Pendidikan: Mencari kebenaran
Professor Tan Sri Dato' Dzulkifli Abd Razak
Comment
Utusan Malaysia - Online - 10/13/2010
Rencana "Universiti kita ketandusan idea" oleh Prof. A Murad Merican (Utusan Malaysia, 4 Oktober 2010) bukan sahaja memberi banyak bahan untuk kita berfikir tentang apa yang sedang dan akan berlaku kepada pendidikan, tetapi juga membuka ruang untuk kita menanyakan apakah yang telah terjadi kepada pendidikan semasa?
Yang jelas, pendidikan tidak dapat lari daripada gerakan 'kualiti' yang kini melanda hampir semua sektor. Ia boleh dikatakan bermula pada tahun 1950-an dengan Dr. Edwards Demming seorang rakyat Amerika Syarikat (AS) yang tidak mendapat tempat di negaranya sendiri.
Hanya apabila industri Jepun mula melaksanakan ajaran Demming, barulah AS tergesa-gesa mengamalnya dengan harapan untuk mengatasi saingan Jepun. Ternyata ini tidak berlaku dengan mudah terutamanya dalam persaingan industri automotif yang melihat AS terus ditewaskan oleh pesaingnya.
Kini kefahaman 'kualiti' ditingkatkan lagi kepada 'kecemerlangan,' apa lagi dengan buku terlaris oleh Tom Peters dan Robert Waterman Jr. berjudul In Search of Excellence pada awal tahun 1980-an. Ada yang mengatakan bahawa ia merubah bentuk ekonomi kepada yang baru berdasarkan lapan ciri yang digunakan sebagai kayu ukur, termasuk 'automoni dan keusahawanan' sebagai salah satu daripadanya.
Ciri tersebut yang merangkumi - menggalakkan inovasi serta memupuk 'johan' - kini timbul pula sebagai tonggak baru dalam pengukuran 'kualiti.' Dan tercetus satu lagi ekonomi baru yang berasaskan inovasi dan keusahawanan pula.
Pendek kata gerakan 'kualiti' tidak kaku tetapi berkembang terus menerus hampir dalam semua hal yang dipacu oleh industri dalam memenuhi tuntutan ekonominya. Ringkasnya ukuran 'kualiti' jelas menggunakan sebahagian besarnya petunjuk-petunjuk perniagaan.
Boleh juga dikatakan keghairahan mengukur apa sahaja kini dikaitkan secara langsung sebagai satu bentuk meningkatkan 'kualiti.' Walaupun ini tidak ada salahnya tetapi ketaksuban memahami 'kualiti' semata-mata dari kaca mata petunjuk-petunjuk yang boleh diukur adalah mengelirukan dan tidak tepat sama sekali.
Hal ini dapat diinsafi daripada kajian yang dilakukan oleh Tom Peters dan rakannya yang membuat beberapa pengakuan selepas dua puluh tahun yang menunjukkan apa yang dilakukan mereka seolah-olah satu kebetulan. Baginya jika ditanya tentang kajian tersebut sekarang, jawapannya adalah "GAK!" - God Alone Knows! atau Tuhan sahaja yang mengetahui! Malah beliau menganggap orang yang membaca buku perniagaan sedemikian rupa adalah 'bahlul' (idiot).
Satu lagi buku terbaru tentang Adam Smith, memaklumkan kita bahawa beliau membuat pengukuran 'kemewahan' daripada pengaliran barangan kepenggunaan. Sedangkan sebelum itu perkiraan berasaskan pengeluaran emas dan pertanian.
Oleh kerana itu wujudlah kefahaman pasaran yang boleh melariskan barang penggunaan dan kesudahannya pasaran bebas serta kebebasan ekonomi individu. Apa pun semua ini berpaksikan kepada keadaan pada masa itu khususnya di Eropah yang sedang memasuki era perindustrian.
Dengan kata lain, apabila kita heret dunia pendidikan ke dalam kancah 'kualiti' secara melulu, mahu tidak mahu pengaruh ekonomi, pasaran dan kepenggunaan serta petunjuk dan ukurannya terpalit bersama. Secara disedari atau tidak, sifat pendidikan beransur-ansur terpengaruh bagaikan sebuah sistem perkilangan yang menggunakan istilah yang lain tetapi membawa maksud yang sama.
Paling jelas adalah 'peperiksaan' yang seerti dengan 'kawalan mutu'; 'pelajar' bagaikan 'bahan mentah' yang perlu ditambah nilai, kemudian digelar 'produk' untuk dipasarkan di dunia pekerjaan. 'Pengajar' bertindak sebagai 'operator' ke atas bahan-bahan mentah (pelajar); yang lebih kanan mungkin bertaraf 'mandur', sedangkan 'bilik-bilik darjah' umpama tempat-tempat nilai tambah dilakukan mengikut giliran!
Falsafahnya adalah falsafah perniagaan dan jual beli mengikut tuntutan pasaran atau kepenggunaan. Jika tiada tuntutan atau pembeli, hukumnya adalah dtutup sahaja. Tidak kiralah sama ada yang penting itu pembangunan sahsiah atau moral mahupun etika sebagai seorang insan bermaruah.
Yang menentukan segalanya adalah kehendak pasaran, yang sebahagian besarnya berlandaskan pertimbangan keuntungan wang ringgit ataupun modal, termasuk modal insan. Tidak kurang juga dasar-dasar digubal untuk melariskan falsafah ini yang diasak terus dengan hujah-hujah persaingan global dan pengantarabangsaan.
Penarafan dijadikan seolah-olah pengukur yang jitu sebagai penentu yang mutlak! Sayangnya ramai juga yang termakan dengan dakyah ini, tidak kurang penggubal dan pelaksana dasar termasuk dari dalam kalangan mereka yang berada di dunia akademik sendiri.
Begitulah hebatnya desakan yang dikenakan kepada dunia pendidikan yang kian hari kian songsang letaknya. Sedikit demi sedikit kerangka pendidikan turut mula berubah - sama ada ia masih boleh dipanggil 'pendidikan' adalah persoalan yang kesudahannya membebani masyarakat dan masa hadapan kita.
Namun ramai yang kurang sedar akan perubahan sebesar ini, dan tidak kurang yang sanggup melihat nilai-nilai pendidikan digadaikan kepada pasaran demi meraih keuntungan. Oleh itu, kita kini di persimpangan kerana pendidikan tidak lagi mampu memberi jati diri yang mantap, malah sebaliknya.
Prof. Murad menggelarnya sindrom minda tertawan yang menguasai mesyarakat universiti kita. Tetapi lebih daripada itu, universiti hanyalah satu antara banyak yang telah tertawan dengan hujah-hujah palsu namun canggih. Kalau kreativiti dan inovasi sekalipun kita masih memerlukan pengiktirafan daripada mereka kerana kita telah pun terperangkap dalam kerangka falsafah ciptaan mereka.
Soalnya bukan sangat kita ketandusan idea, tetapi lebih daif daripada itu - kita ketandusan maruah dan harga serta nilai jati diri. Kita takut digelar jaguh kampung kerana kita juga telah menggadai kampung sebagai sesuatu yang tidak lagi bernilai. Nilai kita nilai pasaran berjenama walau pun ia tidak langsung ada kaitannya dengan kita selain sekadar sebagai pembeli dan pengguna yang setia.
Tetapi pada hakikatnya itulah kesan pendidikan semasa yang menjadikan kita seorang pembeli dan pengguna yang patuh kepada sogokan pasaran apa saja yang dilabelkan berkualiti atas tafsirannya. Kita amat cukup 'terdidik' untuk akur segalanya kerana inilah dunia pendidikan kita. Pendidikan bukannya lagi untuk mencari kebenaran sebagai matlamat terakhir dalam erti kata sebenarnya!
* The writer is the Vice-Chancellor of Universiti Sains Malaysia. He can be contacted at vc@usm.my