfikir” akan erti kata sebenarnya. Hal ini juga disebut sebagai automasi (automation).
Sungguhpun algoritma boleh direka untuk mengenali apa itu “kebakaran”, tetapi apabila banjir (atau yang lain-lain lagi) pula yang berlaku mesin tersebut terus tidak mempedulikannya selagi tidak terkesan dalam algoritma berkenaan. Hakikatnya mesin tiada pertimbangan lain.
Disinilah terletaknya kehebatan pemikiran manusia yang lebih luas skop tindakannya secara semulajadi. Disini jugalah ?terletaknya kehebatan manusia mengawal mesin dan mengelak dirinya dari menjadi hamba kepada mesin yang diciptanya sendiri. Malangnya ramai yang tidak menyedari hakikat ini.
Mesin Lawan Manusia
Pun demikian, permainan yang sama dikenali sebagai “AlphaGo Zero” dikatakan agak lebih canggih dari versi awal (“AlphaGo”). Versi baru ini tidak perlu dilatih sama sekali seperti ?yang terdahulu. Bahkan tidak ada apa-apa input atau bantuan dari manusia diperlukan langsung. Mesin seolah-olah belajar dengan sendirinya walau maksud “belajar” disini mungkin lagi sekali berbeza dari pengertian “belajar” sebenarnya yang memerlukan konteks seperti yang dihujahkan tadi. Apapun proses terbaru ini membolehkan kita bertegas akan berlakunya satu “ancaman” dari mesin yang diupayakan membuat tindak-tanduk tersendiri hasil ledakan kecerdasan mengikut kemajuan AI semasa. Ini sudahpun berlaku dalam penyelidikan? ketenteraan di negara memaju terutamanya. Tujuan adalah untuk mencipta apa yang dikenali sebagai mesin atau robot pembunuh (killer machine/robot) yang mampu belajar dengan sendiri untuk melakukan pembunuhan mengikut apa yang telah di programkan termasuk membunuh manusia.
Secara amnya, teknologi ini dipanggil sistem automasi seperti mana di kilang-kilang menggunakan robot. Perbezaannya adalah ia tidak tertumpu di medan kilang-kilang malah digunakan di medan perang supaya tidak banyak “nyawa” terkorban dari pihak yang menyerang – satu keanihan yang tidak masuk akal.
Memandangkan risiko yang amat dahsyat angkara robot pembunuh ini, PBB telahpun bersetuju untuk menganjurkan satu perbincangan antarabangsa meneliti akan persoalan ini. Berbagai perwakilan, termasuk pertubuhan sivil dan kemanusiaan akan turut terlibat selain dari pihak industri dan teknologi. Langkah ini menunjukkan betapa dunia meragui tentang kemampuan pemilik serta membuat dasar berkaitan penyelidikan serta pengunaan AI dalam soal mempertahankan kewujudan hak dan nilai manusia berbanding mesin. Malah rancangan untuk mengharamkan pembikinan robot pembunuh akan turut dipertimbangkan juga sebagai satu langkah pencegahan dan perlindungan bagi manusia sejat.
Dalam hal ini banyak yang boleh kita pelajari dari pengalaman lama yang melibatkan alat serta senjata lain seperti nuklear misalnya. Pada September lalu, satu perjumpaan telahpun berlangsung di New York dibawah kelolaan PBB dan telah juga bersetuju untuk mengharamkan senjata nuklear walaupun proses ini mengambil masa berdekad-dekad lamanya. Apa yang menarilk perhatian adalah hakikat jika senjata nuklear boleh diharamkan mengapa tidak robot pembunuh yang mungkin dilengkapi senjata nuklear kemudian hari kelak. Disinilah letaknya kepintaran dan hemah manusia untuk menentukan kejagatannya terus di pertahankan.
Kesimpulannya, dalam mengharungi ledakan kecerdasan hasil dari kehebatan minda manusia merekacipta berbagai algoritma, penting bagi kita tidak kehilangan punca dalam mentafsirkan kehebatan mesin itu seolah-olah sama dengan kehebatan manusia. Jelasnya ini tidak tepat malah sebaliknya. Oleh yang demikian manusia wajar mempertahankan kedudukannya tanpa berkompromi tentang soal-soal etika dan moral apabila berhadapan dengan ledakan kecerdasan buatan. Hanya dengan cara ini saja baru satu kesempurnaan dapat dicapai melalui kegunaan mesin yang lebih berhemah.
Nota – Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak baru-baru ini menerima anugerah Tokoh Akademik Negara 2017. Beliau merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Felo Akademi Sains Malaysia (ASM) dan Felo Akademi Sains dan Sastera Sedunia (WAAS) dan mantan Naib Canselor USM (2000-2011).