Overhaul dan 'revolusi pendidikan'
Professor Tan Sri Dato' Dzulkifli Abd Razak
Comment
Utusan Malaysia - 09/26/2009
PENJELASAN kepada komen Dato' Salleh Majid oleh Datuk Radin Omar (Utusan Malaysia, 23 September 2009) adalah amat menarik. Isu ini boleh dijadikan satu pelantar positif untuk umum membincangkan tentang perubahan kepada pengajian tinggi secara ilmiah demi kebaikan bersama.
Pada saya yang paling menarik sekali adalah istilah overhaul yang digunakan oleh kedua-dua penulis tersebut. Di satu tahap, istilah ini memang tepat untuk menggambarkan satu "pembaharuan" melalui proses pembersihan yang rapi, termasuk mengganti bahagian-bahagian yang tidak lagi berfungsi dan sebagainya seperti mana yang dilakukan kepada enjin kenderaan.
Inilah yang lazim berlaku apabila dioverhaul dengan tujuan membaik pulih sesuatu secara mekanikal. Ia membawa kefahaman bahawa "benda yang lama" diperbaiki/ditambah baik/diperbetulkan supaya prestasi sedia ada ditingkatkan semula.
Pokoknya, sejauh mana sekalipun prestasinya ditingkatkan "benda" tersebut masih yang lama pada asasnya. "Pembaharuan" yang dilakukan hanya secara relatif.
Pada pendapat saya, dalam membincangkan tentang masa hadapan pengajian tinggi amnya, dan universiti khususnya, apa yang utama adalah soal-soal "asas" dari mana terbit segala-galanya. "Asas" tersebut mesti sesuai dengan masa dan ketikanya, lantas prestasi yang dihasilkan turut mendatangkan manfaat sepenuhnya. Dan berkesan pula dari segi kos yang dibelanjakan.
Misalnya, selepas overhaul dilakukan, hasilnya perlu meningkat berlipat-lipat kali ganda ekoran kecekapan telah ditingkatkan. Namun demikian jika tidak sesuai atau sepadan seperti yang dibangkitkan oleh Dato' Salleh, maka ia akan terus menghantui.
Datuk Radin ada membayangkan cara penyelesaiannya dengan memperkenalkan konsep profil graduan, bermaksud jika profil graduan yang dihasilkan sesuai, maka soal sepadan tidak timbul.
Ini membuka satu persoalan lain: siapa yang menentukan apa yang sepadan atau tidak? Sudah tentu pihak majikan kerana akhirnya perkiraan kita adalah untuk memenuhi sektor pekerjaan. Ini semacam Indeks Prestasi Utama (KPI) sesebuah universiti. Jika semua keluaran institusi pengajian tinggi (IPT) mendapat pekerjaan yang sepadan dan cepat, maka dianggap "berjayalah" IPT tersebut. Begitu pula jika di sebaliknya.
Pendek kata, tidak banyak bezanya di antara sebuah "kilang" yang mengilang barangan buatan yang sepadan dengan pasaran, dengan sebuah universiti yang mengeluarkan (mengilang?) "graduan" - asalkan prinsip "keterpasaran" (marketability) dipatuhi.
Seperti barangan perkilangan, selagi ada permintaan, selagi itulah mesti ada pembekalan. Namun kerisauan yang "kita sudah sampai tahap terlalu banyak universiti" menggambarkan pula sumber bekalan sudah terlalu banyak, dan dikhuatiri melebihi permintaan, biar sepadan mana sekalipun!
Mujurlah yang dikatakan universiti khusus seperti - Multimedia, Telekom, Petronas - juga menentukan "permintaan" pasaran (sekali gus merupakan majikan utama kepada industri-industri utama negara). Oleh itu cerita kesepadanan tidak timbul bagi mereka.
Halnya amat berbeza dengan IPT yang lebih umum di mana mencari kesepadanan agak lebih rumit. Ini memandangkan IPT umum juga menyasarkan industri yang sama. Di sini timbul isu keterpasaran, apa lagi sekiranya pasar telah ditepukan oleh graduan universiti khusus tersebut, yang pada adatnya lebih cenderung ditempatkan di industri yang berkaitan.
Selainnya, IPT umum masih memikul amanah menawar dan membangunkan kursus-kursus yang dianggap kurang mendapat pasaran. Misal bidang falsafah, kesusasteraan tempatan, bidang agama, seni, budaya dan warisan. Industri mana agaknya yang memerlukan bidang ilmu ini secara berterusan, kalaupun ada?
Wajarkah oleh kerana tidak ada pasaran bidang-bidang ini dicicirkan dengan sengaja seperti menutup kilang yang rugi? Sudah tentu tidak, kerana apa yang dipentingkan oleh universiti adalah nilai ilmu tersebut berbeza dengan industri. Ternyata terdapat percanggahan nilai ilmu di sini.
Diandaikan sebuah universiti itu adalah "kilang," perhitungannya teramat mudah sekali; lantas IPT swasta lebih berkecenderungan tidak menawar kursus yang tidak laku di pasaran, tidak kira setinggi mana sekali nilai ilmunya! Maka tidak hairan, hampir tidak ada IPT swasta yang menawarkan bidang-bidang tersebut. Kalau ada pun umpama seni, kerana ia boleh dipasarkan! Anehnya IPT swasta rata-rata dianggap lebih berjaya dan kos-berkesan berbanding dengan IPT umum kerana mereka pandai memilih-milih kursus untuk diperagakan.
Ringkasnya, kekusutan ini timbul kerana kita masih tidak jelas tentang apa yang dikatakan "universiti"? Adakah untuk tujuan pasaran semata-mata, seperti yang sering dipolemikkan? Jika ya, apakah akibatnya nanti jika universiti menjadi Pak Turut kepada telunjuk pasaran dengan anggapan ia juga adalah tuntutan negara?
Untuk menjawabnya lihat sahaja apa yang berlaku hari ini di mana Malaysia dikatakan terperangkap dalam tingkat ekonomi sederhana. Antaranya ia disebabkan bahawa universiti atau IPT kita, baik awam mahupun swasta gagal menyediakan graduan untuk tingkat ekonomi yang lebih tinggi gara-gara memenuhi permintaan pasaran yang agak ketinggalan dalam usaha ini.
Dengan kata lain pasaran yang ada tidak langsung berupaya/berminat menjangkau masa hadapan, malah terus ketinggalan agak jauh ke belakang.
Ambil contoh, bidang bioteknologi. Pasaran untuk graduan berkemahiran dalam bidang ini amat terhad, malah tiada langsung beberapa tahun yang lalu.
Jadi apa yang hendak disepadankan jika tiada pasaran, atau terlalu kecil untuk menjadi penentunya. Lantas kita terus tercicir dalam bidang bioteknologi kerana "universiti" kita hanya dikehendaki "mengisi" pekerjaan yang ada dan bukan mengambil risiko membina pekerjaan hari esok.
Jadi tidak hairanlah jika ekonomi kita "terperangkap" dan sukar berkembang maju berlandaskan kepesatan bidang-bidang baru, kerana tiada permintaan pasaran! Hal ini berlaku lagi apabila jika berbincang tentang bidang nanoteknologi sedangkan negara saingan kita telah mencurahkan ribuan juta membangunkan bidang-bidang baru melalui "universiti" mereka.
Di negara maju, universiti menjadi penyuluh masa hadapan untuk membuka pasaran baru dan membina kekayaan negara agar ekonomi mereka terus meningkat maju. Malangnya di Malaysia sebaliknya. Malah "universiti" didesak mengikut telunjuk pasaran bersuluhkan industri yang ada - tidak kira sejauh mana ia tercicir ke belakang, ataupun industri matahari terbenam asalkan sahaja mereka menawarkan pekerjaan.
Oleh itu, apa yang diperlukan bukannya overhaul, tetapi lebih hebat daripada itu. Mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah mengesyorkan tidak kurang daripada "revolusi pendidikan" untuk menangani masa hadapan Malaysia. Ini juga bermasuk "asas" pendidikan yang ada perlu di pugar semula melibatkan semua pihak, peringkat dan dasar.
Perubahan tempelan di sana-sini umpama proses overhaul pada "benda yang lama" lagi usang tidak lagi memadai; dan akan hanya membuang masa dan tenaga sahaja kerana keadaan sudah terlalu banyak berubah, dan tidak lagi sesuai, termasuk konsep sebuah "kilang." Apa lagi jika dihitung hari muka.
Inilah penyelesaian pokok yang perlu segera dilaksanakan. Soalnya bila, kerana ia menuntut satu bentuk keberanian untuk meroboh dan merubah dari segenap lapisan politik, ekonomi dan sosial?
PROF. TAN SRI DATUK DZULKIFLI ABDUL RAZAK Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM)
* The writer is the Vice-Chancellor of Universiti Sains Malaysia. He can be contacted at vc@usm.my