Log in
Berani dalam Benar - Semua "guru" perlu SYAHDU!
Dzulkifli Abdul Razak
Berani dalam Benar - Semua “guru” perlu SYAHDU!
Dalam dunia perguruan, tiada yang lebih syahdu daripada “guru.” Mengapa tidak, melalui merekalah berbagai benih tumbuh dan hidup mekar untuk memberi makna kepada kehidupan. Sebab itu jugalah “guru” mesti dihormati, mahu atau tidak. Mengingkari boleh dianggap sebagai menderhaka. Maka ramai mencintai dan mendoakan “guru” agar mendapat barakah dari ilmu yang disampaikan sehingga ke akhir hayat. SYAHDU menghalusi “Sejahtera” bagi dirinya dan “Yakin” ilmunya; memupuk “Amanah” dan “Harapan” sehingga menjadikannya “Damai” dan “Ulung.” Kini diadakan Hari Guru dan Ikrarnya untuk membawa semula kesyahduan yang sudah luntur. Dahulu setiap hari adalah “hari guru” berserta ikrarnya yang tidak perlu dilafazkan kerana ia sebahagian daripada amanah serta harapan yang telah tertanam dalam benih perguruan sejak mula lagi. Sebagai anggota dalam sebuah keluarga “guru” bersifat SYAHDU hal tidak dapat dinafikan. Peranan seorang guru merupakan kemegahan dalam membuat perubahan besar kepada setiap orang yang bertindak balas dengannya. Ia seolah-olah satu perjuangan yang tidak ada akhirnya kerana berguru adalah satu proses hidup ke arah kesempurnaan dan kesejahteraan. Bak kata Falsafah Pendidikan Kebangsaan (1996) ia untuk mengarap “kesejahteraan diri”, menjadi insan sejahtera seimbang dan harmonis, taat serta patuh kepada Tuhan!
Sekali gus, meletakkan perguruan sebagai satu ibadah yang dipikul di atas bahu “guru” yang bakal akan diperhitungkan kelak. Bukan setakat mendapat berapa “A” atau “sijil” itu dan ini, tetapi berapa yang luhur berbudi dan berbakti sepenuh hati! Tiada had waktu dan masa – malah 24/7, tidak juga tertumpu kepada kelompok tertentu, bahkan kepada sesiapa sahaja, tua muda, miskin kaya, berpangkat atau tidak, tidak pilih bulu, kaum dan agama, apa lagi percaturan berbagai rupa untuk membawa damai. Kerana perhitungan kesudahannya menjadikan manusia insan sejahtera bermula dengan diri sendiri, kemudian keluarga, masyarakat, negara dan dunia sejagat, mengikut susunan serta tertib etika yang kental. Masakan matlamat terakhir tercapai jika diri sendiri tersungkur, keluarga berpecah belah, masyarakat purak puranda, negara tergadai kerana tamak haloba! Maksudnya guru yang tidak SYAHDU akan gagal menzahirkan tanggungjawab yang diberikan. Mereka lebih MADANI yang bersifat: malas, angkuh, dusta, ampu, ngeri dan iri! Setiap satunya berlawanan dengan ciri-ciri SYAHDU.
Contoh-contoh terkini membuktikan apa yang berlaku masa demi masa. Terkini, pada Jun lalu, aspek keselamatan dan perlindungan guru menjadi tanda soal utama ketika menjalankan tugas di sekolah. Dalam satu kejadian seorang guru disiplin dipercayai cedera selepas didakwa ditumbuk sekumpulan pelajar di sebuah sekolah menengah di Perak. Sebaliknya, terdahulu di Johor, seorang guru besar sebuah sekolah rendah yang disyaki memukul murid Tahun Satu sehingga cedera di sebuah sekolah daerah. Dikatakan, kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun ditemui dalam keadaan trauma serta mengalami kecederaan ekoran kejadian terbabit. Sementara itu, siasatan awal mendapati murid tersebut ditemui dalam tandas sekolah dalam keadaan cedera sebelum dimaklumkan kepada ahli keluarganya. Apatah lagi, lama sebelum itu, peristiwa seorang pelajar ditengking dikhalayak ramai apabila mengutarakan dalam pertemuan terbuka masih hidup dalam ingatan umum menyangkut kepada “guru” bersifat MADAN, bukan SYAHDU!
Dalam konteks ini, cabaran MADANI terbesar kepada para murid bersangkut pendedahan kepada penggunaan vape (rokok elektronik) yang disengajakan. Ini ekoran tindakan meremehkan kawalan bahan tersebut pada Mac 2023. Mengikut sumber Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) peningkatan dalam kecenderungan menyalahgunakan rokok elektronik atau vape melibatkan murid sekolah anggaran 20,000 ramainya. Timbalan Menteri KPM berkata angka ini dari statistik sah yang direkodkan dalam Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM). Berdasarkan SSDM, didapati penyalahgunaan vape dalam kalangan murid sekolah di bawah KPM menunjukkan peningkatan, sekitar 0.38 peratus daripada jutaan jumlah keseluruhan murid di bawah KPM. Belum lagi mengambil kira pengajian tinggi. Namun, untuk kesemua kes tersebut, “boleh nampak bahawa trend murid terlibat dalam merokok menurun, tetapi untuk vape adalah meningkat”, ujarnya. Malah, beliau memohon kerjasama semua pihak termasuk masyarakat dan ibu bapa agar bantu KPM dalam meningkatkan kesedaran tentang keburukan bahaya rokok elektronik dan vape ke atas anak-anak kita. Pendek kata, “guru” tidak lagi SYAHDU.
Hal ini bertambah kukuh apabila Mahkamah Tinggi awal tahun ini memutuskan bahawa keputusan Menteri Kesihatan dan kerajaan mengecualikan cecair serta gel vape mengandungi nikotin daripada senarai bahan terkawal di bawah Akta Racun 1952 sebagai “tidak rasional” (tidak SYAHDU!). Hakim, Datuk Aliza Sulaiman (yang kini Hakim Mahkamah Rayuan) berkata demikian selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman difailkan oleh tiga pertubuhan bukan kerajaan mencabar keputusan para “guru” yang menggugat tahap kesihatan anak muda ke arah kemudaratan am serta ketagihan tegar khasnya. Apatah lagi bercanggah dengan hak asasi mendapatkan perlindungan sewajarnya. Mahkamah berkenaan turut mengisytiharkan bahawa pengecualian itu dibuat tanpa rundingan yang mencukupi dengan Lembaga Racun dan ia bertentangan dengan Seksyen 6 Akta Racun 1952. Semasa menyampaikan keputusan, Aliza menekankan bahawa Menteri Kesihatan ketika itu terkhilaf kerana tidak berunding dengan Lembaga Racun sebelum Kabinet meluluskan untuk menyah cecair nikotin daripada senarai bahan terkawal. Hakim juga menerima hujahan bahawa keputusan pengecualian nikotin dalam cecair dan gel vape tersebut didorong terutamanya oleh pertimbangan ekonomi dan percukaian susulan cadangan cukai eksais terhadap vape mengandungi nikotin dalam Belanjawan 2023. Berlandaskan bukti ia lanjutan susulan cadangan Kementerian Kewangan, yang juga Perdana Menteri. Menurutnya, Kementerian Kewangan kemudian memaklumkan kepada Kementerian Kesihatan bahawa langkah menghalal (dari segi undang-undang) cecair dan gel nikotin membolehkan cukai dikenakan ke atas produk berkenaan dan hasil kutipan disalurkan kepada inisiatif kesihatan.
Semua ini merujuk kepada amalan yang tidak SYAHDU apabila nyawa diracuni dan masa hadapan anak-anak dan generasi muda diperjudikan hanya untuk mengutip cukai . Tidak masuk akal sama sekali. Cukup, cukuplah! Ternyata, masanya sudah tiba bagi mereka yang “terkhilaf” bertanggungjawab meminta maaf kepada yang mengalami kesengsaraan MADANI yang diamalkan, serta membayar pampasan dan ganti rugi kepada pihak yang kehilangan keupayaan membina kualiti hidup yang SYAHDU demi menegakkan amanah dan harapan, akibat keputusan yang tidak masuk akal! Natijahnya, “guru” perlu segera kembali SYAHDU – Sejahtera, Yakin, Amanah, Harapan, Damai dan Ulung! Ketepi MADANI.
It always seems impossible until it is done Nelson Mandela (1918-2013)