Log in
Berani dalam Benar - Merdeka ditelan Jerebu, Ogos 30
Dzulkifli Abdul Razak
Berani dalam Benar – Merdeka ditelan Jerebu!
Awal minggu nanti negara akan menyambut satu lagi Perayaan Hari Merdeka. Ogos 31 merupakan hari keramat sejak perisytiharan Merdeka pada tahun 1957, membebaskan negara dari cengkaman penjajahan apabila Great Britain ketika itu berkuasa sepenuhnya! Pembebasan yang dicetuskan anak-anak watan membawa satu lagi titik bersejarah yang tidak mudah dilupakan. Banyak pengorbanan berlaku khasnya kepada para guru dan cerdik pandai yang mengembalikan kedaulatan negara serta maruah bangsa. Ini membolehkan berbagai pembangunan menyusul, khasnya pembangunan insan yang terpelajar dan insaf akan masa hadapan ibu pertiwi agar agenda penjajahan segera disekat serta dipugar semula dalam menzahirkan makna “Merdeka” dengan yakin apabila dilaungkan setiap Ogos 31.

Selaras dengan itu, berbagai aktiviti yang menggambarkan betapa negara telah maju dikongsikan oleh berbagai sektor yang sekaligus memberi cita rasa “kebebasan” sebenarnya dalam mencorakkan identiti negara-bangsa tersendiri. Pada setiap tanggal Ogos 31, misalnya perbarisan khas menjadi tontonan rakyat jelata apabila mereka disajikan berbagai bentuk hiburan bersulam nilai-nilai patriotisme yang melibatkan ribuan penyertaan ramai di pelbagai peringkat. Bendera dikibarkan merata tempat seolah-olah menyatakan bahawa negara kepunyaan semua bak kata cogan “Bersekutu Bertambah Mutu” yang terpangpang pada jata negara! Tiada yang terbalik atau tersalah pasang. Maka ramai yang memperbaharui cita rasa satu bangsa, satu negara pada detik 12 malam dengan laungan Merdeka mewakili serba kelompok dan kumpulan yang berpusu-pusu ke Dataran Merdeka saban tahun!
Namun pada kali ini ada perbezaan ketara. Terdengar laporan yang Dataran tidak lagi sesuai katanya. Sebab: Jerebu dari jiran tetangga pada bulan Ogos akibat pembakaran hutan dan ladang tanaman sawit. Ini lazim setiap tahun, tetapi tidak pernah rasanya mengganggu sambutan Hari Merdeka yang dinanti-nantikan ramai khasnya di tempat rasmi seperti Dataran Merdeka pada tahun ini. Mengapa kali ini berlaku membuat rasa malang seolah-olah “Merdeka” tersentak dari pelukan kita. Bagaikan tiada “Merdeka” lagi. Walaupun ada kemungkinan ia diraikan didalam bangunan yang “kalis” jerebu, tetapi ia terkurung, terpencil, terhad – terkesan suatu kehilangan yang amat kecewa – tanpa bebas bersuara, bertindak, berkumpul sebagai hak asasi mereka yang benar-benar Merdeka. Apatah lagi mengikut laporan cuaca rasmi muthathir, antara beberapa kawasan yang menunjukkan tahap jerebu terburuk adalah Putrajaya dan Kuala Lumpur menjelang akhir bulan Ogos. Selainnya Johor, Melaka serta Negeri Sembilan, Selangor dan Sarawak tidak ketinggalan. Maksudnya banyak lagi gangguan perayaan Merdeka akan dirasai seluruh negara. Walau negara jiran tersebut menjanjikan jerebu akan susut, tetapi ia mengambil masa berminggu-minggu sekurang-kurangnya. Besar kemungkinan pada perayaan Hari Malaysia pertengahan September kelak keadaan masih belum menetap sepenuhnya.



Ada laporan bahawa Malaysia dengan jiran tersebut sedang berunding untuk mencari jalan keluar, termasuk cara-cara meredakan keadaan melalui pembenihan awan misalnya, namun ia tidak semudah itu dalam keadaan El Nino yang agak luar biasa kali ini. Kita boleh lihat sahaja di Eropah sebagai contoh apabila kebakaran luar biasa berlaku tidak semena-mena dan berlarutan sehingga menelan belanja berpuluh-puluh bilion, tetapi belum ada ketetapan menyakinkan. Ini kan pula yang sengaja membakar hutan secara langsung sebagai “amalan” tahunan menyalahi tabii kelestarian global mengikut kerangka Matlamat Pembangunan Lestari Agenda 2030. Soalnya apakah tidak ada rundingan lebih awal untuk menghalang perbuatan sia-sia tersebut berulang kembali tanpa mengambil tanggungjawab akan kesan ke seluruh alam sekitar, tidak terbatas kepada sempadan negara masing-masing. Apatah lagi kejiranan serumpun dikatakan akrab, tetapi keakraban ini tidak diterjemahkan kepada usaha-usaha mantap yang berkesan sekali gus. Malaysia selaku pengerusi ASEAN pernah menekankan perlunya tindakan kolektif ASEAN menangani jerebu merentas sempadan wilayah. Nampaknya tidak kesampaian dalam memanfaatkan Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (AATHP).




Maka, jerebu boleh diandaikan sebagai “rasuah” besar-besaran yang melanda kedua-dua negara berkenaan, kalau tidak serantau. Malah ada sumber-sumber yang mengaitkan bahawa rasuah berperanan nyata meracuni alam sekitar melalui “jerebu” yang tidak putus-putus berdekad-dekad lamanya. Sepertimana juga amalan “rasuah” yang tidak berkesudahan oleh kerana tatakelola yang lemah lagi canggung. Misalnya, pembakaran terbuka sempena peristiwa “hantu lapar” serentak berlaku di merata tempat menambah lagi keadaan berjerebu. Penguatkuasaan semacam terabai malah tidak disedari sama sekali. Dalam hal demikian, jerebu boleh menjadi lebih berbahaya kepada masyarakat umumnya, terutama sekali dari segi kesihatan. Ia berupaya membawa bahan-bahan terlalu halus (PM2.5) yang mampu menembusi sel-sel paru-paru dan juga saluran darah untuk menyebab berbagai gejala dan penyakit seperti batuk, sesak nafas, sakit tekak, mata pedih, dan peningkatan risiko penyakit jantung serta paru-paru. Kes lelah serta asma dan jangkitan saluran pernafasan juga meningkat dan turut ketara akibat jerebu tersebut. Oleh sebab itu aktiviti pendidikan sering tergendala apabila sekolah terpaksa ditutup untuk menghindarkan dari risiko jerebu. Begitu juga halnya bagi aktiviti-aktiviti sosio-ekonomi sehinggakan kadar produktiviti terus menurun. Pendek kata, jerebu pantas mencuri kemerdekaan secara langsung tatkala manusia tidak lagi bebas bertindak berbanding kemampuannya tanpa jerebu. Bayangkan gabungan jerebu, akibat langkah rasuah, sama ada secara langsung atau tidak! Rasuah berkaitan pengurusan alam sekitar boleh meningkatkan risiko berlakunya pembakaran haram dan kegagalan kawalan, serta merta memburukkan krisis jerebu kepada pendidikan, kesihatan, sosio-ekonomi lantas kesejahteraan masyarakat keseluruhannya. Dengan kata lain, jerebu boleh menghancurkan sesebuah negara Merdeka tatkala kebebasan individu, masyarakat dan dunia ditelan bulat-bulat seperti yang berlaku dewasa ini. Merdeka turut tergadai diselubungi jerebu kerana lalai menunaikan amanah besar untuk mempertahankan Merdeka ekoran politik licik yang tidak kurang jerebunya!
It always seems impossible until it is done Nelson Mandela (1918-2013)