• 2010
  • Muslihat penarafan IPT kini terbongkar

Muslihat penarafan IPT kini terbongkar

Professor Tan Sri Dato' Dzulkifli Abd Razak
Comment
Utusan Malaysia Online - 05/19/2010

BENCANA musim panarafan universiti tiba awal pada kali ini. Teringat saya lebih kurang enam tahun yang lalu, apabila pihak Kementerian Pengajian Tinggi ingin memasukkan penarafan sebagai salah satu kriteria kecemerlangan bagi sesuatu universiti di Malaysia, saya mencadangkan kita menolak ura-ura tersebut.

Ini adalah kerana pada asasnya usaha penarafan terbanyak dikritik sebagai sesuatu yang tidak munasah dari segi prinsipnya, terutama dari sudut akademik dan intelektual.

Apatah lagi kini terdapat pelbagai bentuk penarafan yang ada dilambakkan, dan yang mana satu pula yang diwajar disasarkan untuk tujuan kita di Malaysia. Pada masa itu penarafan gabungan antara Times Higher Education Supplement (THES) dan syarikat Quacquarelli Symonds (QS), atau lebih dikenali sebagai THES-QS adalah begitu popular sekali.

Dan kita ada kecenderungan ke sana kerana ramai yang lebih mudah memahami tentang 'angka' daripada isu 'isi' berkaitan dengan aktiviti tersebut. Malah ini jugalah strategik pemasaran yang digunakan oleh penaja penarafan.

Walaupun tiada kata putus dalam hal ini, namun ada semacam kesepakatan bahawa THES-QS adalah penarafan yang paling 'diiktiraf' oleh pihak yang berwajib. Lagipun pejenamaannya adalah sebagai "World University Ranking" - atau Penarafan Universiti Sedunia.

'Dunia' siapa yang dimaksudkan tidak pun dihiraukan bagi mereka yang lebih gemar kepada publisiti dan populariti murahan!

Oleh itu mahu tidak mahu setiap kali THES-QS membuat pengumuman suasana di negara ini menjadi hiruk-pikuk oleh berbagai-bagai pihak. Ada pula yang menangguk di air keruh baik di Parlimen sekali pun seolah-olah merekalah yang faham benar tentang perkara ini.

Tidak kurang pula mempolitikkannya tidak ubah sebagai ejen yang menganjurkan sistem yang diuar-uarkan oleh pihak THES-QS! 'Bencana' besar mutakhir berkaitan ini adalah pada 8 Oktober tahun lalu apabila penulis terpanggil membuat ulasan mengenainya dalam Utusan Malaysia (13 Oktober 2009).

Namum perkembangan yang berlaku baru-baru ini telah mengubah segala-segalanya! Ia telah membuka berbagai-bagai tembelang yang mempamerkan muslihat tentang penarafan THES-QS ekoran lafaz talak tiga antara pihak THES dan QS tidak lama dahulu.

Apa yang ketara bahawa jangkaan bahawa penarafan bukan satu ukuran yang mantap dan tidak melambangkan apa yang mereka dakwakan telah menjadi kenyataan. Ini dikukuhkan lagi oleh pegawai utama THES, Phil Baty, yang mengulas akan kepincangan penarafan tersebut dari sudut kaedah dan pemilihan serta penakrifan kriteria yang digunakan.

Pendedahan ini pada mula dibuat dalam sebuah persidangan antarabangsa "Going Global 4" di London pada Mac lalu. Penulis berkesempatan mendengar sendiri kritikan tersebut. Malah pegawai THES itu memulakan pembentangan kertas kerjanya pada sesi Flawed ranking or key benchmarking? dengan mengakui 'kesilapan' yang pernah dilakukannya sebagai antara yang bertanggungjawab dengan penarafan THES-QS di bawah penyeliaannya untuk selama enam tahun bermula pada tahun 2004 lagi.

Kritikannya terus terang mengatakan bahawa THES-QS tidak cermat dan teliti dalam usaha melakukan penarafan tahun itu, di samping lemah dari berbagai-bagai sudut, termasuk kaedah dan pengutipan maklumat!

Anehnya keinsafan ini hanya timbul selepas enam tahun sedangkan pada tahun pertama lagi perkara ini telah ditonjolkan kepada mereka, tetapi tidak dipendulikan sama sekali. Dan dengan angkuh terus memperagakan produknya yang meleset.

Lebih aneh lagi masih ramai pula yang membelinya termasuk politikus-politikus yang agak dangkal kefahamannya tentang isu ini!

Jika ini tidak memadai, pegawai yang sama kini sibuk menulis makalah di akhbar-akhbar berbahasa Inggeris Malaysia bagi mengutarakan hujah yang hampir sama. Antara lain beliau mengulangi bahawa QS tidak berlaku adil semasa beliau turut serta mengendalikan penarafan tersebut.

Natijahnya ialah usaha penarafan yang telah digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak sebenarnya merupakan sesuatu yang sia-sia dan hanya bak meludah ke langit sahaja! Jelas mereka tidak (mahu) memahami isu sebenarnya dan mudah terpengaruh dengan penilaian yang dibuat tanpa keinginan menyiasat dengan mendalam akan asal-usul penarafan berkenaan, mahupun prinsip serta kerelevannya.

Sebab itu kini rata-rata ramai yang terperangkap dengan pengakuan Baty tentang THES-QS, sehingga kelantangan mereka sekarang ini amat memalukan. Termasuk para sarjana yang bermati-matian menjadi pengikut setia THES-QS! Begitu juga dengan mereka yang sering apologetik setiap kali THES-QS membuka mulutnya.

JIka dahulu ada pihak yang mengandaikan bahawa sektor pengajian tinggi negara menghadapi krisis dan memalukan negara, kini Baty dengan yakin menyangkal bahawa ini tidak benar sama sekali.

Kata beliau, pencemuh ini tersilap dan wajar dimaklumkan yang mereka telah terheret dengan dakyah THES-QS selama ini. Kini mereka terpaksa menelan semula kata-kata keji yang dihamburkan pada satu ketika dahulu!

Pada mata ramai kita rasa sedih kerana kita terlalu mudah menjadi kerbau dicucuk hidung, tanpa usul periksa. Asalkan ada pihak 'luar' - apa lagi dari Barat, memberi keyakinan, kita menyerah saja!

Ternyata sekarang ini selepas kita diyakini oleh pihak luar yang sama tentang sebaliknya, apa pula persepsi kita kini?

Apa pun pendedahan yang telah dilakukan oleh pihak THES terhadap QS menjelaskan beberapa hal yang tersembunyi tentang penarafan institusi pengajian tinggi selama ini. Dan tidak seperti yang diuar-uarkan.

Pertama, usaha seperti ini lebih berbau komersial daripada ilmiah. Yakni bertujuan untuk melariskan jualan penerbitan masing-masing dengan menjadikan penarafan sebagai tarikannya. Oleh yang demikian, sebab itu begitu banyak akhbar serta majalah menaja usaha penarafan ini, dan akan berakhir hanya apabila penerbitan tersebut terkubur seperti majalah Asiaweek beberapa tahun lalu.

Kedua, wujud sepakatan untuk melariskan pangkalan data tertentu sebagai satu perkongsian perniagaan yang menaja penarafan. Oleh itu tidak hairan THES-QS dahulu (dan kini QS sahaja) memilih pangkalan data yang berbeza dengan penarafan yang akan dilakukan THES secara persendirian.

Pemilihan ini sahaja menampakkan yang aktiviti penarafan ini agak sewenang-wenang (arbitrary) bentuknya, dan tidak pula mantap. Malah THES-QS pernah berubah pangkalan data sejak ini mula dilancarkan dengan alasan yang sama.

Masing-masing mendakwa yang pangkalan data merekalah yang lebih baik dan berwibawa untuk tujuan penarafan - sedang tujuan pangkalan data sebenarnya adalah terhad untuk rekod dan rujukan dan tidak berhasrat untuk tujuan perbandingan yang jitu!

Ketiga, penarafan lebih cenderung kepada nilai dan amalan norma Barat, misalnya dengan mengambil kira penerbitan berbahasa Inggeris atau Sepanyol (mengapa Sepanyol pula?) sahaja, atau sumber yang mirip kepada budaya Barat.

Ini bermakna kekuatan ilmu yang bukan dalam bahasa serta amalan Barat tidak mendapat tempat langsung dalam pengiraannya. Jadi jelas ini berat sebelah kepada dunia bukan Barat, maka sejauh manakah ketepatan penilaiannya?

Keempat, kerangka penarafan dilakukan tanpa mendapat pandangan mahupun suabalik daripada institusi yang disasarkan sebagai 'peserta' dalam penarafan yang dicadangkan. Selain itu kriteria acap kali berubah dari tahun ke tahun. Maksudnya mereka menetapkan apa yang baik untuk kita, sama ada sesuai atau tidak bukan isunya!

Kelima, tidak kurang juga para 'peserta' menaja aktiviti penarafan tersebut secara langsung atau tidak - termasuk membuat pengiklanan tertentu - di laman sesawang pihak penaraf. Ini jelas menunjukkan percanggahan dan tidak beretika (conflict of interest) dan menggambarkan amalan songsang dengan dunia akademik.

Apa lagi segala data dan maklumat yang dihantar terbukti tidak langsung disemak dengan teliti, sehingga berlaku berbagai-bagai keaiban. Maka tidak hairanlah terdapat pihak-pihak yang mengambil kesempatan memalsukan data dan maklumat mereka semata-mata untuk mendapat penarafan yang lebih selesai.

Dengan kata lain ketelusannya amat diragukan sama sekali.

Walaupun banyak lagi yang boleh diperkatakan, namun ini adalah antara isu yang agak ketara yang menjadi aktiviti penarafan tidak menyenangkan malah agak remeh! Malangnya dalam keremehan ini pulalah kita cuba menempah nama dan kedudukan.

Sekiranya dahulu ini tidak jelas dan kurang (mahu) difahami, sekarang perbalahan antara THES dan QS dikhalayak ramai dan secara terangan sewajar menyedarkan kita tentang keadaan sebenarnya. Sewajarnya kita lebih peka lagi matang akan segala muslihat yang dibongkar oleh Baty secara bebas dan terbuka.



* The writer is the Vice-Chancellor of Universiti Sains Malaysia. He can be contacted at vc@usm.my