Log in
KEBEBASAN 250 – Pengajaran dari Setan Besar! Selamat Hari Jadi Ke-250 Amerika Syarikat!
Dzulkifli Abdul Razak

Lembaran sejarah Amerika Syarikat boleh dikatakan tercetus dengan tidak sengaja apabila Christopher Columbus mendarat secara tidak terancang pada 1492, dalam usaha belayar ke Timur, untuk mencari tanah besar India, kononnya. Apapun beberapa laporan mencatatkan Columbus bukan yang pertama berbuat demikian di wilayah berkenaan. Kumpulan Viking, misalnya, dikatakan telah mendarat lebih awal lagi tanpa-tanpa membuat apa-apa tuntutan itu dan ini. Malah, mulai 1607, lebih 100 tahun kemudian sebuah tempat bernama Jamestown dibangunkan oleh saki-baki rombongan Columbus sebagai suatu penempatan tetap yang dikini dikenali sebagai Amerika Syarikat, atau United States (US) dibahagian utara kepulauan tersebut, di kapit oleh Kanada di wilayah atas dan Mexico, di bawah yang sudah pun mempunyai penghuni asal sejak berzaman-zaman. Tidak ubah seperti sejarah Pulau Pinang dengan Francis Light, atau Singapura dengan Stamford Raffles yang terang-terang menceroboh dan menjadikannya sebagai suatu jajahan haram. Lantas membawa berbagai kesan ketara khususnya kepada warga asal melalui berbagai tindakan penindasan, dan masalah sosio-budaya lain termasuk berbagai penyakit yang dibawa oleh para penjajah. Maka bermulalah satu urutan “penyahan” orang asal dan masyarakat setempat beserta budayanya melalui genosida, atau pembunuhan terancang beramai-ramai, serta keganasan berbagai bentuk berdekad-dekad lamanya. Warga asal diberi gelaran “Red Indian” atas sangkaan mereka orang India, tetapi berkulit cerah, bukan gelap, hatta orang India berkulit “merah” mengikut tafsiran mereka. Nama berpuluh-puluh kelompok tulen dinyahkan dalam satu himpunan tunggal “Red Indian” tadi.
Jelas sejarah Amerika Syarikat berliku-liku dengan berbagai pembohongan serta kerakusan sekali gus terbukti mengerikan nasib serta masa hadapan orang asal sehingga hari ini. Mereka dihadkan pada “Indian reservation” – penempatan khas yang mengasingkan dari hak kebebasan di tanah air mereka sendiri, tidak ubah di Tanah Melayu dan penjajahan Inggeris yang lain. Mereka tertekan, tidak bebas! Jadi mengapa “Kebebasan 250”?
Cogan tersebut dipilih untuk merujuk kepada para penjajah berkulit putih semata-mata! Ia diuar-uarkan bagi ulang tahun ke-250nya, berasaskan detik sejarah pada tahun 1776, bukan seawal 1400-an. Apa helahnya? Ia timbul apabila Kongres Kontinental Kedua yang mereka adakan untuk menubuhkan sebuah negara baharu. Seakan-akan langkah mewujudkan “Malayan Union” dan penghapus sama sekali keberadaan “Tanah Melayu” ketika itu. Bezanya, Malayan Union disanggah habis-habisan oleh orang warga asal yang celik sejarah, tetapi tidak demikian di US dengan penduduk baharu - “Red Indian.”
![]() |
![]() |
Kongres tersebut menjadikan tanggal Julai 4 sebagai hari jadi atau “kemerdekaannya” yang rasmi. Bererti hari ini adalah ulang tahun ke-250 Amerika Syarikat bebas dari cengkaman kuasa dari kerajaan Britain ketika itu. Yakni “kebebasan” dari pengaruh kuasa Inggeris, sedang mereka sendiri terus “menjajah” dan “mengongkong” hak yang sama bagi warga orang asal sebagai kumpulan India berkulit merah! Beberapa tahun kemudian, pada 1783, melalui Perjanjian Paris, Inggeris mempersetujui cadangan menubuhkan negara US yang berdaulat. Lantas, perlembagaannya dimeterai oleh kumpulan terlibat pada September 17, 1787. Watak Inggeris seperti George Washington, menjadi Presiden pertama melalui pemilihan 1778-1779, mengambil alih segala-galanya dari warga orang asal tadi. Maka negara baharu itu “bebas” berkembang, membuka tanah dan penempatan baharu khusus kearah barat berasaskan projek penjajahan penempat dengan mengusir dan merampas tanah hak orang asal secara paksaan sepertimana berlaku di Palestin sejak 1948 lagi, dan kemuncaknya di Gaza baharu-baharu ini. Dan seterusnya di Lubnan Selatan kebelakangan ini bersekutu dengan US secara terang-terangan bersandarkan Setan Besar. Ini projek berkesinambungan, umpamanya pada 1845, apabila wilayah yang dipanggil Texas kini, ditakluk sebahagiannya dari Mexico pula. Disamping itu, amalan perhambaan bertapak seiring pembukaan wilayah baharu untuk meluaskan “kebebasan” dalam memantapkan lagi genggaman kuasanya.
![]() |
![]() |
![]() |
Pendek kata, Amerika Syarikat yang ada kini, tidak suci dari penindasan besar-besaran, pemerasan berleluasa, dan berbagai lagi tindak-tanduk halus lagi licik yang mewarnai “kebebasan” ala seleranya. Sedang kumpulan “Red Indian” tadi dijadikan tontonan pelancong semata-mata dan tidak langsung tergolongan dalam aliran “Kebebasan 250” yang dirancang. Mereka terus terpinggir dan dipinggirkan oleh yang berkuasa, termasuk suku sakat Setan Besar yang serasi dengannya seantero. Malaysia tidak terkecuali!
Hatta, 250 tahun hari ini, di bawah slogan “Kebebasan 250” (Freedom 250) di bawah kelolaan Presiden ke 47, kegilaan yang sama, malah lebih-lebih lagi, menghantui banyak pihak serta membimbangkan seluruh pelusuk dunia. Antaranya, suruhanjaya Kebebasan 250 dan Rumah Putih diberitakan memperuntukkan berjuta USD dalam usaha membuat Amerika Syarikat perkasa semula (MAGA) – satu bentuk reformasi yang menjerat berbagai pihak. Tidak kurang juga berbagai gelagat (banyak juga yang melucukan) yang membingungkan dunia. Ini ada kaitan secara langsung dengan presiden terkini apabila pernah memegang tampuk kuasa pada tahun 2016 untuk pertama kali, bermula dengan desus-desas yang ada kuasa asing campur tangan dalam kemenangannya. Yakni tidaklah “bebas” seperti yang digembar-gemburkan! Ditambah pula dengan perlantikan kali keduanya yang berpaksikan “Utamakan Amerika” (America First) sebagai pelantar “ideologi” yang mencorakkan segala-galanya.
![]() |
![]() |
![]() |
Pertama-tama, pendatang dikekang – misalnya tembuk antara sempadan Mexico dibina ratusan kilometer untuk menghambat kemasukan warga negara jiran. Bagi mereka yang dari tujuh negara majoriti Muslim diharamkan sekaligus, kemudian ditambah pula dengan negara lain. Yang ada dihalau dengan berbagai cara, kadang-kala menyalahi kuasa dan berlaku kematian. Semuanya demi Kebebasan 250 untuk penjajahan terus berkuasa. Tidak cukup itu, ketua negara jiran dicekup dan ditebangkan ke US untuk diadili! Sementara itu, perang perdagangan dengan negara lain dimulakan, khasnya China serta negara seterunya. Banyak antara negara dicabar secara rasmi dalam menghad “kebebasan” dalam perdagangan, serta diplomasi, sehinggakan kesejahteraan dunia juga terbantut, umpama menarik diri dari Persetujuan Paris tentang krisis iklim. Dan semasa pandemik COVID-19 awal abad ini, US adalah satu-satunya negara yang paling teruk menyebabkan kematian rakyatnya – sehingga berjuta-juta, hasil perebakan virus berkenaan yang tidak terkawal sesuai songsang dengan pergerakkan “kebebasan” tadi. Apatah lagi sebagai sebuah negara, maju dan berkuasa serba-serba – masih kecundang! Sebaliknya didapati berbagai gelagat “bodoh sombong” dihidangkan dunia, seperti menganjurkan bahan racun pencuci sebagai “penawar” kepada COVID-19. Malah ini diuarkan oleh presidennya sendiri, dan ada rakyat taat meminum racun tersebut dan maut padahnya. Dengan kata lain, “kebebasan” membuta tuli boleh mengakibatkan berbagai kemelut yang jelas mengancam nyawa kepada sesiapa sahaja apabila “pilihan individu” mengatasi kesejahteraan awam dan kemanusiaan sejagat atas dasar politik sempit dan bodoh. Maka tidak hairanlah US juga turut menarik diri dari keanggotaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan meletakkan negaranya dalam suasana lebih mencabar sekali menyebabkan WHO dalam keadaan terumbang-ambing untuk memberi perkhidmatan kepada yang amat memerlukan. Ini juga terangkum dalam erti “Kebebasan 250” sama ada secara langsung atau tidak! Lalu semakin ramai rakyat US sendiri merasa cukup “bebas” untuk mengambil tindakan itu dan ini; bahkan ada yang menunggangnya sebagai gerakan berbaur politik termasuk Presiden sendiri untuk meraih perayaan Julai 4 dengan apa cara jua pun asalkan populariti terserlah, baik atau buruk! Misalnya, Rumah Putih berhasrat mengeluarkan bilangan terhad “Pasport Patriot” yang memuatkan muka presiden semasa di pejabat, buat pertama kali! Sebelum itu, satu ucapan akan disampaikan di persekitaran Gunung Rushmore – yang mana menyaksikan wajah mantan presiden utama diukir untuk mengambil kesempatan populariti. Ada yang meramalkan bahawa Setan Besar menginginkan wajahnya diukir sebagai tambahan, walau ini agak mustahil sama sekali.
![]() |
![]() |
Pun begitu, ada percubaan lain. Nama Pusat Peringatan Kennedy yang terkenal itu ingon digandingkan bersama nama Setan Besar seakan-akan ia juga setaraf dengan perwatakan dan pencapaian Presiden Kennedy sebagai sambutan “Kebebasan 250.” Mujur tidak semua tidak sedangkal ketua negaranya kerana gabungan nama yang telah direka bentuk dibantah oleh Jabatan Keadilan setempat, lantas mengarahkan nama lama merujuk kepada Kennedy sahaja dikekalkan semula, dan nama tambahan Setan Besar ditanggalkan!
![]() |
![]() |
![]() |
Namun ia tidak berakhir disini! Yang amat melucukan sekali adalah apabila Setan Besar cuba meletakkan namanya seiring seorang lagi Presiden terkenal, Abraham Lincoln, kali ini melalui Bangunan Peringatan Lincoln. Lebih tepat lagi kolam air berhampiran. Setan Besar bercadang untuk memulihkan semula permukaan kolam itu serta mengecat dengan warna biru bendera US dan pembiayaan berjuta-juta. Tidak munasabah. Malangnya, projek ini gagal teruk! Ia kini diharungi oleh sejenis rumpai yang memburukkan lagi keadaan kolam tersebut, walau hal sebelum itu air kolam tersebut jernih dan bersih pada pandangan umum. Mana datangnya rumpai tersebut masih menjadi teka-teki bagi satu projek berjuta USD cadangan tidak lain tidak bukan Setan Besar sendiri. Tetapi gagal dan terpaksa dibuat semula untuk menepati sambutan “Kebebasan 250” hari, dan ego yang di tampar hebat di mata dunia. Ini disusul dakwaan bahawa kononnya ada pihak tertentu terlibat, dan beberapa orang telah pun ditangkap atas tuduhan yang dipalsukan.
Akhir kata, sedangkan dunia ambil maklum bahawa agensi angkasa US, NASA, baharu-baharu amat berjaya dengan projek Artemis 2 ke bulan, malangkannya ia menimbulkan pertanyaan mengapa begitu banyak projek di bumi US sendiri kecewa, walaupun ia agak remeh berbanding Artemis 2 di angkasa lepas! Jawapannya, masih dicari-cari, namun apa yang jelas Setan Besar sendiri merupakan punca masalah, tatkala rakyat terpedaya memilih seorang yang tidak mencermin dan menyambung hasrat jelata sejujurnya. Populariti Setan Besar terus merudum, dan selepas 250 tahun “kebebasan” menjadi satu tragedi buat negara dan rakyat keseluruhannya. Ini belum lagi berbincang tentang pergolakan dengan sebuah negara yang mempunyai sejarah 10 kali ganda lebih lama dan hebat berbanding Kebebasan 250 yang mentah. Kepada yang sedar dan waras ini adalah iktibar yang perlu diambil hari ini sempena kepalsuan sandiwara, dan dongeng cogan ideologi Setan Besar serta kuncu-kuncunya! Bukan sahaja mereka mabuk kuasa, tetapi gila nama yang tidak berkesudahan! Insaflah!
It always seems impossible until it is done Nelson Mandela (1918-2013)












