Memerdekakan Sains

Professor Tan Sri Dato' Dzulkifli Abdul Razak
MajalahSains.Com
29 Ogos 2017

Pada ruangan lalu, kita berbicara betapa sains kini mula dikatakan menjadi kaku dengan beberapa andaian dan kaedah yang dikenakan keatasnya. Ini dapat dilihat apabila sains saling berinteraksi dengan persoalan yang datang dari luar pemikiran “materialist” atau yang berpaksi pada kebendaan ataupun yang bersifat sedemikian. Inilah dia yang dimaksudkan dengan aliran pemikiran dogmatik terkekang dengan kerangka tertentu sejak beberapa lama dan kini perlu dirungkaikan.

Pemikiran Mekanis

Mereka yang terjebak dengan aliran ini dikenali sebagai “mekanis” (mechanist) kerana menolak sama sekali unsur-unsur yang bukan mekanikal dalam bentuk atau perlakuannya. Ambil saja sebuah jentera, ia mempunyai bahagian tertentu yang boleh difahami dan diterangkan secara mekanikal, termasuk proses-proses serta mekanimse yang jelas (boleh dilihat, diukur dan sebagainya). Seorang mekanis lebih cenderung berfikir sedemikian. Mereka juga percaya bahawa manusia boleh difahami seolah-olah sebuah “jentera” yang wujud kerana proses-proses biokimia secara “mekanikal” membolehkan ia berfungsi, ataupun dalam menjalani kehidupan. ‎Sebab itulah otak manusia sering dibanding dan diandaikan sebagai sebuah komputer walaupun pada hakikatnya otak atau akal manusia itu lebih hebat dari cantuman ribuan komputer kerana ada fungsi otak manusia yang tidak dapat difahami secara mekanis misalnya. Ada aspek-aspek lain yang juga tidak mampu diterangkan dari sudut biokimia semata-mata terutama sekali apabila berhadapan dengan konsep-konsep berasas kerohanian atau kesedaran (consciousness) yang tidak mendapat tempat dalam pembicaraan golongan ini. Oleh itu apa yang dianggap sebagai hidup mungkin sangat berlainan dari kumpulan-kumpulan yang mengenali kewujudan “roh” serta “kesedaran” umpamanya. Sekaligus tanggapan tentang manusia dan peranannya turut berbeza. Dan ini dipanjangkan pula kepada makhluk bernyawa yang lain, termasuk alam sekitar malah alam semesta sekalipun. Mengikut fahaman materialisme saintifik, apa yang boleh diterima adalah seperti berikut:

“Scientific Materialism accepts only one reality: the physical universe, composed as it is of matter and energy. Everything that is not physical, measurable, or deducible from scientific observations, is considered unreal. Life is explained in purely mechanical terms, and phenomena such as Mind and Consciousness are considered nothing but epiphenomena – curious by-products, of certain complex physical processes (such as brainphysical processes, for example: brain metabolism).”

Ternyata pandangan mekanis seumpama ini membawa berbagai pergeseran antara manusia ‎dan persekitarannya sehingga mendatangkan keruntuhan yang teramat nyata sepertimana terdapat sekarang ini. Pergeseran ini juga terkesan dari segi kerenggangan perhubungan antara manusia dengan makhluk-makhluk lain dan menjadikan keadaan persekitaran lebih genting. Apatah lagi ini mempermudahkan manusia bertindak liar serta tidak bertanggungjawab bagi melakukan apa sahaja tanpa mengambil kira sama ada ia berlawanan dengan susun atur semulajadi yang bukan mekanis sifatnya. Pertembungan inilah yang sudah mula bangkit dan mengajukan beberapa cabaran terhadap sains modern.

Kesemua ini adalah natijah dari kekentalan kedudukan golongan mekanis tersebut. ‎Dengan kata lain, sains sebegini rupa sudah mula mengambil pegangan sebagai satu ideologi yang perlu dipertahankan. Bukan lagi sebagai satu prinsip sains yang boleh berubah dan berkembang dari masa kesemasa mengikut perkembangan ilmu.

Khayalan sains

Perkembangan seperti inilah yang cuba digambarkan oleh ‎Rupert Sheldrake dalam bukunya “The Science Delusion” (2012), seolah bak satu bayangan atau khayalan sains. Mengikut beliau, andaian yang dibawa sekarang tidak lagi sesuai dengan peredaran masa. Antaranya mengikut beliau adalah andai berikut:

1. Yang semulajadi itu adalah bersifat mekanikal
2. Yang jirim itu tidak mempunyai kesedaran
3. Hukum semulajadi adalah tetap
4. Amaun keseluruhan jirim dan tenaga adalah tetap sama
5. Yang semulajadi itu tidak mempunyai apa-apa hala tujuan dan matlamat
6. Warisan (inheritance) biologi itu bersifat material
7. Yang daya ingatan itu tersimpan sebagai serpihan material
8. Minda terletak dalam otak
9. Telepati dan fenomena psikik yang lain adalah dogeng
10. Perubatan mekanikal adalah satu-satunya yang berkesan

Sepuluh perkara tersenarai di atas merupakan isu pokok yang Sheldrake, seorang profesor sains terkenal, letakkan sebagai asas cabarannya kepada sains modern. Mengikutnya, demi mempertahankan andaian tersebut beberapa langkah diambil untuk “memaksa” sesuatu fakta itu disesuaikan dengan pemikiran golongan mekanis, kalau tidak diketepikan begitu saja. Kadang kala angka-angka yang terlibat dibundarkan atau dipuratakan untuk tujuan yang sama. Ataupun‎ diberi penafsiran yang lain supaya tidak berlaku apa-apa cabaran keatas andaian yang tersasar.

Oleh yang demikian banyak pandangan yang Sheldrake dan rakan-rakan utarakan mendapat tentangan hebat daripada golongan ini. Dan sepertimana yang dibincangkan pada makalah lalu, ada juga usaha untuk “menapis” dan “menggantung” hujah-hujahnya seolah-olah seperti zaman pertembungan gereja dengan para cendekiawan pada kurun sebelum ini. Bagi kita, sama ada pandangan yang dibawa oleh para sains seperti Sheldrake betul atau tidak bukan persoalannya. Apa yang penting sebagai seorang ahli sains kita wajar mendengar semua pandangan sebagai satu cara untuk mengalakkan perkembangan bidang sains itu sendiri. Jika tidak, ia akan jumud sepertimana ideologi politik yang cukup kental mempertahankan ada yang mereka tahu dan tidak mengambil kira perkembangan semasa. Hatta sains tidak wajar dijadikan ideologi supaya ia tidak berfungsi sebagai suatu dogma politik.

Kesimpulan

Bertolak daripada hujah ini, adalah penting bagi setiap ahli sains melihat sains menerusi kacamata yang lebih luas. Terkehadapan hujah-hujah yang lebih mencabar untuk menganjak pandangan alam sains akan menjadi lebih lumrah. Bahkan, satu manisfesto kearah ini sudahpun dirangkakan dan penutupnya berbunyi:

“The shift from materialistic science to post-materialistic science may be of vital importance to the evolution of human civilization. It may be even more pivotal than the transition from geocentrism to heliocentrism.”

Maksudnya; akan muncul satu paradigma yang wajar diberi pengiktirafan setara antara minda dan kesedaran (roh) tidak ada lagi pemisahan antara keduanya. Dengan itu, akan tercetus satu pandangan alam baru yang berupaya memerdekakan sains dari belenggu kefahaman mekanis sepertimana telah dibincang diatas. Ini walau bagaimanapun akan hanya berlaku sekiranya para ahli sains tidak terjerat dengan sains sebagai satu ideologi politik.

Revolusi sains kearah paradigma pasca-material ini diperlukan nanti untuk mengimbangi kesan Revolusi Industri Ke-4 kelak.

Nota – Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Felo Akademi Sains Malaysia (ASM) dan Felo Akademi Sains dan Sastera Sedunia (WAAS) serta mantan Naib Canselor USM (2000-2011). Beliau boleh dihubungi melalui emel: dzulrazak51@gmail.com