Log in
Berani dalam Benar: Perjuangan yang belum selesai!
Dzulkifli Abdul Razak
Berani dalam Benar: Perjuangan yang belum selesai! Dzulkfli Abdul Razak
Minggu ini dunia ilmu dan hikmah, terasa sepi dengan kehilangan seorang cendikiawan watan yang tiada tolok banding. Pemergiannya cukup terkesan pada dunia ilmu yang sedang terumbang-ambing dengan pelbagai jenis cabaran yang tidak diduga, tetapi sudah lama dibibir almarhum Prof DiRaja Tan Sri Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam kepastiannya membawa hujah-hujah berkaitan makna dan pengertian ilmu sebenarnya. Ada pepatah Afrika yang mengatakan apabila seseorang berilmu itu meninggal dunia, seolah-olah sebuah perpustakaan dijilat api. Yakni akan hilanglah sumber asal ilmu yang bernas dan melesetlah masyarakat dan dunia sekelilingnya.
Mengikut sebuah hadis (Bukhari): Sesungguhnya Allah SWT tidak menghapus ilmu pengetahuan dengan cara mengambil sekaligus daripada hamba-hamba-Nya. Tetapi Allah SWT menghapus ilmu pengetahuan itu dengan kematian ulama sehingga tiada lagi orang yang alim. Maksudnya lagi, apabila pemilik ilmu tersebut sudah tiada, manusia kemudian menjadikan orang-orang bodoh (jahil) untuk memutuskan hukum sesuatu dengan kebodohan mereka. Akhirnya mereka pun sesat dan menyesatkan orang lain (An-Nawawi).
Tambahan, menurut satu lagi sabda Rasulullah (SAW): Zaman saling berdekatan, ilmu dihilangkan, berbagai fitnah bermunculan, kebakhilan dilemparkan (ke dalam hati), dan pembunuhan semakin banyak (Muslim). Ini termasuk tanda kiamat yang sudah cukup dekat adalah diangkatnya ilmu dan kebodohan yang merajalela (Bukhari). Tidak keterlaluan jika ada yang merasai ini sudah mula berlaku hari demi hari ini di merata tempat dan pelusuk dunia, melihatkan gelagat para ilmuan serta pemimpin yang ada kini! Disini almarhum Syed Naquib sekali lagi menunjukkan keulungannya apabila menekankan tentang keperluan adab dalam menuntut ilmu agar meletakkan sesuatu itu tepat pada tempatnya untuk mengwujudkan makna sekali gus memberi kesan terbaik kepada kewujudan seadanya. Ketika adab hadir, manusia mampu membawa kemanusiaan keambang serba tinggi serta perkasa dalam satu peradaban tersendiri menghampiri kebenaran. Sebaliknya, tanpa adab, manusia tidak mampu membezakan mana yang ranting dari yang pokok, yang palsu dari yang benar, membawa kepada kemelut ilmu seperti yang dialami hari ini. Terlepas pula dari pegangan prinsip dan moral kemanusiaan itu sendiri. Ia lebih berbentuk kebendaan dan keduniaan semata-mata dirangsang tamak haloba, gila kuasa.
Bertolak dari pada ini, pada 1987, almarhum mendirikan Institut Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) sebagai tindakan kepada pegangannya mengasuh ilmu serentak beramal dengannya. Ilmu sejati dan amalan yang luhur tidak boleh dipisah-pisah dalam adab berilmu. ISTAC yang juga menempatkan ribuan jilid buku serta sumber yang unik hasil usaha kumpulan almarhum sendiri, merupakan tapak semaian adab bagi diri seseorang itu apabila mendakap ilmu dan amal sederap. Hatta, baginya ini menjurus kepada ta’dib yakni – “pengenalan terhadap realiti bahawa ilmu dan segala sesuatu yang ada terdiri daripada hierarki yang sesuatu dengan kategori dan tingkatannya, dan seseorang itu memiliki tempatnya masing-masing dalam kaitannya dengan realiti, kapasiti, potensi fizik, intelektual, dan spiritualnya” (SMNA). Lantas, kerangka pendidikan bukanlah suatu penghasilan sebilangan pakar, apatah lagi pekerja itu dan ini untuk “dipasarkan” (atau diberi ranking, seperti amalan terkini), tetapi lebih mengasuh dan membentuk manusia yang sempurna untuk menggarap pelbagai bidang ilmu pengetahuan secara bersepadu lagi menyeluruh.
Ia menekan pembangunan insan secara menyeluruh sekali gus bersama masyarakat sekitarnya untuk di”semai” dan “hidup”kan agar membuahkan manfaat untuk seluruh anggota masyarakat, kalau tidak pun kemanusiaan sejagat. Hanya melalui individu terasuh dan beradab seumpama ini akan terwujud masyarakat yang sedemikian rupanya. Semua bergantung kepada pengisian yang lebih mendalam, menyeluruh dan bersepadu, secara berterusan!
Maka ini membawa kepada cetusan peradaban yang bijaksana (hikmah), adil dan benar lagi berani beracuankan kerangka pendidikan beradab sebagai matlamat akhirnya. Dalam hal ini, pendidikan sedia ada amat jauh tersasar tatkala nilai kebijaksanaan, keadilan serta kebenaran, apa lagi keberanian, hampir tidak wujud sama sekali. Malah sebaliknya, kebodohan, kezaliman dan kepalsuan, serta kebaculan mewarnai pendidikan semasa yang tidak lagi mempunyai roh! Ini jelas dari apabila kerangka sedia ada sering bertukar-tukar, menjadi itu dan ini, mengikut selera masing-masing ekoran paksi nilai-nilai penjajahan tanpa ada matlamat jitu akibat kefahaman yang silih berganti atas desakan duniawi terjajah.
Namun, pada tahun 1993, almarhum dilantik penyandang Kursi Abu Hamid al-Ghazali untuk Pemikiran Islam di ISTAC, dan pada 2023, sempena Ulangtahun ke-40 Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, pihak universiti atas pekenan Ketua Perlembagaan Universiti,berdasarkan syor dari Senat ketika itu, mensyorkan anugerah Profesor DiRaja kepada almarhum di atas sumbangannya yang luarbiasa kepada ilmu seantero. Anugerah ini telah disempurnakan oleh SPB Yang di Pertuan Agong pada Oktober 2024 bagi menobat bakti yang gigih ini.
Dengan pemergian seorang insan yang telah banyak mencurah segala-gala kepada pembangunan ilmu, lebih-lebih lagi mengikut lunas beradab. Ia dikukuhkan lagi oleh nilai manusiawi jati sebagai makhluk yang mempunyai fitrah dan roh kurniaan Ilahi. Lantas sebuah medan perjuangan untuk menzahirkan intipati pendidikan beradab menjadi sasaran utama tatkala berhadapan tanggapan ia tidak lagi secocok dengan kehendak revolusi kebendaan yang mengukur setiap satu dengan angka sepertimana hasil mahsul laris dijual beli. Teknologi, inovasi, dan pasaran menjadi rentak utama bukannya kebijaksanaan, keadilan dan kebenaran tersimpul dalam keberanian untuk mengubah kearah kesejahteraan dan rahmatan lil alami untuk semua! Dengan kata lain, perjuangan yang diilhamkan oleh insan Syed Muhammad Naquib, masih belum selesai kerana kecuaian yang melekakan. Hatta wajar diamanahkan serta tanggungjawab mutlak oleh kita yang banyak terhutang budi kepadanya. Alfatihah, semoga Allah jua memberkati.