Mencari 'roh' pendidikan

Professor Tan Sri Dato' Dzulkifli Abd Razak
Comment
Utusan Malaysia - 06/30/2010

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ada memetik buku nukilan Profesor Harry Lewis yang menjadi Dekan Harvard College selama hampir 30 tahun (1995 hingga 2003), berjudul Excellence Without Soul (2006).

Memetik apa yang dikatakan di dalam buku itu, beliau (Lewis) menjelaskan dalam usaha melahirkan pelajar dan fakulti yang tiada tolok bandingnya, Harvard lupa tentang tujuan asas pendidikan.

Lebih tepat lagi, Lewis mengakui walaupun Harvard merupakan sebuah universiti agung dan dihormati, namun umum berasa sangsi terhadap nilai yang universiti itu bawa termasuk kegagalannya untuk menjelmakan sebarang nilai.

Apabila kos terus meningkat, kandungan intelektual menjadi bertambah janggal dengan apa yang boleh dimengertikan oleh rakyat biasa. Walaupun universiti boleh dianggap sebagai suatu sumber ekonomi bagi para siswazahnya, tetapi tidak pula ia bermakna sebagai sumber ilham intelektual mahupun peribadi.

Malah dalam satu sesi temu bual, beliau mengakui bahawa keadaan 'tanpa roh' sebenarnya adalah imbasan kecenderungan masyarakat semasa. Apa pun universiti sewajarnya tidak terjebak dengan keadaan tersebut dan perlu menjadi sumber ilham dan mempertahankan yang terbaik.

Malangnya apabila universiti beransur-ansur bertindak seperti sektor perniagaan, ia turut menyaksikan semangat lama yang lebih menumpukan kepada khidmat masyarakat, dan membayangkan yang terbaik bagi jiwa manusia semakin pupus.

Beliau membandingkan laporan kurikulum Harvard pada 1945, General Education in a Free Society, dengan laporan pada 2003, beliau membuat kesimpulan yang jiwa universiti telah berubah kepada sesuatu yang lebih buruk. Oleh yang demikian, pada tahun 2006 beberapa usaha dilakukan untuk membawa semula idealisme 1945.

Natijahnya, semua ini menjurus kepada satu perspektif yang dunia pendidikan kini sedang bergolak, malah berani dikatakan dilanda 'krisis.' Asas logik cukup mudah: agak mustahil dunia dilanda berbagai krisis - ekologi, ekonomi, sosial, geopolitik, dan sebagainya, sedangkan sistem pendidikan yang ada terus tetap mantap dan kukuh.

Walhal setiap satu daripada krisis tersebut dapat disorot kepada punca pendidikan yang memungkin krisis itu berlaku. Apatah lagi setiap satu krisis tersebut jelas mencerminkan gejala desakan jiwa yang kosong, dan ketandusan roh.

Ambil saja keruntuhan ekonomi yang berlaku baru-baru yang tercetus daripada gejala tamak haloba dan amalan mementingkan diri oleh cerdik pandai lulusan pendidikan terbaik di dunia. Begitu juga dengan kerakusan manusia yang memporak-porandakan alam sekitar melalui ilmu sains dan teknologinya.

Semua ini menimbulkan berbagai-bagai kesan negatif lain yang berakhir dengan jurang antara individu, masyarakat mahupun negara di seluruh dunia. Inilah yang amat menghairankan kerana sistem pendidikan juga tidak terkecuali dalam mewujudkan jurangnya sendiri.

Kata-kata hikmah yang menekankan bahawa "pendidikan itu adalah satu cara terbaik untuk menyetarakan masyarakat" tidak lagi benar. Bahkan ternyata sebaliknya dengan cukup ketara. Maka timbul persoalan: apakah matlamat sebenar pendidikan dewasa ini? Ataupun adakah yang berlaku kini boleh katakan 'pendidikan' dalam erti kata sebenarnya? Bagaikan kata Lewis di mana hilangnya 'roh' pendidikan hari ini?


* The writer is the Vice-Chancellor of Universiti Sains Malaysia. He can be contacted at vc@usm.my