Skip to main content


Berani dalam Benar: Ranking dan terkelihatan global ala Jeffrey Epstein


Dzulkifli Abdul Razak

08 January 2026

Dikala sektor pendidikan riuh rendah dalam mencari landasan baharu mengukir tahun 2026, tidak ada cabaran yang sebesar “fail Jeffrey Epstein” yang dibongkar oleh Jabatan Perhakiman Amerika Syarikat terkini. Anggaran lebih dari tiga juta rekod rasmi (yang telah di”sunting”) terlibat, tambahan 2000 rakaman video, serta berbagai lagi makluman yang mengejutkan kini ditatapi khalayak dunia dengan beberapa reaksi luar dugaan. Nama-nama yang terpapar adalah antara yang terkenal dan ternama di merata dunia baik dari kumpulan perniagaan, profesional, politikus, kerabat raja, dan para cendekiawan serta terpelajar. Hampir setiap satu yang terpalit mencetuskan isu utama tersendiri, dan ramai mencari tempat perselindungan dari hamburkan yang dihadapkan kepada mereka. Tidak kurang juga yang terpaksa meletak jawatan dan bersembunyi disebalik berbagai alasan perihal tercabarnya maruah melalui berbagai tuduhan.

Semua ini ada kaitannya dengan pengaruh seorang bernama Jeffrey Epstein (JE) yang amat dikenali dalam dunia “hiburan” melibatkan remaja dibawah umur di Amerika Syarikat, sekaligus dituduh melakukan berbagai aktiviti sek yang menyalahi undang-undang sedia ada, apalagi dari segi nilai moral serta etika semula jadi. Malah beliau pernah didapati bersalah kerana melakukan sek dibawah umur dan dipenjara atas kesalahan tersebut. Namun namanya dan pengaruhnya tidak luntur dan terus merebak sehingga memuncak apabila Presiden Donald Trump mengambil alih kuasa, lantas bersetuju mendedahkan “fail JE” kepada umumnya, secara sengaja atau tidak. Itu pun masih ada yang mengakui bahawa ramai lagi suku-sakat yang terlibat belum dikenal pasti, ataupun belum diperkenalkan. Ertinya khazanah yang dikaitkan dengan individu tersebut belum sampai ke penghujungnya. Dan sudah tentu isu ini akan terus menghantui dunia, dan tidak ada negara akan terkecuali darinya apabila maklumat tersebut terus didalami.

Apa yang mungkin agak baharu dalam siasatan ini adalah keterlibatan dunia ilmiah yang sering bersembunyi dibelakang nama-nama besar sebagai penganjur serta pembiaya aktiviti akademik, termasuk penyelidikan, di universiti-universiti terkemuka. Di Amerika Syarikat sahaja, Universiti Harvard dan Massachusetts Institute of Technology (MIT) turut dikaitkan dengan bantuan JE, malah ada yang cukup dekat dengannya sebagai kenalan. Beliau diberita amat tertarik dengan para ilmiah seperti Pemenang Hadiah Nobel supaya dapat menonjolkan minatnya dalam dunia pendidikan serta penyelidikan sejagat.  Begitu juga pereka cipta seperti ikon komputer Bill Gates yang didakwa mengakibatkan perceraian rumah-tangganya beberapa tahun yang lalu. Pengaruh hubungan JE merupakan antara faktor utama. Jelasnya dunia ilmuan serta pendidikan turut menjadi gempar dengan cerita-cerita seumpama ini kerana selama ini isu-isu tersorok dari pengetahuan umum. Sering difahamkan bahawa dunia terpelajar mempunyainya tradisi serta amalan etika yang ketal, dan tidak mudah diperkotak-katikkan khususnya di negara maju dan apatah lagi universiti bertaraf dunia, kononnya. Hakikatnya, skandal akademik serta ilmu bukannya tidak pernah berlaku, hanya tidak “sejijik” gelagat serta lenggok JE yang terpendam selama ini. Maka tidak hairanlah reaksi dunia pendidikan tidak kurang pantasnya dalam menentukan kemurnian kedudukan serta budaya ilmiah terus dipertahankan. Yakni membangunkan kebenaran serta membela maruah khalayak ramai tanpa berlaku curang dalam segala hal yang berkaitan. Itulah sebenarnya matalamat mutakhir pendidikan di mana juga, walaupun sudah banyak dipergadaikan melalui amalan “ya!ya!” yang dipupuk untuk melariskan budaya ampun dan bodek yang lumrah sekali.

Misalnya, Queen’s University Belfast (QUB) tidak teragak-agak menyahkannya nama seorang senator Amerika Syarikat yang tersemat rapi dengan Universiti itu kerana keakrabannya dengan JE, walau ini sudah begitu lama berlaku, tetapi tidak diambil peduli secara serius. Namun dengan terbongkar “fail JE” perkara ini tidak lagi dapat diketepikan sama sekali. Malah wakil QUB mengakui, walaupun senator tersebut mungkin tidak bersalah dalam kaitannya dengan JE, namun perhubungannya tidak lagi dapat diterima lagi memandangkan imej JE amat bertentangan sama sekali dengan dunia pendidikan QUB. Jika tidak nilai pendidikannya akan terus dipersoalkan selama-lamanya. Pendidikan akan terus luntur. Oleh itu banyak lagi tindakan yang serupa diambil oleh institusi lain yang ingin menyelamatkan namanya untuk generasi masa hadapan. Dunia ilmiah kini sedang diperhatikan dengan dekat!

Mungkin ada yang tertanya-tanya apakah kena mengenakannya perkara ini dengan sektor pendidikan di Malaysia? Ini mungkin tidak jelas kepada mereka di luar dunia pendidikan, tetapi pada hakikatnya pendidikan di Malaysia hampir dipengaruhi seluruhnya dengan langkah-langkah dari negara-negara maju, terutamanya Amerika Syarikat. Amalan ranking misalnya adalah satu-satu antaranya yang sudah menyusup masuk dengan banyaknya sehinggakan ia boleh dianggap sebagai satu menjadi dasar yang semua universiti awam digalakkan “menyokong” ranking dengan pembiayaan berjuta-juta ringgit untuk “permainan” tersebut. Yang swasta tidak ketinggalan, malah lebih rancak lagi dengan perbelanjaan yang memusykilkan. Lazimnya ini dianggap satu pelaburan yang jumlah meningkat dari masa ke masa dengan harapan bahawa keuntungan pembiayaan pendidikan dapat dikumpul dengan lumayan. Hatta, model universiti terkini mempertaruhkan masa dan usaha yang banyak dalam menjana kewangan sungguhpun bajet pendidikan bagi sektor pendidikan amnya adalah tertinggi berbanding keseluruhannya. Peruntukan dikatakan masih tidak memadai! 

Sementara itu kualiti pendidikan universiti didasarkan kepada alat ukuran yang membawa banyak keraguan sejak begitu lama lagi. Apatah lagi usaha ini melibatkan sektor industri yang berlandaskan keuntungan kebendaan, kewangan khususnya. Banyak universiti tertua dan terkemuka telah menarik diri sebagai bantahan. Maksudnya, matlamat muthakir pendidikan dalam menegakkan kebenaran dan membela maruah rakyat boleh dijual beli dan tercicir jauh. Ini jelas berlaku terutamanya dalam hal genosida Gaza tatkala universiti turut bersuara lantang mempertikaikannya.  

Dalam kemelut sedemikian, sudut pandang JE berwajah Malaysia sudah lama dirasai. Tetapi tidak dianggap penting, malah sebaliknya dirasakan mutlak untuk  meraih “keterlihatan global” mengikut lunas-lunas angka tertentu dan bukan “nilai” pendidikan yang berakar umbi pada sumber manusiawi. Maksudnya universiti dijadikan kilang “modal insan” yang tidak insani lagi. Sekali gus, matlamatnya tidak ubah ala JE, yakni apa yang boleh diperdagangkan untuk keuntungan jangka pendek atas terus di promosi dengan apa acara juga pun. Etika dan moral hanya mainan mulut sahaja. Oleh itu, Malaysia wajar berwaspada dengan versi JEnya tersendiri melalui senarai “sugar daddy unversity” yang pernah muncul tidak beberapa lama dahulu. Dan kini dilaporkan masih aktif dirantau ini mengikut laporan awal tahun lalu, berada di tempat ketiga di seluruh Asia! Adakah ini "keterlihatan global" yang boleh dibanggakan?

It always seems impossible until it is done          Nelson Mandela (1918-2013)