• 2017
  • Ahli Sains: Modal insan atau Insan Seimbang?

Ahli Sains: Modal insan atau Insan Seimbang?

Professor Tan Sri Dato' Dzulkifli Abdul Razak
MajalahSains.Com
3 Julai 2017

Dalam penulisan lalu (Rujuk: STEM: Mana Akarnya?), ada disebut tentang kefahaman “neoliberal” yang kini melimpah kebidang-bidang ilmu lain, termasuk sains dan teknologi. Sekaligus, ia mempengaruhi pandangan alam bidang-bidang berkenaan mengikut rentak dan kehendak fahaman “neoliberal” tersebut.

Pada asasnya, fahaman neoliberal dibangunkan agar lebih cenderung kepada konsep “pasaran bebas”, yakni lebih mirip kepada aspek ekonomi dari yang lain-lain untuk mempelopori “kemajuan” ala kebendaan. Persaingan dan pertumbuhan ekonomi dianggap mutlak sepertimana juga hak individu mengatasi hak ramai atau masyarakat sekalipun. Dalam hal ini, tanggungjawab sesebuah kerajaan dikatakan tidak setara dengan hak kelompok-kelompok perniagaan dalam menentukan dasar-dasar negara keseluruhannya. Dengan cara ini, rencana globalisasi sebagai satu landasan melariskan perniagaan terus-menerus dipacu antara satu negara dengan lain, seolah-olah dunia “tanpa sempadan”. Pendekatan ini membolehkan pengaruh neoliberal menular hampir keseluruh pelusuk dunia terutama sekali melalui pendidikan sebagai soft power.

Di bawah desakan neoliberal ini jugalah sains dan teknologi turut diwarnai dengan hujah-hujah mirip ekonomi untuk mengaut laba sebanyak mungkin sebagai keuntungan serta kekayaan. Maksudnya, sains dan teknologi disifatkan sebagai suatu alat atau barangan yang boleh dijual beli bagi menggerakkan lagi pertumbuhan ekonomi dan seterusnya aspek kebendaan yang diaduninya. Istilah-istilah inovasi, khasnya yang berbentuk teknikal berbanding inovasi sosial, digalakkan untuk tujuan tersebut. Malah kini, inovasi dirangkum dalam rangkaian abjad STI bagi menandakan betapa pentingnya “inovasi” sebagai pencetus idea berasas sains dan teknologi untuk pertumbuhan ekonomi.

Kebolehpasaran?

Dari sudut ini, sains dan teknologi mula dijadikan “alat” pemacu ekonomi tanpa banyak mengambil kira aspek-aspek lain. Alam sekitar sebagai contoh selalunya tidak dihiraukan kerana dikira tidak penting. Walau diakui terdapat berbagai kesan positif yang turut dirasai, namun tidak dapat disangkal bahawa lebih banyak keruntuhan alam sekitar berlaku pasca-zaman industri hasil kerakusan manusia dalam menangani sains dan teknologi.

Lebih tepat lagi, ini berkait rapat dengan nilai-nilai neoliberal yang dikenakan kepada manusia dalam menggerakkan sains dan teknologi untuk “manfaat” ekonomi serta “kemajuan.” Justeru, terwujudlah istilah “kebolehpasaran” yang kini menjadi neraca utama dalam mencapai apa saja keputusan. Baik menawar sesuatu kursus atau kurikulum di universiti ataupun sekolah sekalipun aspek ini dititikberat. Kononnya ia merupakan penentu sama ada kursus atau kurikulum tersebut mempunyai aplikasi yang sesuai dengan kehendak industri dan pasaran. Jika tidak boleh dipasarkan – yakni tidak membawa nilai ekonomi, besar kemungkinan ia tidak akan diiktiraf oleh pasaran; dan mustahil dapat ketengahkan‎ sungguhpun dari segi ilmu ianya bernas serta mempunyai hikmah ataupun maknawi yang bernilai tinggi. Kesudahannya, bidang-bidang berkenaan dicicirkan – umpamanya falsafah, sejarah mahupun tamadun, apalagi ilmu maknawi, walaupun masing-masing dikira amat penting sebagai “akar umbi” sesuatu ilmu itu. Hujah ini diperkenalkan dalam penulisan lalu (Rujuk: STEM: Mana Akarnya?) sebagai salah satu sebab utama mengapa ilmu yang dipelajari sering tidak kesampaian. Hanya sekadar memenuhi tuntutan ekonomi dan tidak sepenuhnya. Pendek kata, kepada pengamal neoliberal falsafah yang ingin diketengahkan terhad kepada falsafah bersangkut dengan aliran neoliberal, begitu juga dengan sejarah dan tamadun sehinggalah maknanya sekalipun. Kesemua berpaksi kepada kebolehpasaran dan nilai-nilai ekonomi berperanan sebagai penentu terakhir.

Lantas banyak ilmu terketepi begitu sahaja ataupun dicetekkan menurut agenda neoliberal dan kebendaan semata-mata. Pendekatan STEM adalah satu-satunya akibat dari pemikiran seumpama ini seperti yang dibahaskan dalam penulisan lalu (Rujuk: STEM: Mana Akarnya?).

Anda, Modal Insan?

Untuk kelangsungan agenda neoliberal, ia didokong oleh Teori Modal Insan. Bertolak dari itu, manusia sebagai penggerak ekonomi ala-neoliberal diberi “watak” amat berbeza dengan panggilan “modal insan”. Watak ini mengikut teorinya berperanan seperti suatu perkakasan ekonomi (an economic device). Tertera dalam Encyclopedia of Educational Philosophy and Theory (2015), Bab Human Capital Theory and Education, watak tersebut diperlihat sebagai:‎

“…increasingly as a key determinant of economic performance. A key strategy in determining economic performance has been to employ a conception of individuals as human capital and various economic metaphors such as “technological change,” “research,” “innovation,” “productivity,” “education,” and “competitiveness.”

Keterangan tersebut lebih terarah kepada metafora-metafora yang sering diungkapkan tanpa mempedulikan aspek-aspek keinsanan yang rata-rata tidak bersifat ekonomi dan tidak pula dapat dihitung atau disukat serta dikira menggunakan neraca ekonomi dengan munasabah. Apatah lagi yang menyentuh aspek kerohanian, “roh” serta “hati nurani” seseorang insan seimbang.

Dengan kata lain, konsep modal insan‎ mengikut teorinya amat selaras sekali dengan pegangan neoliberal dan bersesuaian pula dengan “matra” sains (STEM) sebagai satu komoditi berpaksikan kerangka nilai ekonomi. Mahu tidak mahu, para ahli sains yang bergelumang dengan sains sebegini rupa tidak dapat tidak melingkari peranan modal insan secara sedar atau tidak dalam lingkungan agenda neoliberal.

Mungkin ini tidak ada salahnya jika pada asasnya sains dan teknologi sebagai satu bidang ilmu sememang bermatlamat sedemikian. Yakni ‎hanya satu dimensi untuk satu tujuan atau sebab musabab. Namun ia tidak begitu jika disorot kembali kepada “akar umbi” ilmu. Maka jelas bahawa sains dan teknologi mempunyai keluasan tujuan serta lapisan kemampuan untuk menyempurnakan kepelbagaian kehendak seseorang insan seimbang, tidak kira mana datangnya. Dengan kata lain, ilmu sains dan teknologi mempunyai potensi yang boleh menyelami kepelbagaian aspek keinsanan – bukan terbatas pada mana-mana satu aspek yang dipaksakan keatasnya. Tanpa kefahaman asas ini, sains terbelenggu dan disempitkan sehingga tidak lagi waras memberi erti kepada keinsanan sebenarnya. Sebab itu jugalah sains membawa ancamannya tersendiri kerana kepincangan dalam penyempurnaan aspek keinsanan. Apalagi dihadkan kepada wadah “modal insan” semata-mata.

Kepincangan ini terjelma sebegitu nyata sehingga maksud sains kini mula dipersoalkan berikutan berbagai krisis sejagat terutamanya dalam hal perubahan iklim dan pemanasan global. Malah satu kerangka lain dikenali sebagai “sains kelestarian” sudahpun mula mengambil tempat sebagai ganti (aspek ini akan dihuraikan dalam penulisan akan datang).

‎Antroposentrisme

Kaitan “modal insan” dengan “antroposentrisme” begitu rapat sekali. Istilah antroposentrisme (antropo– bermaksud “seakan-akan manusia” dan centri– “berpusat”) merupakan satu pandangan yang meletakkan manusia ditengah-tengah “gelanggang” dan menganggapnya makhluk terpenting sekali dimuka bumi ini. Begitulah kefahaman asas yang terpahat pada pandangan alam serta falsafah dunia Barat amnya yang diwarisi sains moden. Ia sekali gus “membenarkan” manusia bertindak apa saja kerana akur yang manusia mempunyai kedudukan (dan kewarasan) teratas (berbanding haiwan, tumbuh-tumbuhan, sumber semula jadi dsb.) Sebab itulah tanpa teragak-agak lagi bumi tidak henti-henti diperkosa, bahkan diperlakukan dengan begitu angkuh sekali untuk mengaup sebanyak boleh “manfaat” peribadi. Dari segi ini, hampir tidak ada bezanya konsep “modal insan” dengan apa yang dibawa oleh “antroposentrisme” walaupun “modal insan” lebih jelas menjurus kepada sasaran ekonomi.

Pada umumnya, kedua-dua menekankan laba jangka pendek dan bukan berjangka panjang berupaya menjangkau bergenerasi jauhnya. Kedua-dua mementingkan diri sendiri dahulu berbanding kebajikan kelompok, apa lagi kemanusiaan sejagat. Dan kedua-duanya menjurus kepada aspek kebendaan yang tidak terhad, terutamanya bersifat ekonomi serta berkaitan. Secara ringkas inilah ciri-ciri yang dizahirkan oleh era perindustrian sejak revolusi pertama lagi (Rujuk: Revolusi Industri ke-4) dan terus menebal pada awal 1990-an apabila kefahaman neoliberal serta modal insan mula bertapak memperkukuhkan lagi pengaruhnya sehinggalah dewasa ini.

Sains dan teknologi yang diolah sebagai penggerak revolusi industri semakin lama semakin terpalit dengan kefahaman sempit tersebut atas andaian yang manusia itu melebihi dalam segala hal untuk berbuat apa sahaja. Meskipun begitu sudah timbul gerakan yang menolak dan menafikan fahaman lama lantas mula menguar-uarkan sebaliknya. Melalui falsafah “biosentrisme” misalnya, manusia diperkenalkan sebagai salah satu antara berjuta-juta spesis dalam satu ekosistem bebas dari kerakusan manusia. Perkembangan seperti ini cuba mendefinisi semula peranan ahli sains yang jauh lebih luas dari pandangan sempit modal insan supaya ia terus melebarkan semula ufuk sains dan teknologi sebagai benteng pembelaan seluruh umat manusia sejagat demi menentukan yang “roh” ilmu terus mekar subur dan tidak lagi perdagangan seperti amalan sekarang.