Sains Kelestarian: Paradigma Baru?
Professor Tan Sri Dato' Dzulkifli Abdul Razak
MajalahSains.Com
17 Julai 2017
Istilah “sains kelestarian” ataupun sustainability science diperkenalkan sebagai satu wadah baru hasil dari kelompangan dalam pengertian dan pembawaan sains semasa. Seperti telah dihujahkan terdahulu, singkatan seperti STEM adalah antara “isu” yang sering dikaitkan dengan kepincangan dalam sains itu sendiri. Haluannya tersasar dari matlamat sebenar dalam memupuk ilmu yang memberi manafaat kepada manusia dan kemanusiaan keseluruhannya. Bukan terbatas kepada konsep-konsep yang songsang seperti pandangan alam neoliberal (Rujuk: STEM: Mana Akarnya?), sebagai satu pengaruh yang dikritik memesongkan halatujuan sains dan “roh” ilmu itu sendiri.
“Kelompangan” Sains?
Ringkasannya, “sains” dalam lakaran STEM tidak lagi dianggap sesuai sebagai suatu kerangka berfikir untuk mencari penyelesaian masalah sejagat. Walaupun ia masih berguna untuk beberapa aspek dalam bidang tertentu, tetapi meleset apabila berhadapan dengan masalah besar yang menimpa manusia dan bersifat global. Pemanasan global merupakan contoh yang terbaik. Sains ternyata “gagal” memberi suatu penyelesaian menyeluruh kepada isu ini yang semakin lama semakin tenat sehingga menggugat masa hadapan bumi dan penghuninya. Antara sebab demikian adalah kerana “sains” dalam konteks ini terlalu sempit dan menjurus kepada aspek-aspek terpencil dari bidang-bidang lain; baik dalam cabang ilmu yang sama seperti sains tulen itu sendiri. Malah, tidak hairan jika seorang ahli sains fizik misalnya tidak dapat memahami secukupnya pandangan ahli sains kimia untuk mencari penyelesaian jitu. Apa lagi jika dituruti ke peringkat ranting atau sub-bidang masing-masing. Ia seolah-olah satu “pertembungan” antara ayam dengan itik.
Dengan kata lain, kerangka atau definisi masalah yang hendak digunakan untuk mencari penyelesaian agak kabur dan tidak jelas. Ini baru melibatkan dua bidang antara dua orang ahli sains. Bayangkan jika lebih banyak bidang atau ahli sains yang terlibat. Apatah lagi jika diambil kira yang setiap seorang itu mengakui dirinya sebagai “pakar” atau “perunding”? Dan lazimnya tidak mahu mengalah dalam tujahan masing-masing. Lantas perbahasannya agak terhad; walaupun baik dari segi perkembangan ilmu amnya, ia tidak mendekati penyelesaian yang bernas dan berkesan. Begitulah halnya selama ini sehingga kemelut yang dihadapi diperingkat global menjadi kusut masai berlarutan. Ini dikusutkan lagi dengan sikap “antroposentrisme” yang melanda seperti dibincang dalam artikel terdahulu.
Kalaupun tidak ada pihak mengakui semua ini sebagai satu bentuk “kekurangan” kerana begitu banyak manfaat yang telah dirasai, namun jelas disebalik manfaat itu berselindung seolah-olah “kegagalan.” Misalnya, ciptaan kenderaan bermotor. Rata-rata ini suatu kemenangan sains dan teknologi dalam memberi keselesaan pengangkutan kepada manusia. Namun, ia juga merupakan punca pencemaran udara yang tidak kepalang. Begitu juga kemalangan serta kematian jalan raya yang tidak kurang hebatnya, sehinggakan kesesakan lalu lintas kini memberi bermacam masalah berkaitan yang terus menghantui banyak masyarakat. Bahkan, banyak lagi contoh dari sektor lain yang dapat kita utarakan, baik dalam bidang perubatan sekalipun. Aneh tetapi benar kerana ada kelompangan pada kerangka sains itu tersendiri.
Krisis Global
Aspek ini muncul apabila dunia berasa cemas tatkala menghadapi krisis global satu demi satu – dari ekonomi ke alam sekitar ke sosio-budaya. Pada tahun 1990an, beberapa kemuncak dan persidangan mula diadakan untuk mencari jalan keluar mengatasi krisis tersebut. Tapi tidak berhasil sepenuhnya. Pada ketika itu baru disedari berbagai pihak bahawa penemuan tidak akan diperoleh melalui kerangka sains yang “sempit” tanpa merangkai dengan bidang-bidang lain.
Apalagi apabila “akar umbi” tidak jelas akan arah tuju yang hendak dibawa kesudahannya. Jika sekadar pertumbuhan ekonomi semata-mata adakah ini bermakna aspek lain perlu dikorbankan sekaligus? Jawapan pertanyaan ini begitu jelas sekali – TIDAK! Tenggelam timbulnya bumi ini serta penghuninya tidak terletak kepada olahan sains semata-mata melainkan diiring dengan landasan etika, nilai akhlak serta pertanggungjawaban atasnya. Pendek kata, sains dan ahli sains tiada hak memusnahkan bumi ini, tidak kira sepintar mana sekalipun mereka dalam bidang masing-masing. Keadaan ini menjadi lebih tenat apabila sains digalakkan menumpu perhatian kepada inovasi teknikal dalam mencari jalan penyelesaian berbanding dengan inovasi sosial (kemasyarakatan dan kemanusiaan) yang juga penting untuk membawa perubahan lebih menyeluruh.
Ia menjadi lebih ketara lagi jika dilihat dari sudut “kelestarian” – satu konsep yang diperkenalkan pada 1987 melalui satu suruhanjaya Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) supaya tegas dalam menentukan bahawa bumi serta penghuninya tidak langsung terabai. Konsep tersebut berkesanggupan menentukan agar krisis global tereda kalaupun tidak terhenti sama sekali. Untuk ini berlaku, berbagai transformasi termasuk peri mustahaknya sains itu sendiri diteliti semula. Maka muncullah kefahaman yang lebih mendalam tentang apa itu “sains kelestarian.”
Rentas Bidang
Olahan utama yang dikenakan merujuk semula kepada ilmu sebagai satu rumpun yang mempunyai akar umbi sepunya. Ini menekankan bukan sahaja kepada tujuan utamanya (yakni untuk manfaat kemanusiaan sejagat), malah ia saling berkaitan antara satu sama lain. Tidak ada yang terpencil sebagai satu-satu bidang, melainkan terangkai dalam kesatuan ilmu termasuk yang bukan sains sekalipun. Ini lebih penting lagi bagi mengimbangi ilmu untuk mendapatkan penyelesaian paling sesuai, berjangka panjang lagi lestari.
Pendekatan seumpama inilah dikenali sebagai “rentas bidang” atau “transdisiplin” – yakni semua bidang bertindak saling berkait untuk menyumbang kepada pencarian penyelesaian tanpa terhimpit dengan batasan mana-mana bidang. Lantas akan timbul berbagai alternatif untuk diterokai mencari jalan keluar yang baru. Kadang kala, ilmu berkenaan terangkum dalam satu kelompok atau kluster yang juga tanpa batasan bidang. Kluster ini sering dikenali sempena projek atau isu yang ingin diselesaikan. Umpamanya: kluster membasmi kemiskinan atau kluster kesejahteraan rumah tangga dan sebagainya tanpa menamakan empunya bidang-bidang tertentu. Oleh itu sesiapa sahaja yang berminat untuk menyumbang dialu-alukan mengambil tempat sebagai ahli pasukan projek tersebut.
Semua ini merupakan kelainan dengan fahaman atau pendekatan berasas antara-bidang (inter-disciplinary) atau pelbagai-bidang (multidisciplinary) yang masih mengekalkan batasan bidang masing-masing. Dan tidak seterbuka berbanding dengan yang rentas-bidang (transdisciplinary).
Kesimpulan: boleh dikatakan bahawa “sains” yang dimaksudkan dalam “sains kelestarian” lebih luas dan cenderung kepada istilah Latin asal, scientia bererti ilmu pengetahuan secara umum, bukan mana-mana bidang tertentu seperti cabang sains tulen atau sebagainya. Inilah yang membezakannya dengan fahaman sains yang lazim dengan hasrat sambil merapatkan kelompangan yang sedia ada. Sekaligus, ia lebih mampu membawa penyelesaian baru dan kreatif. Secara langsung, bidang-bidang ilmu kemanusiaan serta kemasyarakatan dirangkum erat (lihat rajah berikut) serta wajar memberi sumbangan lebih bermakna dan melengkapi lagi penyelesaian yang dicari.
Hubungkait antara kesemua bidang-bidang sains dan teknologi serta ilmu kemanusiaan
Dengan kata lain, keterbatasan STEM (science, technology, engineering, mathematics) – ataupun penelahan Revolusi Industri 4.0 dilengkapi lagi melalui satu lagi takrifan STEM termasuk – “spirituality, truth, ethics, morality” (kerohanian, kebenaran, etika dan nilai akhlaq) sumbangan pendekatan sudut “sains kelestarian.” Justeru, ia berupaya membawa semula gagasan kesatuan ilmu yang serumpun sebagai asas menyelesaian global yang lebih lestari berbanding keadaan semasa.