Skip to main content


Berani dalam Benar : Venezuela, bukannya Iran! Berwaspadalah!


Dzulkifli Abdul Razak

25 March 2026

Serangan yang tidak diundang oleh Iran, dimulakan oleh Setan Besar dan sekutu ketatnya, Setan Nahu. Tiba-tiba pada apabila dunia Islam sedang sibuk dengan amalan berpuasa dan meneroka diri dengan kedatangan Ramadan al Mubarak, “peperangan ke atas Iran” tercetus walhal beberapa hari sebelum ini kedua-dua pihak dilaporkan mesra berunding di Geneva untuk mencari jalan damai yang di berita menampakkan potensi kejayaan begitu tinggi. Malah kota Vienna telah dikenalpasti sebagai susulan perundingan seterusnya. Oleh itu, apa yang berlaku kepada Iran merupakan kejutan amat besar bagi dunia keseluruhan. khasnya bagi pihak Iran sendiri, apabila turut kehilangan Pemimpin Tertinggi serta beberapa orang ahli keluarga terdekat. Dan lebih 150 pelajar perempuan di sekolah berdekatan di"bom" oleh senjata Tomahawk pada masa yang sama. Peristiwa pembunuhan beramai-ramai ini masih belum mendapat kepastian dari pihak Setan Besar sehingga hari ini.

 

Jelas semua perbuatan ini bukannya kebetulan, tetapi dirancang rapi sebagai sasaran utama untuk meruntuhkan kerajaan Iran dengan cara mendadak kononnya. Sekaligus menggantikan dengan sebuah kerajaan “boneka” bagi Setan Besar dan sekutunya. Iran pernah mengalami peristiwa ini pada tahun 1953 daripada kuasa yang sama kerana tamakan sumber minyak! Kini, hal yang sama seolah-olah berulang lagi ekoran Revolusi Islam pada tahun 1979, atas alasan seakan-akan sama juga. 

Bahkan pada Disember 2025, sesuatu percubaan yang serupa telah disandiwarakan dengan pantas di sebuah negara Amerika Latin, Venezuela. Satu serangan udara disasarkan ke atas Istana Presiden sehingga pemimpin negara itu diberkas seadanya dan diterbangkan ke Amerika Syarikat untuk “diadili” atas berbagai dakwaan termasuk penyalahgunaan dadah! Apa pun, tidak dapat disangkal bahawa Venezuela adalah sebuah negara yang kaya dengan sumber minyak, dan apa jua dakwaan yang dikenakan sebagai alasan, ia hanya sebagai acahan kecil-kecilan belaka! Yang utama adalah ketamakan minyak sepertimana yang dikenakan kepada Iran kini.

Namun Venezuela, bukannya Iran dari berbagai sudut – baik sejarah, apatah lagi budaya dan kedudukan geopolitik. Apa yang dapat dilakukan kepada negara Amerika Latin itu dalam sekelip mata, tidak mudah lakarkan kepada Iran yang kini telah pun masuk pada minggu keempat, walaupun Setan Besar meramalkan lebih singkat dari itu. Malah pernah mendakwa mencapai beberapa “kejayaan” dan “kemenangan” tanpa malu alah di muka dunia. 

Hakikatnya, buku sudah bertemu ruas sehingga Setan Besar tidak sama sekali tentu arah tujuannya, tambahan hilang punca untuk mencari jalan keluar dari kemelut yang digalinya sendiri. Disamping itu rakan-rakan sekutu dari Eropah dan Barat umumnya turut menyepi dan tidak menunjukkan “minat” untuk membantu sepertimana serangan ke atas Iraq di bawah kerajaan Presiden Saddam Hussein pada 2003. Natijah daripada peperangan tersebut menunjukkan satu tipu helah dan pembohongan besar-besaran yang Iraq ada kononnya Senjata Pemusnahan Umum (WMD) sebagai ancaman global yang mesti dimusnahkan serta merta. Ramai para pemimpin dunia termakan dengan dakyah ini dan turut bersengkongkol untuk menjatuhkan rejim Iraq dewasa itu. Hanya kemudiannya dimaklumkan bahawa persoalan WMD adalah igauan yang direka-reka semata-mata sebagai asas untuk menyerang. Maka dakyah yang serupa dicuba pula kepada Iran kali ini, tetapi tidak semudah termakan oleh sekutu-sekutu Barat seperti NATO misalnya, walaupun mereka turut bersama Setan Besar dalam mempertahankan Ukraine daripada serangan Rusia. Ini menunjukkan kedudukan berbelah bahagi mereka dan tidak menentu.

Apatah lagi yang sememangnya sudah tawar dengan tindak-tanduk Setan Besar selama ini dalam banyak peperangan sejak dari Peperangan Vietnam sehinggalah Afghanistan – semuanya memberikan kesan “kekalahan” yang parah dan teruk apabila berundur. Bagai anjing terpanggang ekor!

Pada kali ini, contoh paling jelas adalah tatkala Perdana Menteri Britain memberi sambutan dingin susulan tuntutan Setan Besar, berbanding dengan rakan sejawatnya pada penaklukan Iraq, yang boleh diandaikan seperti tidur sekatil dengan Presiden Bush pada ketika itu! Begitu juga Australia dengan negara Eropah lain.

Maka tarikh Mar 20, 2003 merupakan satu titik hitam yang amat mengaibkan sesebuah negara berdaulat apabila menjadi barua negara asing. Pastinya, bagi negara yang menerajui dan terlibat semasa Setiausaha Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Kofi Annan ketika itu, mengisytiharkan bahawa penaklukan Iraq adalah tidak sah daripada kaca mata undang-undang antarabangsa. Tiada bukti akan apa-apa terhadap WMD, malah Saddam Hussein tiada apa-apa kemudahan senjata nuklear!

Semua ini amat intim dengan apa yang sering diulang-ulang tentang Iran, khasnya dengan penglibatan senjata nuklear sejak berdekad-dekad sebagai sebab utama bagi meruntuhkan negara tersebut. Malah pada pertengahan tahun lalu dalam satu serangan beberapa hari dikatakan berjaya menghentikan aktiviti serta kemudahan nuklear Iran keseluruhannya oleh Setan Nahu atas sokongan Setan Besar. Tetapi, aneh, tidak sampai setahun pun tuduhan yang sama dibangkitkan semula – seolah-olah apa yang digembar-gemburkan berlaku pada tahun lalu satu pembohongan semata-mata ala Iraq 2003! Ternyata ini adalah “kekuatan” Setan Besar serta beberapa pemimpin yang rapat dengannya, termasuk beberapa negara bermajoriti Islam dengan slogan cetek masing-masing yang sanggup dijadikan “barua terhormat”! Semua ini terbentang amat luas kepada semua lapisan rakyat dunia yang meneliti sepenuh hati! Malangnya ini tidak cukup untuk membuka banyak lagi pekong di “hati yang mati,” masing-masing masih mencari-cari alasan lain termasuk “penggunaan senjata nuklear” dalam masa-masa terdekat ini! Istilah “obliterate” (yakni melenyapkan sehingga terus terpadam – umpama kemusnahan Bom Atom oleh Amerika Syarikat pada Ogos 6, 1945 di Hiroshima, lihat gambar bawah) telah digunakan terhadap Iran oleh Setan Besar baharu-baharu ini.

Namun, Tehrah bukan juga Hiroshima! Tehran cekal dan berani menentang setan sebesar manapun dengan akal serta hati yang jauh lebih tajam dalam suatu peradabannya yang tidak dapat ditundukkan oleh mana-mana kuasa dengan mudah. Melalui Operasi Janji Tulen 4, kejayaan peluru hipersonik Fattah 2.0 umpamanya telah membuktikan dengan tegas “cakap serupa bikin” apabila janji serta sumpah amanah yang dilaungkan selama ini terjelma. Ia diakui musuh bahawa satu era baharu dalam strategi Pasca-perang Dingin sejak tiga abad lalu sudah bertukar haluan. 

Tehran kini digeruni dengan taktik perang yang lebih canggih, murah, anjal dan lebih-lebih lagi tidak mudah tunduk kepada rentak, ancaman dan gula-gula Setan Besar! Ramadan telah pun menunjukkan gambaran “kememangan” kepada Iran serta pendukungnya yang ikhlas dan berani! Tidak tunggang terbalik kerana kebaculan. Soalnya di mana kita yang masih terkial-kial. Adakah kita turut tergolong dalam angkatan yang sama hasil amalan Ramadan yang tiada kurangnya. Tidak perlu lagi berpura-pura atau mengomong retorik kosong kerana dunia sudah pun mengenali siapa kita! Berani dalam benar!

It always seems impossible until it is done          Nelson Mandela (1918-2013)