Apa Selepas Ledakan Maklumat?
Professor Tan Sri Dato' Dzulkifli Abdul Razak
MajalahSains.com
16 Oktober 2017
Kita pernah mendengar tentang fenomena dipanggil ‘ledakan maklumat’ tidak berapa lama dahulu. Ia bersempena pengenalan komputer secara meluas di dalam masyarakat. Dan kaitan dengan era teknologi komunikasi maklumat (ICT) yang menyusul mencorakkan satu lagi cara hidup berteraskan penggunaan komputer baik dimana saja. “Anytime, anywhere” yakni “bila-bila saja, mana-mana saja”, menjadi cogan kata untuk menekankan pentingnya peranan sebuah komputer dalam era ICT. Gabungan kedua-dua ini memungkin ‘ledakan maklumat’ berlaku. Dalam ertikata lain, aliran maklumat tidak lagi terbatas kepada mana-mana masa ataupun mana-mana tempat saja berbanding dulu kala. Asalkan sesebuah komputer itu boleh berangkai dengan sistem Internet, maklumat akan mengalir, baik secara aktif mahupun pasif bergantung kepada kecanggihan teknologi semasa atau yang dilanggan.
Kesan Ledakan Maklumat
Ramai mengalu-alukan ‘ledakan maklumat’ dengan tangan dan hati terbuka. Fenomena ini dikatakan akan membantu masyarakat menjadi lebih sama rata kerana maklumat tidak lagi terhad kepada mana-mana satu pihak saja – selalunya kepada yang lebih berupaya dan berkedudukan. Oleh kerana sering dilaungkan “Maklumat itu Kuasa” maka golongan tersebut menjadi lebih ‘berkuasa’ dari mereka yang kurang mendapat maklumat. Namun, semua ini berubah dengan adanya ICT dan komputer. Lantas, ramai yang berlumba-lumba mendapatkan maklumat terkini melalui rangkaian-rangkaian sedia ada. Dengan itu ‘ledakan maklumat’ menjadi kenyataan selain daripada usaha-usaha menyediakan program serta aplikasi tertentu untuk mempercepatkan lagi pencarian dan kecapaian maklumat mengikut permintaan ramai.
Jenama seperti Google tiba-tiba muncul dan terus dijadikan persada untuk tujuan ini, mengatasi jenama lain kerana kepantasan dan ketepatan menghidangkan hasil kecapaiannya. Tidak hairan lagi para pengguna menjadikan Google sebagai persada utama dengan berbagai gelaran seperti Prof Google, Dr Google, Cikgu Google mahupun Ustaz Google sekalipun. Semua ini menggambarkan akan keluasan keupayaan Google menjadi ‘pakar maklumat’ ataupun sumber utama mendahului, baik profesional perseorangan sekalipun dalam mendapatkan nasihat tentang hampir semua bidang yang diminati.
Dalam bidang kesihatan khususnya, Google memainkan peranan penting untuk pesakit yang ingin mendalami status kesihatan masing-masing. Ramai menggunakan berbagai sumber maklumat sebelum berjumpa doktor mereka. Ini termasuklah buku dan majalah rujukan misalnya dan kini diluaskan melalui secara atas talian atau maya. Walaubagaimanapun, amalan ini merumitkan keadaan apabila dapatan dari Google tidak selari dengan pendapat pakar profesional yang meneliti kes berkenaan secara bersemuka. Malaham, pernah berlaku pakar tersebut pula yang dicurigai, seolah-olah Dr Google lebih pakar antara keduanya. Ini boleh menjejaskan hubungan, apa lagi rawatan berkaitan.
Kesudahannya, minggu lalu para pakar perubatan di Britain dilaporkan berkeputusan bahawa mereka berhak menolak para pesakit yang telah terlebih dahulu ‘merujuk’ kepada Google. Cara ini boleh mengelakkan pertelingkahan pendapat dan sekali gus sikap curiga-mencurigai juga boleh terhindar. Apakah reaksi orang ramai tentang langkah ini belum lagi diketahui secara mendalam, tetapi sudah dapat di agak yang ramai tidak setuju dengan langkah berkenaan kerana ia seolah-olah mempertikaikan hak pesakit untuk mendapatkan maklumat yang mereka perlu.
Tidak Seimbang
Apapun, ini merupakan antara isu negatif yang muncul hasil daripada ‘ledakan maklumat’. Pendek kata, kewibawaan seseorang pakar itu jarang sekali dipersoalkan oleh seorang awam. Antaranya tidak mudah memperolehi maklumat berkaitan untuk membangkitkan apa-apa kecurigaan yang mampu melumpuhkan keadaan, malah sistem kesihatan terlibat boleh runtuh sama sekali jika ia berleluasa.
Kepincangan boleh juga berlaku sekiranya masih ada pihak yang tidak menikmati kesama rataan maklumat dalam era ledakan maklumat ini. Keadaannya lebih kurang sama dengan disebut terdahulu, di mana satu pihak seolah-olah lebih ‘berkuasa’ dan satu pihak lagi terabai haknya. Keadaan ini menjadi lebih jelas apabila pihak yang terabai juga adalah pihak yang kurang berada atau terkesamping. Maka terus tercicir kerana kurang keupayaan untuk turut serta dalam ledakan maklumat yang tersedia berlaku. Tambah-tambah lagi jika mereka terabai hasil daripada pihak berwibawa cuai menyediakan prasarana asas seperti bekalan eletrik ataupun rangkaian komputer bagi memudahkan penglibatan rakyat terbanyak. Maknanya, ledakan maklumat tidak dilengkapi dan diimbangi oleh revolusi industri yang lalu seperti yang dinyatakan dalam makalah sulung Sains untuk Manusia.
Mesin Pintar
Realitinya, arus ledakan maklumat tidak akan terhenti sama ada kita bersedia atau tidak. Yang jelas adalah hasil daripada ledakan berkenaan lebih banyak pula ciptaan lain akan muncul untuk memacu lagi perkembangan teknologi maklumat. Ia tidak saja terhad kepada komputer asas tetapi menjangkau kepada berbagai alat dan peranti penghubung yang dikatakan lebih pintar. Termasuklah telefon bimbit dan juga mesin-mesin yang boleh bertutur, bercakap dan berbual.
Kita sudah melangkah masuk kedalam satu lagi alam ICT yang lebih mengkhusus kepada pembangunan ‘robot’ sebagai alat atau mesin penghubung atau pembantu. Malah, istilah ‘robot’ asalnya bermaksud ‘melayan’ dalam ertikata memberi bantuan sewajarnya. Dari satu segi alat-alat elektrik yang lazim berada di rumah kini boleh ditakrifkan juga sebagai robot kerana ia membantu. Contohnya, mesin membasuh, alat mikrogelombang (microwave), pengering baju dan sebagainya, termasuk alat vakum. Secara amnya, kita tidak menggelar semua ini robot (walau berfungsi seumpamanya) kerana ‘bantuan’ yang ditawarkan agak terhad – mencuci, memasak, membersih dan sebagai – tanpa berganjak daripada tempat fizikalnya. Lagipun ia tidak berbentuk robot dan mampu bergerak-gerak (ala manusia) untuk menyempurnakan tugas utamanya.
Kesemua ini membayangkan kecerdasan yang ada pada alat-alatan tersebut agak terhad.
Namun, lama kelamaan teknologi berjaya mengupayakan mesin-mesin yang lebih cerdas untuk tujuan lebih mencabar. Ambil contoh, untuk memberi layanan kepada orang kelainan upaya (OKU), sudah tentu berkehendakkan kepada mesin yang mampu bergerak dengan lebih lagi bagi mendampingi OKU berkenaan, lantas mampu memberi layanan bersesuaian. Hatta, kecederasan bertambah canggih dan rupa bentuk mesin itu lebih menghampiri seakan-akan manusia atau umumnya dikenali sebagai humanoid (dari kata Inggeris ‘human‘ bermaksud ‘insan’). Beransur-ansur algoritma yang terhasil sebagai kecerdasan buatan (Artificial Intelligence; AI) membawa imej robot yang lebih ‘hidup’. Malah, perlakuannya juga tidak lagi umpama sebuah mesin yang tidak bernyawa.
Jadi tercetuslah satu lagi ledakan dalam mengupayakan humanoid berkenaan, yakni ledakan kecerdasan. Kita sudah sampai pada satu ketika, di mana aras rupa luaran robot tidak lagi dapat dibedakan dengan rupa manusia. Bahkan ada seorang profesor di Jepun yang mempunyai robot seiras dengannya. Yang masih jauh adalah gerak-geri yang agak ‘terbantut-terbantut’, ataupun tidak selembut pergerakan manusia. Pun begitu, ini lambat laun akan terus diperbaiki apabila teknologi menjadi bertambah canggih.
Hiroshi Ishiguro, pengarah Intelligent Robotics Laboratory, Jepun bersama humanoid yang mirip dengan muka beliau
Kecerdasan Buatan
Dalam pada itu, apa yang agak memeranjatkan bagaimana mesin-mesin ini mempunyai kecerdasan yang boleh mengatasi manusia (penciptanya) dalam beberapa hal. Misal yang ketara adalah dalam beberapa permainan seperti catur atau ‘Go‘ mahupun ‘Jeopardy!‘, dimana manusia pernah dikalahkan. Natijahnya, dalam keadaan sedemikian, mesin dapat menggunakan ‘logik’ terprogram dengan lebih pantas dan menganalisa data bertimbun-timbun dalam membantunya untuk membuat keputusan yang lebih bijak dan tepat. Tambahan pula, ia berupaya ‘belajar’ daripada operasi (‘pengalaman’) lalu untuk memperbaiki lagi prestasi. Inilah yang dimaksudkan dengan ‘pembelajaran mesin’ (machine learning).
Dari sudut, ini manusia secara perbandingan agak perlahan dan ketinggalan dan sebab itu boleh ditewaskan mesin. Namun, ini tidak bermakna mesin boleh berperilaku seperti manusia. Katakanlah di dalam satu permainan catur antara mesin dengan manusia, dan berlaku tembakan melulu. Sang manusia akan menunjukkan reaksi terhadap peristiwa tersebut dan cuba mengelak dari disasar. Sedangkan kepada mesin, peristiwa tersebut tidak dikesan, maka ianya tidak wujud. Pemusatannya hanya kepada permainan catur saja. Di sinilah kelebihan manusia berbanding mesin kerana boleh ‘berfikir’ dan ‘bertindak’ sesukanya (manusia ada kebebasan) sedang mesin atau robot tidak ada daya sedemikian. Kalau ada pun ‘kebebasan’ kepada robot, ia sekadar yang dicipta oleh manusia melalui algoritmanya, termasuklah ‘kelemahan’ manusia sendiri apabila berbuat demikian.
Kesimpulan
Hakikat ini perlu diinsafi agar manusia sedar bahawa mesin dan robot (ataupun apa juga yang dipanggil) adalah ciptaan manusia. Dan adalah tidak wajar manusia diperhambakan oleh mesin yang tidak bernyawa selagi manusia tidak taksub kepada ciptaannya sendiri. Malangnya, hal sedemikian tidak mudah dihindarkan berdasar kajian terkini. Ambil saja daripada segi penggunaan telefon bimbit pintar (belum lagi sebuah robot).
Kajian menunjukkan bahawa setiap pagi apabila bangun daripada tidur, pemilik telefon bimbit akan melihat atau menggunakan alat itu dahulu, berbanding rutin lain di pagi hari. Kemudian, dalam sehari akan berbuat sedemikian untuk 150 kali. Hampir 40 peratus responden akan melihatkan selang 10 minit. Tempoh 23 minit diperlukan untuk kembali memberi tumpuan semula kepada kerja yang telah terganggu.
Hal-hal seumpama ini menunjukkan bahawa manusia dapat di’lemahkan’ oleh mesin pintar apalagi robot yang canggih. Dengan kata lain, manusia mudah diperhambakan melalui fenomena yang disebut sebagai ‘ketagihan teknologi’ yang pesat menawan minda dan pemikiran manusia. Selagi ini tidak diberi tumpuan apalagi untuk diatasinya, selagi itulah manusia dan kemanusiaan menghadapi risiko paling tinggi untuk menentukan masa hadapannya tatkala kecerdasan mesin terus memuncak.
Nota – Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Felo Akademi Sains Malaysia (ASM) dan Felo Akademi Sains dan Sastera Sedunia (WAAS) serta mantan Naib Canselor USM (2000-2011). Beliau boleh dihubungi melalui emel: dzulrazak51@gmail.com