• 2011
  • Di sebalik sepuluh tahun selepas 911

Di sebalik sepuluh tahun selepas 911

Professor Tan Sri Dato' Dzulkifli Abdul Razak
Rencana
Utusan Online - 09-09-2011

Minggu ini menyaksikan ulang tahun kesepuluh peristiwa 11 September 2001 (911) yang mencetuskan "Peperangan terhadap Keganasan" rekaan mantan Presiden Amerika Syarikat, Georga W. Bush.

090911
United Airlines 175 salah satu pesawat yang melanggar satu daripada dua menara
Pusat Dagangan Duniadi New York pada 11 September 2001.Sejak tarikh itu bermula
agenda "Peperangan terhadap Keganasan" Amerika Syarikat. - REUTERS

Bahangnya amat dirasai oleh umat Islam sedunia seolah-olah mereka merupakan sasaran utama dalam peperangan tersebut, apa lagi memandangkan sebuah mercu tanda Amerika Syarikat - bangunan Pusat Dagangan Dunia di New York - diranapkan oleh sekumpulan militan Muslim dari kumpulan al-Qaeda.

Presiden Barack Obama diberitakan akan mengambil kesempatan untuk memperingati semula tragedi tersebut, apa lagi setelah berjaya membunuh ketua al-Qaeda, dan baru-baru ini seorang lagi pemimpin kumpulan tersebut. Memandangkan pilihan raya presiden AS semakin hampir, isu keganasan ini merupakan modal terbaik untuk Obama raih lebih banyak undi buat kali keduanya.

Dalam masa sepuluh tahun sejak 911, banyak yang berlaku atas dasar memerangi keganasan. Banyak pula antaranya yang tidak diduga. Satu antaranya adalah kebangkitan rakyat Arab dan jatuhnya beberapa regim, umpama Tunisia dan Mesir, yang selama ini merupakan sekutu rapat kuasa-kuasa besar dunia; diikuti Libya sejak baru-baru ini.

Satu lagi peristiwa yang amat memeranjatkan adalah keganasan yang berlaku di Oslo, Norway tidak lama dahulu, yang melibatkan seorang militan Kristian berhaluan kanan. Pentingnya peristiwa ini adalah sebagai bukti nyata bahawa keganasan bukan 'hak milik' kumpulan Muslim semata-mata seperti mana yang dimomok-momokkan sejak awal-awal lagi.

Maka ada baiknya jika kewujudan kumpulan militan Kristian ini dikenali secara dekat, sekali gus menafikan bahawa keganasan itu bukan monopoli satu-satu pihak sahaja sebagaimana yang didakwa sejak berlakunya tragedi 911. Memahami senario sejagat ini dapat membantu mencari penyelesaian yang lebih wajar.

Bagi tujuan ini, satu-satu sumber rujukan terkini yang baik adalah buku berjudul The Armies of God - A study of militant Christianity (2010) oleh Iain Buchanan, seorang ahli akademik dan kini penulis bebas. Kajian beliau menyorot balik kepada era Perang Dingin Amerika Syarikat-Soviet Union sehingga pertengahan abad kedua puluh apabila agama dan imperialisme merupakan permainan kuasa-kuasa besar. Terutama selepas Perang Dunia Kedua di mana pola kuasa ekonomi dan politik bertukar, begitu jugalah pola gerakan Kristian yang bergantung kepada struktur kuasa yang wujud terutama di AS dewasa itu.

Sudah tentunya banyak persekongkolan berlaku - sektor korporat, tentera, politik mahupun gereja - untuk mengekal dan mengembangkan lagi pengaruh AS di merata dunia melalui pelbagai cara dan rupa.

Tumpuannya adalah kepada "Jendela 10:40" - yakni bahagian dunia yang berada antara latitud 10 darjah Utara dan 40 darjah Utara, tidak termasuk benua Amerika. Dikatakan 95 peratus penduduk dalam kawasan "Jendela" beragama Islam, Hindu dan Buddha yang mereka anggap dalam "kegelapan" tanpa risalah Kristian, dan oleh itu dijadikan sasaran utama mereka.

Malah petikan dari seorang penyebar risalah Kristian berbunyi: "Dari pusat Jendela 10:40, Islam menjangkau kesemua pelosok dunia, melalui strategi yang sama, kita mesti menembusi 'jantung' Islam melalui kebenaran risalah Kristian yang membebaskan."

Mengikut penulisan Buchanan, selama lebih daripada 30 tahun yang lampau, dasar luar AS bergantung kepada kehadiran penyebar risalah Kristian melibatkan hal-hal pentadbiran, membuat dasar, menaja dan menjalankan aktiviti 'turun padang.' Sungguhpun perkara ini kurang diuar-uarkan dan tersorok daripada tontonan ramai, namun ia penting dan amat berpengaruh dari segi politik, ketenteraan, kebudayaan dan ekonomi.

Ternyata kesannya amat meluas sekali ke atas hubungan antara budaya, agama dan negara serta kebangkitan kuasa dunia sebagai dalang dalam isu-isu sejagat khususnya di negara bukan Kristian seperti Iraq, India, Indonesia dan Thailand. Malaysia tidak terkecuali!

Antara strategi utama yang diamalkan adalah untuk menodai seluruh budaya, masyarakat dan negara berkenaan. Bidang sains sosial, termasuk antropologi, digunakan supaya aspek bangsa, bahasa atau kelas tidak terasa diganggu gugat dalam menyebarkan risalah berkaitan. Oleh itu lebih mudah diterima.

Buchanan mengenal pasti sekurang-kurang tiga buah universiti AS yang menawarkan ijazah khusus untuk mengajak orang Muslim memeluk agama Kristian, berdozen-dozen lagi institusi latihan untuk tujuan yang sama terhadap dunia Islam, disokong oleh berpuluh-puluh agensi yang beroperasi di kalangan orang Islam. Anggaran ratus ribu yang telah dilatih untuk menyebarkan risalah Kristian di negara sasaran di seluruh dunia.

Mereka dibekalkan dengan beberapa cara termasuk mendapatkan pekerjaan yang sesuai seperti guru, jurutera, doktor, ataupun sebagai pelancong jangka pendek. Ramai juga yang terlatih di kalangan penduduk tempatan, atau sebagai "pekerja pendatang" mahupun pekerja pertubuhan organisasi sukarela yang namanya tersenarai dalam buku penulisan Buchanan itu. Ada yang berpangkalan di negara jiran.

Lebih 600 agensi seumpama ini berasal dari AS menawarkan perkhidmatan di pelbagai negara asing sambil mengutip pelbagai data setempat yang kemudiannya dimasukkan pangkalan data komputer untuk merancang kegiatan mereka. Projek "Pemetaan Spiritual" ini dimulakan pada awal 1990-an dan dikongsikan dengan agensi lain seperti badan perisik AS, CIA.

Selain itu politik diperalatkan juga. Penyebar risalah Kristian terkenal, Billy Graham misalnya, sememang dekat dengan White House sejak Presiden Eisenhower lagi. Dalam pentadbiran Bush, penasihatnya seperti Karl Rove dan Jack Abramoff didakwa terlibat rapat. Begitu juga dengan badan media dan korporat terutama yang berhaluan kanan. Bahkan ramai penceramah korporat dari syarikat Fortune 500 juga terlibat dengan rancangan yang sama.

Walaupun sistem politik Barat secara teorinya berbentuk sekular, kenyataannya tidak begitu disebabkan pengaruh kuat dari jaringan agama Kristian yang mampu menaja dan merancang agenda politik AS. Tujuan asasnya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mengkristiankan ekonomi, pentadbiran dan kepimpinan dunia bukan Barat secara halus.

Mengikut Buchanan fahaman "Dominionism" adalah antara teologi yang berbentuk ketenteraan dan elitis. Bagi fahaman ini kerja Tuhan perlu disempurnakan melalui satu "transformasi" di semua peringkat.

Seiring dengan usaha ini, terdapat juga apa yang dikenali sebagai "the Pentagon of modern Christianity" atau "God's Air Command" - satu pusat gabungan yang berhasrat memberi perlindungan dan maklumat strategik dalam memerangi lawan dan musuh!

Hasrat ini selari dengan angka lebih dari 40 peratus personel aktif dalam tentera AS yang menyifatkan diri mereka sebagai penyebar risalah Kristian, sedangkan 60 peratus pegawai agama tentera adalah demikian. Oleh itu tidak hairanlah berlakunya pelbagai seksaan dan peristiwa aib terhadap tawanan Iraq seperti mana yang dilaporkan di Penjara Abu Ghraib serta "Camp X-Ray" di Guantanamo Bay kerana "Allah" dianggap kumpulan ini sebagai penghalang terbesar dalam mencapai matlamat yang disasar.

Kata Buchanan dalam satu temu bual tentang bukunya, banyak perkara yang songsang tentang aktiviti penyebar risalah Kristian ini yang tidak ketahui ramai. Semata-mata kerana dikaitkan dengan kemajuan dan tamadun moden dunia Barat, ramai pula yang tidak mensyakinya.

Dan bagi agama Kristian hakikat ini sedang mendapat perhatian dengan lebih jelas lagi sejak kebelakangan ini. Penolakan dan kegagalan "multikulturalisme" atau prinsip hidup berbilang budaya di banyak negara Eropah adalah bukti terkini yang nyata. Bahkan istilah-istilah seperti "Taliban Kristian" sudah mula muncul.

Apa yang mereka berupaya lakukan dan sedang lakukan tidak kurang mampu mengancam keamanan sejagat apabila negara "ditakluki" dengan secara halus lagi seni menggunakan pelbagai teknologi serta strategi seperti yang diringkaskan diatas. Ini dikaitkan secara langsung dengan negara bukan Barat dan bukan Kristian yang berada di "Jendela 10:40" khasnya.

Apa yang masih samar sebelum ini yakni tentang keterlibatan agama Kristian dengan dunia politik Barat yang kini semakin jelas, bahawa kedua-duanya tidak terpisah sama sekali, malah saling mempengaruhi.

Peperangan ini akan berlarutan seandainya kajian teliti yang dipersembahkan oleh Buchanan dalam bukunya terus terabai seolah-olah hanya militan bukan Barat dan bukan Kristian sahaja yang wajar dipatahkan. Insaflah!

* The writer is the Vice-Chancellor of Universiti Sains Malaysia. He can be contacted at vc@usm.my