Angkara kebebasan bersuara

Professor Tan Sri Dato' Dzulkifli Abd Razak
Comment
Utusan Malaysia - 09/21/2010

KETIKA kita sibuk mengikuti berita pembakaran al-Quran di Florida, Amerika Syarikat (AS), satu lagi berita yang besar kesannya hampir tidak mendapat perhatian kita. Berita tersebut berkaitan dengan pengiktirafan Canselor Jerman, Angela Merkel yang memberi sanjungan kepada apa yang disebut sebagai 'kebebasan bersuara' dalam satu majlis rasmi di Potsdam pada minggu lalu. Penerima anugerah tersebut adalah pelukis kartun Denmark, Kurt Westergaard yang terkenal dengan karikatur seorang yang memakai serban menyerupai bom dengan mendakwa itulah Nabi Muhammad.

210910

Kartunis Denmark Kurt Westergaard (kiri) menerima anugerah
media M100 2010 daripada Angela Merkel (kanan) pada 8 September lalu
di Potsdam, Timur German . - AFP

Lukisan Kurt adalah antara 12 lain yang kontroversi kerana mempunyai mesej ejekan yang serupa dan telah pun diterbitkan oleh beberapa akhbar Barat atas nama kebebasan bersuara. Kartun sinis tersebut telah membangkitkan bantahan di seluruh dunia sehingga menyebabkan sekurang-kurangnya 50 orang maut lima tahun lalu. Malah pada awal tahun ini, ada usaha untuk membunuh pelukis berkenaan, namun tidak berjaya.

"Bagi saya sendiri kebebasan ialah pengalaman paling gembira dalam hidup saya," ujar Angela semasa majlis anugerah tersebut seraya mengimbau semula sewaktu beliau membesar di bawah rejim kuku besi di Jerman Timur.

Walaupun tindakannya mendapat bantahan daripada Majlis Islam Pusat di Jerman yang menyifatkan anugerah tersebut tidak wajar sama sekali, umat Islam yang lain agak menyepi. Mungkin mereka lebih terpukau melihat gelagat seorang paderi sebuah gereja kecil yang kononnya ingin membakar al-Quran pada Sabtu lalu sehingga ia mengundang pelbagai reaksi dari banyak pihak di seluruh dunia.

Perlu diingat bahawa pada 20 Mei lalu, satu percubaan membenci agama Islam telah dilakukan dengan menganjurkan peraduan di laman sosial Facebook, apa yang dipanggil sebagai Everyone Draw Mohammed (sic) Day!'. Ia juga dilakukan atas nama kebebasan bersuara. Idea ini telah dicadangkan oleh seorang pelukis kartun bernama Molly Norris. Walaupun beliau merasa kesal dan menuntut maaf atas kelakuannya dan merayu pelaksanaan cadangan tersebut dibatalkan, namun Molly menyifatkan cadangan tersebut adalah sindiran semata-mata!

Nampaknya gurau senda seperti itu semakin menjadi kebiasaan dalam kalangan masyarakat dunia terhadap orang Islam. Inilah yang seharusnya kita renungkan dalam menilai episod membakar al-Quran. Yang pasti, peristiwa seumpama ini bukan yang terakhir dalam masa akan datang. Kita wajar menyelami segala ini untuk mencari mesej tersirat yang ditujukan bukan kepada umat Islam, tetapi lebih kepada penganut lain khasnya mereka beragama Nasara.

Mengikut sesetengah pendapat, apa yang tersirat adalah perasaan bimbang bahawa semakin ramai kini mendampingi Islam sejak peristiwa 11 September 2001. Ekoran itu, tidak kurang pula yang memeluk agama Allah SWT. Maka dengan cara tergesa-gesa, mereka cuba meremehkan risalah Islam dengan menekankan aspek-aspek yang difikirkan negatif tanpa menghiraukan konteks berkaitan.

Pendek kata apa yang ingin disampaikan seolah-olah Islam itu berunsur jahat dan ganas dengan menjadikan al-Qaeda serta konco-konconya sebagai contoh. Bahkan mesej yang sama ingin dibawa oleh bekas Presiden AS, George W. Bush apabila mengisytiharkan 'perang ke atas keganasan' yang beralas kemiripan Perang Salib pada asalnya.

Selepas berbagai desakan diterima, barulah beliau menafikan hasrat ini walaupun pada hakikatnya, ia masih menular dalam sanubarinya dan kelompok fahaman 'neocon' yang bersimpati dengannya. Terbaru adalah peristiwa pembinaan masjid berdekatan kawasan Ground Zero yang rata-rata ditentang oleh Parti Republikan yang sealiran dengan Bush. Jika soalnya adalah 'kebebasan', mengapa usaha mendirikan masjid tersebut yang dinamakan sebagai Cordoba House dinafikan oleh mereka.

Lagi pun, mereka tidak kisah yang sebenarnya Cordoba House itu akan dibina berjauhan dari Ground Zero, bukannya di tapak sebenar bangunan yang telah dirobohkan pada 11 September 2001. Apatah lagi tapak Cordoba House itu sudah pun memuatkan tempat berjemaah sekian lama. Dengan kata lain, nama masjid Ground Zero langsung tidak tepat, selain dengan tujuan untuk menimbulkan kekeliruan dan benci berterusan secara sengaja ataupun tidak.

Seolah-olah ia tidak memadai, maka pembinaannya dikaitkan pula dengan ura-ura membakar al-Quran sebagai meraikan ulang tahun kesembilan serangan 11 September. Ini adalah rekaan sekumpulan anggaran 50 penganut sebuah gereja Dove World Outreach Centre! Ia diketuai oleh paderi Terry Jones yang dikatakan mempunyai falsafah membenci Islam!

Sungguhpun kumpulan gereja ini tidak mendapat perhatian ramai baik di AS sekalipun, malangnya sebaik sahaja mereka mengumumkan sesuatu yang membenci Islam, liputan media diberikan seluas-luasnya. Ekoran itu, lebih banyak kekecohan timbul di seluruh dunia melibatkan pelbagai reaksi akibat tindak-tanduk sedemikian.

Namun begitu, tidak kurang pula yang bersetuju atas nama kebebasan termasuklah Datuk Bandar New York, Michael Bloomburg. Ketaksuban menjaga kebebasan tidak kira dalam apa keadaan sekalipun nampaknya menjadi paksi kehidupan orang AS khasnya, dan dunia Barat amnya.

Dalam sesetengah hal, hujah yang diberikan bukan kerana mempertahankan kesucian dan toleransi beragama tetapi lebih kepada kepentingan sendiri. Misalnya, pendukung bala tentera AS rata-rata tidak setuju kerana khuatir pihak 'musuh' akan mengambil tindak balas terhadap askar-askar AS yang ditempatkan di merata dunia, seperti di Afghanistan. Malah berita terbaru melaporkan bahawa dua orang sudah terbunuh dan ramai lagi cedera dalam satu bantahan yang diadakan di Afghanistan.

Natijahnya, percubaan demi percubaan akan terus dilakukan demi mempertahankan apa yang Barat faham sebagai kebebasan bersuara, bukan sahaja di peringkat rakyat bawahan tetapi merangkumi juga pemimpin tertinggi di kalangan mereka. Inilah kenyataannya yang terbentang di mata kita selama ini baik dalam pembelaan pelukis kartun mahupun paderi sebuah gereja yang tidak dikenali sama sekali.

Walaupun buat sementara waktu, pembakaran al-Quran tertangguh kerana paderi berkenaan mendapat semacam ilham yang 'Tuhan tidak menyuruhnya berbuat sedemikian', kita juga perlu sedar bahawa ini bukannya sesuatu yang boleh kita yakini! Oleh itu, dunia Islam perlu bijaksana dalam menangani isu-isu kebangkitan Islam di dunia Barat sempena kebebasan bersuara sebagai satu proses dakwah yang berhemat lagi luhur.

* The writer is the Vice-Chancellor of Universiti Sains Malaysia. He can be contacted at vc@usm.my