Log in
Berani dalam Benar - Setan Besar kalah BESAR, Nov. 7, 2026
Dzulkifli Abdul Razak
Bagaikan yang ditelah, Setan Besar kalah besar dalam pemilihan setengah penggal dalam empat tahun memegang jawatan Presiden Amerika Syarikat (AS) minggu lalu. Ini mengikut sistem mereka yang amat berbeza dengan sistem Inggeris, dianuti Malaysia hasil penjajahannya. Sistem AS seolah meletakkan satu semakan supaya pentadbiran negara lebih berwaspada dalam memenuhi janji-janji yang dibuat. Antara janji Setan Besar yang agak ketara adalah tidak lagi berperang, malah mencari kedamaian sehingga Trump ghairah untuk memenangi Hadiah Nobel untuk Keamanan. Ternyata ini tidak berlaku sama sekali selepas dua kali menjadi Presiden negara terhebat.
Pada tahun 2026, pemenang yang dipilih adalah seorang wanita dari Afrika Selatan. Ini membuat Trump berang. Lalu mengelarkan Norway sebagai negara lubang najis (shithole) mengikut laporan media kerana tidak menganggapnya layak diberi Hadiah berprestij itu.



Apapun, terdahulu Setan Besar sanggup “menerima” Hadiah Nobel tahun lalu dari seorang pemenang Venezuela sebagai "cenderahati” yang tidak selayaknya, mengikut peraturan rasmi mengenainya. Semua ini adalah untuk memenuhi tuntutan ego yang diasuh sesuai dengan sifat kesetanannya!
Maka tidak menghairankanlah jika kekalahan AS dibawah Trump berakar umbi dari peperangan secara “haram” khasnya dengan Iran, tercetus tanpa apa-apa amaran pada Februari 28 awal tahun ini. Ia selaras dengan kegemaran egonya membuat tindakan mengejut beserta pengumuman seantero, tanpa usul periksa yang teliti terlebih dahulu.



Bahkan kini terbukti bahawa hasutan dari pihak luar atas kepentingan sempit mereka sendiri, memandangkan negara tersebut juga menghadapi “kekalahan” teruk dalam pilihan raya umumnya Oktober lalu. Kaitannya dengan kecelakaan Trump amat rapat sekali walaupun tujuan sebenar serangan tersorok buat seketika. Ini tidak lagi, kerana banyak perkara jelas terdedah kepada dunia melalui genosida terbuka yang masih berlarutan sehingga saat ini. Dari segi penaklukan tanah sahaja, secara “ganas” dan “haram,” dijangkakan melebihi 1,100 km persegi melibat empat negara jiran terdekat. Kaitannya dengan ketua sebuah negara yang kononnya tidak ada tolok bandingan lebih menampakkan “kebodohan” yang juga tidak ada bandingan dalam sejarah AS, mahupun dunia. Asalkan nafsu untuk mencapai “kemenangan” melalui berbagai dakyah dan dendam kesumat berkelangsungan jua. Maka slogan MAGA (Pekasakan Amerika Semula) yang didokong sejak awal terus merudum memberi isyarat bahawa Trump mengangkat slogan itu hanya untuk mengabadi namanya, bukan AS. Ternyata, kini AS tidak lagi pekasa, bahkan sebaliknya bermaksud : Make America Go Away! hasil keinginan “membeli” Greenland oleh Trump.

Apatah lagi, apabila “tsunami gelombang biru (Demokrat)” terus membadai mengatasi yang “merah (Republikan)”, bermaksud MAGA terbaharu berkumandang semula.


Semua ini dibaca sebagai satu petanda jelas bahawa Setan Besar akan tersungkur di bawah pentadbiran pilihan baharu akibat kepemimpin yang menyesatkan seperti dibincangkan dalam ruangan April 18/19, 2026. Ekoran itu, kekalahan terkesan atas dasar yang terang-terangan bersifat BESAR – Bahlul, Ego, Sesat, Angkuh, lagi Rakus! Sungguhpun begitu, Trump masih mendabik dada mendakwa sekira ia bertanding, parti merahnya akan mendapat sambutan “tanah (durian) runtuh.” Masih tidak sedarkan diri! Walhal, ramai mengatakan bahawa pemilihan kali ini merupakan juga satu “referendum” (pungutan suara) kepada dirinya sendiri sebagai Presiden yang sudah lanjut usia, seakan-akan itik tempang yang ramai ingin menunggangnya! Ada pakar yang menduga akan tamat sebelum dua tahun berlalu.



Lantas satu “oligarki” terbentuk – seiring korporat mafia yang menasihatinya sesuka hati kadang kala bercanggah dengan undang-undang AS dan terpaksa diterbalikkan oleh pihak mahkamah. Ataupun ia sendiri membuat pusingan-U tidak putus-putus yang mendustai segala macam khususnya ancaman keatas Iran dalam pelbagai bahasa dan jenaka!
Apa yang jelas dari perkembangan ini, sokongan “oligarki” didokong oleh segelintir orang terkaya di AS bersengkongkol untuk “memenangkan” Trump dengan menabur jutaan wang politik semasa pemilihan yang baharu sahaja berakhir. Malah, semasa kempen Trump acap kali secara terbuka dan lantang menjanjikan pemberian dividen USD5000 bagi setiap rakyat yang mengundi parti “merahnya.” Namun, ia tidak berkesan, apabila “gelombang biru” terus mara, menunjukkan wang tidak dapat membeli maruah dan semangat juang yang jujur. Tidak seperti sesetengah negara yang maruah dan etika serta amanah boleh diratah begitu sahaja! Dan bermacam langkah pula diambil untuk mengekalkan kuasa dan nama mengikut kecenderungan slogan BESAR mereka masing-masing tanpa malu.
