Log in
Berani dalam Benar : Setan Besar Menggali Lubang Najis Sendiri
Dzulkifli Abdul Razak
Bagaikan yang ditelah, Setan Besar kalah besar dalam pemilihan setengah penggal dalam empat tahun memegang jawatan Presiden Amerika Syarikat (AS) minggu lalu. Ini mengikut sistem mereka yang amat berbeza dengan sistem Inggeris, dianuti Malaysia hasil penjajahannya. Sistem AS seolah meletakkan satu semakan supaya pentadbiran negara lebih berwaspada dalam memenuhi janji-janji yang dibuat. Antara janji Setan Besar yang agak ketara adalah tidak lagi berperang, malah mencari kedamaian sehingga Trump ghairah untuk memenangi Hadiah Nobel untuk Keamanan. Ternyata ini tidak berlaku sama sekali selepas dua kali menjadi Presiden negara terhebat.
Pada tahun 2026, pemenang yang dipilih adalah seorang wanita dari Afrika Selatan. Ini membuat Trump berang. Lalu mengelarkan Norway sebagai negara lubang najis (shithole) mengikut laporan kerana tidak menganggapnya layak diberi Hadiah berpretij itu.



Apapun, terdahulu Setan Besar sanggup “menerima” Hadiah Nobel tahun lalu dari seorang pemenang Venezuela sebagai "cenderahati” yang tidak selayaknya, mengikut peraturan rasmi mengenainya. Semua ini adalah untuk memenuhi tuntutan egonya yang diasuh sesuai dengan sifat kesetanannya!
Maka tidak menghairankanlah jika kekalahan AS dibawah Trump berakar umbi dari peperangan secara “haram” khasnya dengan Iran, tercetus tanpa apa-apa amaran pada Februari 28 awal tahun ini. Ia selaras dengan kegemaran egonya membuat tindakan beserta pengumuman seantero, tanpa usul periksa yang teliti terlebih dahulu.



Bahkan kini terbukti bahawa hasutan dari pihak luar atas kepentingan sempit mereka sendiri, memandangkan negara tersebut juga menghadapi “kekalahan” teruk dalam pilihan raya umumnya Oktober lalu. Kaitannya dengan kecelakaan Trump amat rapat sekali walaupun tujuan sebenar serangan tersorok buat seketika. Ini tidak lagi, kerana banyak jelas terdedah kepada dunia melalui genosida terbuka yang masih berlarutan sehingga saat ini. Dari segi penaklukan tanah sahaja, secara “ganas” dan “haram,” dijangkakan melebihi 1,100 km persegi melibat empat negara jiran. Perkaitannya dengan ketua sebuah negara yang kononnya tidak ada tolok bandingan menampakkan “kebodohan” yang juga tidak bandingan dalam sejarah AS, mahupun dunia. Asalkan nafsu untuk “menang” dengan berbagai dakyah dan dendam kesumat tercapai jua. Maka slogan MAGA (Pekasakan Amerika Semula) yang didokong pada awalnya terus merosot memberi isyarat bahawa Trump di belakang slogan itu hanya acah-acah belaka untuk mengabadi namanya, betul atau tidak. Ternyata, kini AS tidak lagi perkasa, bahkan sebaliknya – Make America Go Away! - berkaitan dengan gara-gara “membeli” Greenland oleh Trump.

Apatah lagi, apabila “gelombang biru (Demokrat)” terus membadai mengatasi “merah (Republikan)”, maksud MAGA terbaharu ini muncul semula.


Semua dibaca sebagai satu petanda jelas bahawa Setan Besar akan tersungkur di bawah pentadbiran pilihan baharu akibat pemimpin yang menyesatkan seperti dibincangkan dalam ruangan April 18, 2025. Ekoran itu, kekalahan terkesan atas dasar yang terang-terangan sebagai BESAR – Bahlul, Ego, Sesat, Angkuh, lagi Rakus! Sungguhpun begitu, Trump masih mendabik dada mendakwa sekira ia bertanding, parti merahnya akan mendapat sambutan “tanah (durian) runtuh.” Masih tidak sedarkan diri! Walhal, ramai mengatakan bahawa pemilihan tersebut merupakan satu “referendum” (pungutan suara) kepada dirinya sendiri sebagai Presiden yang sudah lanjut usia, seakan-akan itik tempang yang ramai ingin menumpang!



Lantas membentuk satu “oligarki” – seiring korporat mafia yang menasihatinya sesuka hati kadang kala bercanggah dengan undang-undang AS dan terpaksa diterbalikkan oleh pihak mahkamah. Ataupun ia sendiri membuat pusingan-U tidak putus-putus dalam mendustai berbagai ancaman Iran dalam berbagai bahasa dan jenaka!
Apa yang jelas dari semua ini, sokongan “oligarki” didokong oleh segelintir orang terkaya di AS bersengkokol untuk “memenangkan” Trump dengan menabur jutaan wang politik semasa pemilihan yang baharu berakhir. Malah, semasa kempen Trump secara terbuka dan lantang menjanjikan pemberian wang USD5000 bagi setiap rakyat yang mengundi parti “merahnya.” Namun, ia tidak berkesan, apabila “gelombang biru” terus mara, menunjukkan wang tidak dapat membeli maruah dan semangat juang yang jujur. Tidak seperti sesetengah negara yang maruah dan etika serta amanah boleh diratah begitu begitu sahaja! Dan bermacam langkah mengekalkan kuasa dan nama mengikut kecenderungan slogan BESAR mereka masing-masing tanpa malu.
Seiring itu terdapat laporan yang Trump terus memungut untung berbilion dolar, tatkala sejumlah besar rakyat AS mengikat perut kerana kos meningkat dalam serba-serbi khasnya disebabkan “peperangan” dengan Iran yang berlanjutan tanpa izin Kongres AS.
Dengan adanya perubahan yang dikatakan paling bersejarah ini, pihak “biru” nekad untuk meneliti apa sahaja yang menimbulkan syak berpandukan Perlembagaan serta Perundangan AS berasaskan amalan demokrasi tulen. Ini termasuk ratusan catatan dalam fail Epstein yang telah terkumpul menampakkan peranan Trump bersama penjenayah seks paling terkemuka melibat anak-anak muda yang dipersia-siakan selama ini. Tuduhan serta tindakan yang dikenakan kepada seorang putera Istana Inggeris serta dilucutkan kedudukan rasmi membawa ketengah betapa serius isu ini diberi perhatian baik seorang ketua negara pun. Semua ini adalah bakal membuka pekong seluas-luasnya yang selama ini cuba disembunyikan. Namun kebenaran dan takdir tidak menyebelahi “oligarki” sekuat mana pun.



Sayugia, perkara seumpama ini bukannya baharu bagi Trump kerana ia telah menghadapi tindakan pemecatan semasa menjadi Presiden buat kali pertama, sebanyak dua kali. Pastinya ini akan berulang buat kali ketiga menjadikan AS sebagai lubang najis yang sukar ditandingi dibawah seorang “pemimpin” yang indah khabar dari rupa! Cakap tidak serupa bikin! Akhirnya, bak kata pepatah, pandai-pandai tupai melompat, jatuh ketanah jua. Apa lagi, masuk ke lubang najis buatan sendiri!