• 2017
  • Kerentasan Bidang Melalui Pendekatan Sains dan Kemanusiaan

Kerentasan Bidang Melalui Pendekatan Sains dan Kemanusiaan

Professor Tan Sri Dato' Dzulkifli Abdul Razak
MajalahSains.Com
31 Julai 2017

Dalam buku berjudul Consilence: The Unity of Knowledge (1999), profesor dan penulis Prof. Edward O. Wilson – seorang ahli kajihayat terkenal menjelaskan bahawa “perpecahan” ilmu yang berlaku kepada beberapa bidang lain bukannya sesuatu “semulajadi.” Malah ini disengajakan oleh para sarjana. Maksudnya ilmu itu tetap serumpun seperti yang dihujahkan sebelum ini dan pembahagiannya adalah “rekaan” semata-mata. Mengikut beliau:

‘The ongoing fragmentation of knowledge and resulting chaos in philosophy are not reflections of the real world but artifacts of scholarship.’

Ada yang berpendapat bahawa “rekaan” ini disengajakan‎ untuk memudahkan pembicaraan antara mereka yang berkenaan. Dan tidak terbuka terlalu luas kepada semua pihak. Perlu diingat bahawa para “sarjana” pada masa itu tergolong kepada mereka dari peringkat tertentu saja, khasnya mereka yang berkedudukan. Dan mewah.

Kelompok-kelompok ini bertemu dari masa kesemasa untuk bertukar-tukar pendapat serta menyusulkan pandangan untuk diuar-uar kepada pihak tertentu agar ia diterima ramai. Caranya tidak banyak berbeza dari apa yang berlaku pada hari ini pada asasnya. Malah pertubuhan-pertubuhan tertentu seperti “akademi” itu dan ini adalah kelangsungan dari usaha seumpama ini. Bahkan “akademi” tersebut merupakan satu simbol yang jelas meletakkan jurang yang nyata antara para “sarjana” tertentu dengan yang lain, apa lagi khalayak ramai.

Oleh itu, ada pihak mengatakan bahawa “rekaan” yang dikatakan tadi juga mengukir satu bentuk “monopoli” agar pihak berkenaan dikenali sebagai “pakar” atau “ahli” ilmu tersebut. Dan diberi status yang tinggi di kalangan masyarakat. Serentak penakulan dan tafsiran ilmu hanya tertumpu kepada kelompok mereka sahaja. Di kalangan mereka juga ada lapisan-lapisan tertentu mengambil sempena lapisan paderi di gereja pada ketika itu. Maka tidak hairanlah ada pihak memberi gelaran “kepaderian” (priesthood) kepada keahlian mereka. Dan kadang-kala tidak boleh dibantah sepertimana yang berlaku pada pihak gereja ketika ini. Dengan itu berlakulah “perpecahan” seperti yang dikatakan tadi, masing-masing dengan pemahaman ketal mereka saja.

Percantuman Bidang

Perkembangan sedemikian pada mulanya amat dialu-alukan sebagai sesuatu yang baik untuk pengkhususan ilmu berkaitan. Sains yang pada mula dikenali sebagai ilmu serumpun dengan ertikata seluas-luasnya beransur-ansur mengalami “retakan” sehinggalah ini membawa belah. Kesan itulah yang dilihat hari ini dengan segala natijah yang dialami terutama apabila “berpecah” dengan bidang bukan sains dan kemanusiaan. Pendek kata, kefahaman tentang ilmu mula berubah dan menjadi tegar lagi sempit sehingga dianggap sesetengah pihak sebagai “dogmatik” (akan dibincang pada kolum akan datang).

Walau bagaimanapun seperti yang dibincangkan sebelum ini, “perpecahan” yang berlaku mula memberi kesan jelas terutama sekali dalam bentuk krisis besar-besaran. ‎Oleh itu tindakan membuat “cantuman” semula mula diusaha sedikit demi sedikit dalam mencari penyelesaian lebih sempurna. Misalnya pendekatan “antara bidang” bertujuan mendapat sumbangan dari sekurang-kurang dua bidang baik dari disiplin sains (biokimia, bioinformatiks, bioteknologi) ataupun bukan sains (bioekonomi, biosejarah, bioantropologi). Imbuhan “bio” menunjukkan bahawa bidang kajihayat sudah meluas untuk memungkinkannya digabung dengan mudah. Natijahnya, sains tidak lagi dilihat dari sudut mekanikal atau kimia saja tetapi juga dari sudut hayat yang sekaligus lebih mendekati bidang kemanusiaan ataupun sosial.

Apapun, ini difikirkan tidak mencukupi dan tercetus pula pendekatan “pelbagai bidang.” Yakni, merangkumkan lebih dari dua bidang tidak kira sains atau bukan sains‎. Biopsikofarmakologi atau biogeokimia ada antara contoh, walaupun umumnya tidak dikenakan nama-nama tertentu kerana ia akan menjadi terlalu panjang dan tidak pula membawa pengertian mendalam. Malah boleh mengelirukan. Dengan itu, orientasinya lebih kepada mengatasi masalah yang agak kompleks seperti dalam aspek kesihatan misalnya. Sering berbagai pakar bidang lain di”jemput” bersama untuk mendapatkan kefahaman yang lebih tepat, hatta penyelesaian yang lebih menyeluruh. Maka bercamtumlah bidang-bidang sains klinikal, sains asas dan juga sains sosial – khususnya untuk kesihatan umum dalam rangkuman pendekatan pelbagai bidang. Cara ini sekarang dikenali sebagai inovatif berdasar kepada Amalan Perubatan Bersepadu. Didalami pula melalui Kurikulum Bersepadu yang jauh berbeza dengan apa yang dianggap sebagai kurikulum tradisional. Pendekatan ini mendapat perhatian dari banyak pengamal, termasuk dalam sektor perumahan (arkitek, perancangan wilayah, ‎kontraktor, ahli ekonomi, jurutera dan sebagainya) sehingga dalam bidang ketenteraan sekalipun. Istilah kompleks tentera-industri melihatkan gabungan cukup rapat dalam membentuk ilmu baru yang bertujuan untuk menyemarakkan pembentukkan ilmu. Sekaligus, usaha mencantumkan semula “perpecahan” ilmu melalui rangkaian yang lebih bermakna. Ia juga bermaksud bidang asas tidak dapat berdiri dengan sendiri secara “silo” melainkan bercantum dengan yang lain dan menebusi silo-silo yang ada. Inilah yang kini sedang pesat berlaku.

Kerentasan Bidang

Hal ini telah‎ disentuh sepintas dalam makalah tentang sains kelestarian sebagai satu paradigma baru menggunakan bidang sains. ‎Tetapi, melangkau jauh lebih dari apabila permasalahan merentas budaya, tamadun serta kefahaman ideologi atau agama. Dengan kata lain, tidak bersempadan sama sekali ia terpakai bagi menyelesaikan permasalahan manusia sejagat; baik untuk hari ini apa lagi untuk masa hadapan. Isu pemanasan global sebagai contoh terbaik kerana bukan saja ia menglibatkan berbagai disiplin, tetapi punca ilmu lain juga termasuk ilmu tradisional atau agama sekalipun. Ia melebar, bukan saja mendalam. Oleh ini mendapat lebih banyak tempat yang boleh dilaksana sebagai asas penyelesaian kalau tidakpun satu penyelesaian serta merta.

Berpandukan kepada pendekatan serta orientasi yang agak berbeza seumpama ini, kerentasan bidang mengundang berbagai soalan yang lebih pokok untuk mengelakkan berlakunya krisis-krisis masa akan datang. Kuasa penakulan lebih tinggi kerana aspek keluasan rentas bidang tersebut dan sekaligus memberi gambaran yang lebih lengkap lagi padat. Di atas gambaran seumpama inilah ‎penyelesaian yang lebih jitu akan terselongkar kerana tidak dapat tidak soal keinsanan akan turut terjawab. Umpamanya apakah tujuan kita berada di dunia ini? Ataupun apakah maksudnya kewujudan manusia itu sendiri?

Dengan cara ini isu-isu bersangkut dengan antroposentrisme mula terungkai kerana pokok dari permasalahan ini berkait rapat dengan soal nilai, etika serta moral. Sedangkan kesemua ini tidak langsung mendapat tempat dalam pendekatan sains semasa – STEM. Melainkan jika ia merangkumi juga soal etika dan moral yang dapat ertikan dari abjad E dan M. Atau lebih lagi nilai spiritual (S) dan kebenaran (T, Truth). Dengan kata lain mengamalkan kerentasan bidang dapat menawar penyelesaian baru yang lebih besar kemungkinan untuk berjaya.

Apapun penerimaan ‎pendekatan rentas bidang ini semakin mendapat sambutan terutama sekali dari segi penyelidikan khususnya. Dan semakin banyak pula pusat kerentasan bidang diwujudkan untuk menampung keperluan ini. Lambat laun, pendekatan ini akan diarus perdanakan sedangkan yang masih bergantung kepada “perpecahan” akan menjadi kaku apabila ilmu keseluruhan bertaup semula.
Nota – Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Felo Akademi Sains Malaysia (ASM) dan Felo Akademi Sains dan Sastera Sedunia (WAAS) serta mantan Naib Canselor USM (2000-2011). Beliau boleh dihubungi melalui emel: dzulrazak51@gmail.com