Log in
Berani dalam Benar: Salam Hijrah, mencari kesejahteraan seantero – Dzulkifli Abdul Razak, Jun 17, 2026
Dzulkifli Abdul Razak
Berani dalam Benar: Salam Hijrah, mencari kesejahteraan seantero
Salam Muharram, semoga semua diRahmati. Satu Rahmat yang agak jelas adalah perkembangan terkini tentang perselisihan antara Iran dan Amerika Syarikat setelah merentas empat bulan lamanya. Walau pun perselisihan ini dikatakan dapat diselesaikan dalam masa kurang sebulan, jika tidak hanya beberapa hari sahaja seperti yang berlaku di Venezuela sebelum itu. Namun semua ini jelas ada kaitan dengan satu lain negara yang menjadi “penghasut” dan “batu api” kepada pihak Amerika Syarikat. Negara ketiga tersebut (“Setan Nahu”) sememangnya dikenali memusuhi negara Iran sejak lama lagi, ekoran Revolusi Islam pada tahun 1979. Sekali gus mengeruhkan pengaruh Amerika Syarikat dan Barat amnya. Ini membolehkan Setan Nahu menjalankan jarum racunnya untuk mendampingi kuasa Barat khasnya Amerika Syarikat bersekongkol menawan Iran sebagaimana di Iraq dan Libya sebelum itu. Sedangkan kuasa-kuasa lain terutama negara Teluk terpengaruh sehingga peringkat memberi tempat bagi membantu musuh Iran berpusat.

Semua ini kesudahannya mencetuskan serangan mengejutkan - Epic Fury - terhadap Iran pada Februari 28, atas arahan Setan Besar dengan tujuan utama meruntuhkan Kerajaan Iran sedia ada, dan diganti dengan sebuah Kerajaan Boneka! Bukan itu sahaja, mereka begitu yakin yang perubahan tersebut boleh berlaku sekelip mata apabila Pemimpin Utamanya turut terbunuh dengan tidak disangka-sangka hasil “strategi” kejam Setan Nahu. Pun begiru, apa yang terjadi adalah sebaliknya membawa, kepada apa yang terkesan hari ini. Yakni strategi yang diramalkan menjadi tunggang terbalik! Maksudnya, perselisihan antara Iran dan Amerika Syarikat kian menjadi reda seolah-olah satu “penghijrahan” yang membawa kepada pembaharuan buat masa depan yang lebih cerah, sejahtera serta damai keseluruhannya. Setan Nahu tercicir kerana tersalah langkah!

Maka, satu penandatangan “elektonik” dilaporkan telah berlaku sementara menunggu perjanjian bersemuka pada hari Jumaat ini (19 Jun) bertempat di Switzerland. Apa yang nyata dalam hal ini adalah penglibatan terus antara Amerika Syarikat dan Iran, tanpa Setan Nahu (yang sehingga ini terus membisu). Malahan tujuan meruntuhkan Kerajaan Iran seperti yang diuarkan awal-awalnya tidak lagi disebut-sebut. Oleh itu, Amerika Syarikat kini bersendirian mencatatkan sasaran yang “baharu” tanpa kaitan dengan Setan Nahu. Antaranya adalah soal “pembikinan bom atau senjata nuklear” yang menjadi pokok walaupun pihak Iran bertegas dan teguh tanpa tunduk tentang hal ini. Lantas, isu ini ditolak ke tepi dan hanya dibangkitkan kelak selepas kerangka utama ditandatangani, dalam jangka masa 60 hari selepas itu. Apatah lagi bagi Setan Nahu yang kecewa dan sama sekali ingkar lantas mengambil keputusan tidak lagi seiring dengan cita-cita Amerika Syarikat untuk bekerjasama dengan Iran memulihkan keadaan. Secara terus menerus ia menyerang Lubnan Selatan walaupun Lubnan terangkum dalam kerangka keamanan yang ditaja oleh Amerika Syarikat dan Iran. Maknanya, Amerika Syarikat dimusuhi Setan Nahu sehingga, laporan terkini memetik bahawa Setan Besar terus memaki hamun Setan Nahu, menggunakan bahasa-bahasa kesat dan mencarut atas tindakan Setan Nahu masih menyerang Lubnan sehendaknya. Ini membawa risikonya amat tinggi untuk menggagalkan perjanjian yang ditandatangani yang kini sangat-sangat genting adanya. Tambahan, berkaitan pula dengan politik dalaman Amerika Syarikat yang melibatkan pemilihan Setan Besar sebagai Presiden pada peringkat pertengahan penggal. Setakat ini, kemungkinan ia mengekalkan kuasa amat rendah sekali selagi perselisihan berlarutan dan tidak tereda.
Bagi Setan Nahu, ia terbalik, yakni perselisihan dengan Iran mesti berlanjutan atas hujah yang Iran berhasrat menjadi kuasa nuklear! Dakyah ini, boleh menguatkan kedudukan Setan Nahu menghadapi pilihan raya umum pada Oktober ini. Wal hal, anehnya, merekalah yang mempunyai senjata nuklear yang tersorot secara diam-diam. Tetapi tidak pula dianggap mengancam keamanan. Sejarah juga telah menyaksikan bahawa Amerika Syarikat pernah menggunakan bom Atom pada tahun 1945, ke atas dua bandar Jepun – Hiroshima dan Nagasaki, selang beberapa hari, Ogos 6 dan 9 berturut-turut! Ini adalah pertama kali sejak 80 tahun yang lalu. Jadi mengapa pula Iran yang ditakuti dan bukan seterunya? Malahan sejak perselisihan ini bermula, Iran pernah diugut dengan berbagai tindakan supaya ia kembalikan ke Zaman Batu, bahkan menghapuskan tamadun Iran dari muka bumi. Pendek kata, yang terus membahayakan keadaan di Asia Barat, juga dunia sejagat, bukan sangat Iran! Nampaknya yang amat terdesak adalah musuh-musuhnya kerana antara lain Iran jelas memperakukan iltizamnya tidak membangunkan senjata nuklear, disamping memberi jaminan keselamatan pelayaran melalui selat Hormuz, sambil memperoleh USD 300 bilion untuk membangun semula prasarananya serta ekonomi melalui dana tertentu.

Natijah dari semua ini, cukup jelas dalam konteks hijrah yang sedang dilalui. Pertama sekali, apa sahaja penghijrahan yang bakal dirancang dan dilaksanakan mestilah berteraskan kejujuran serta setiakawan jitu. Supaya tidak berkecamuk akhirnya. Kedua, matlamat terakhir mestilah jelas dan kekal dari mula hingga akhir – tidak berubah-ubah dari masa ke masa mengikut selera dan tiupan angin politik yang tidak menentu. Ketiga, kawalan ego yang mantap sehingga matlamat kendiri tidak mendahului segala-segala, khasnya negara serta masyarakat dan khalayak umum yang harus dibela. Keempat, menghormati nilai-nilai kemanusiaan dan berlaku adil dalam semua hal membina pensejagatan bermaruah mengatasi cita-cita politik yang rakus lagi sempit. Cakap biar serupa bikin. Kelima, berilmu dan beramal seikhlas-ikhlasnya untuk mengangkat ilmu ke taraf paling tinggi - yakni berhikmah menegakkan kebenaran! Selamat berhijrah!