Hiroshima Selepas 72 Tahun

Professor Tan Sri Dato' Dzulkifli Abdul Razak
MajalahSains.Com
6 Ogos 2017


Catatan: Penghargaan kepada Syazwani Abu Bakar daripada Akademi Sains Malaysia (ASM) atas terjemahan artikel. Artikel asal diterbitkan di The Sun Daily pada 4 Ogos, 2015.

Pada Julai 2015, Majlis Keselamatan PBB dengan sebulat suara menerima pakai Resolusi PBB 2231 dalam usaha menyokong perjanjian nuklear yang telah dicapai oleh negara Iran bersama dengan kumpulan P5+1, yang terdiri daripada negara China, Perancis, Rusia, Amerika Syarikat, Britain dan Jerman.

Menurut teks terakhir perjanjian nuklear, Iran bersetuju untuk tidak membangunkan atau memiliki senjata nuklear dan, sebagai pertukaran, menerima pelepasan daripada sekatan PBB. Teks itu turut memperincikan butiran seperti bagaimana perjanjian akhir tersebut akan menyumbang kepada keselamatan Timur Tengah serantau secara positif.

Walaupun ini merupakan perkembangan yang menggalakkan dalam usaha menyokong pengawalan senjata nuklear, ia hanyalah sebahagian kecil daripada jalan cerita keseluruhannya. Hakikatnya, masih terdapat segelintir negara-negara kaya dan berkuasa (ironinya termasuklah golongan P5+1) yang memiliki senjata nuklear yang turut menjadi  sumber perhatian utama selama  beberapa dekad ini.

Semalam (6hb Ogos) merupakan satu lagi peringatan yang tepat akan kengerian suasana letupan oleh senjata nuklear terhadap bandar Hiroshima, Jepun yang jatuh tepat pada jam 8.15 pagi, 72 tahun yang lalu. Ianya diletupkan oleh negara Amerika Syarikat, yang mewakili pihak dunia yang “bertamadun”. Justifikasi pengeboman tersebut masih dipersoalkan sehingga ke hari ini, berbeza dengan justifikasi pencerobohan mereka di negara Iraq yang didiamkan. Sesungguhnya, bom atom telah dibangunkan dengan sokongan negara Britain dan Kanada. Dan seolah-olah pengeboman di Hiroshima ini tidak mencukupi, Nagasaki – satu lagi bandar negara Jepun – dibom tiga hari kemudian pada 9 Ogos.

060817A

Sumber-https://www.pinterest.co.uk/pin/512777107546636715/

Dengan gelaran “Little Boy”, bom atom tersebut digugurkan  dari ketinggian 9,967m (32,700 kaki) di atas bandar Hiroshima, dan telah diledakkan pada aras 549m (1,800 kaki) dari paras  tanah, berbeza dengan bom lazim. Ledakan bom ini telah menghasilkan gelombang bertekanan tinggi dengan pancaran yang menyilaukan, meledakkan suhu permukaan sehingga mencecah 4,000°C. Tenaga berkapasiti tinggi sebegitu telah membinasakan manusia dan haiwan, memusnahkan bangunan dan kenderaan, seterusnya menyebabkan kehancuran bandar berusia 400 tahun itu tanpa meninggalkan sebarang kesan. Dianggarkan bahawa seramai 80,000 orang telah terbunuh serta merta, dan angka kematian terus meningkat melebihi 200,000. Tragedi maut itu meninggalkan beban dan perasaan serba salah kepada mereka yang masih berfikiran secara waras. Sungguhpun sudah terlambat, Albert Einstein, menyedari betapa dasyatnya tragedi ini. Pada Disember 1945, beliau dilaporkan telah berkata: “Peperangan itu telah dimenangi, tetapi keamanan tidak”.

Walaupun tiada “kos sebenar” yang dipanjangkan daripada tragedi yang mengerikan itu, berpandukan istilah kewangan hari ini, Projek Manhattan, di mana bom tersebut dibangunkan secara rahsia, kos keseluruhan dianggarkan berjumlah USD30 bilion (iaitu kira-kira RM1.2 trilion).

Walaubagaimanapun, lima tahun selepas kedua-dua bencana tersebut, Kesatuan Soviet – tidak mahu mengalah– mereka telah meletupkan bom atom yang seterusnya menandakan permulaan perlumbaan senjata nuklear untuk penciptaan bom yang lebih merbahaya. Pada tahun 1952, Amerika Syarikat telah melancarkan ujian bom hidrogen yang lebih berkuasa, diikuti oleh Kesatuan Soviet. Keadaan ini berlangsung sekurang-kurangnya empat dekad ketika Perang Dingin, dengan kedua-duanya tidak mahu mengubah fikiran dan mengalah, seperti yang diperhatikan oleh Einstein: “Kekuatan atom yang telah dilepaskan telah mengubah segala-galanya tentang pemikiran kita, dan kita sedang menuju ke arah malapetaka yang tidak tertandingi.” Tidak dinafikan, “malapetaka yang tidak tertandingi” ini akan kekal berlegar di minda kita sehingga semua senjata nuklear dihapuskan.

Sehubungan dengan itu, panggilan kerjasama oleh negara Iran, berikutan resolusi Majlis Keselamatan yang menyokong perjanjian nuklear Iran untuk menghapuskan senjata nuklear secara sepenuhnya di seluruh dunia kerana ianya “menjejaskan  keamanan dan keselamatan  antarabangsa” hendaklah disokong oleh semua pencinta keamanan.

Menurut agensi berita Iran, Isna, “Republik Islam Iran telah menggariskan kepentingan penghapusan senjata nuklear sebagai satu keperluan keselamatan antarabangsa serta sebagai satu tanggungjawab di bawah Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear.”

Dengan demikian, seperti Iran, semua negara lain perlu bersungguh untuk menyumbang secara aktif kepada “setiap usaha diplomatik dan undang-undang antarabangsa untuk menyelamatkan manusia daripada ancaman dan peningkatan senjata nuklear” untuk merealisasikannya.

060817B

Sumber-http://www.11street.my/productdetail/razak-sensei-pemangkin-jalinan-malaysia-jepun-1699646

Pada 5hb Ogos, 2015, bertempat di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim, satu majlis pelancaran buku berjudul “Razak Sensei Pemangkin Jalinan Malaysia-Jepun” telah diadakan.

060817C

Sumber-http://www.bharian.com.my/node/72800

Buku tersebut menceritakan pengalaman Datuk Abdul Razak Abdul Hamid, salah seorang saksi kejadian, yang ketika itu sedang menyambung pengajian di Hiroshima pada tahun 1945. Pada hari kejadian, beliau berada kira-kira 1.5km dari kawasan letupan bom atom itu. Beliau telahpun meninggal dunia pada 18 Julai 2013, ketika berusia 88 tahun.