Log in
Berani dalam Benar : Menyelusuri “Buddha-Madani” atau “Buddha-MADANI”? Dzulkifli Abdul Razak, Jun 1, 2026
Dzulkifli Abdul Razak
Berani dalam Benar: Menyelusuri “Buddha-Madani” atau “Buddha-MADANI”?
Sambutan Hari Wesak kali ini ada kejutan dan perbezaan kerana buat julung-julung kali di dahului Persidangan Prinsip Buddha-Madani sempena perayaan Hari Wesak peringkat kebangsaan 2026 mengikut laporan buletin Bernama. Ia anjuran Kementerian Perpaduan Negara dan Kementerian Pengangkutan, disamping sokongan peruntukan RM 2 juta dari kerajaan bagi peringkat akar umbi untuk program yang sama. Kira-kira 1,000 pertubuhan Buddha dikatakan terlibat bertujuan mengukuhkan hubungan antara berbagai kefahaman mengikut pihak penganjur. Umumnya, ini adalah satu tindakan yang wajar kerana mengeratkan kesefahaman antara pelbagai kelompok (termasuk politik yang asyik bercakaran) sangat-sangat dialu-alukan sekiranya langkah yang diambil diteliti sehalus-halusnya. Disini timbul beberapa persoalan.
Pertamanya, mengapa Kementerian Pengangkutan terlibat sebagai penganjur secara langsung? Adakah masalah khusus yang ingin diselesaikan melalui gabungan prinsip Buddha-Madani? Atau adakah pengikut Buddha lebih menghadapi isu-isu pengangkutan? Mungkin ada rasional lain yang memerlu pencerahan lebih rumit? Ini teka-teki pertama!
Kedua, mengapa persidangan Buddha-Madani? Semua sedia maklum bahawa “madani” adalah istilah Arab, bermaksud “tamadun” atau “peradaban” yang lebih mudah difahami dalam bahasa tempatan – Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia. Malah dalam bahasa Buddha, ada perkataan tersendiri. Mengikut seorang pakar bahasa, Sabbhat agak menepati berbanding lain. Apapun jika tujuan asasnya adalah untuk pengeratan atau pengukuhan seperti yang diuar-uarkan, istilah Buddha serta asal usulnya wajar diperkenalkan supaya konteks tidak tersasar oleh bahasa-bahasa lain yang sering mempunyai konteks tersendiri. Misalnya, dalam kefahaman Buddha kecemerlangan ditunjukkan oleh kitaran ‘karma’ positif melalui tingkah laku beretika, bermurah hati serta amalan ke arah perkembangan diri, berbeza dari kefahaman mengumpul harta, atau pangkat serta lagak tak serupa cakap! Lagi pun, tarikh menyambut Wesak berbeza-beza di berbagai tempat serta negara mengikut konteks masing-masing.
Ketiga, berkaitan konteks, fahaman Buddha sebagai suatu tamadun besar telah diperakui wujud sejak lebih dua ribu tahun lalu, merentasi seluruh Asia khasnya China, India, Jepun, Korea, Tibet, Nepal, Bhutan dan juga Asia Tenggara seterusnya, seperti negara Thai dan Myanmar. Maka pengaruhnya terhadap nilai budaya, seni tempatan, juga kerohanian, amat ketara secara umumnya dalam amalan hidup sederhana serta seimbang. Tambahan, bertimbang rasa dan berbelas kasihan sebagai dorongan pokok. Kaitannya dengan alam semula jadi amat erat kerana ia mengajak manusia menghormati alam semesta, dan tidak tertumpu dengan yang palsu dan kepura-puraan sehingga menyebabkan jiwa menjadi muflis seperti yang acap diperlihatkan sekarang di merata tempat dan jasad. Pun begitu, kini fahaman tersebut sudah mendapat banyak perhatian dunia barat dan kuncu-kuncunya akibat kerakusan kebendaan yang tidak berkesudahan. Pendek kata, prinsip Buddha jauh lebih halus dan bertamadun dari apa yang disangka! Istilah khas, Bodhisatta, bermaksud “kesedaran dalaman” (dari akar kata budh-) adalah satu-satunya matlamat akhir dalam amalan Buddha melalui kitaran karmanya seperti yang dialami oleh Buddha tatkala ia menolakkan ketamakan sejak usia mudanya lain. Sebaliknya berkorban untuk membina hidup yang cukup luhur bagaimana kata Dalai Lama: Kemarahan serta kebencian adalah tanda-tanda kelemahan, sedangkan belas kasihan adalah kekuatan. Dan lagi: Tanpa kasih sayang serta belas kasihan kemanusiaan tidak akan kekal. Inilah lautan ketamadunan Buddha yang wajar direnangi setiap saat dan waktu!
Maka, keempat, prinsip Buddha paling mengutamakan sifat-sifat serta nilai manusiawi tersemat dalam naluri budh- tersebut agar karma terus meningkat positif semasa menzahirkan ketamadunan. Tipu helah, maki hamun, dendam kesumat, berpura-pura dan sebagainya dilihat sebagai penghambat karma menjurus kepada nilai negatif, tercela, terhina tidak putus-putus menanggung seksa jiwa raga. Ia hanya boleh dinyahkan melalui amalan sepenuh jiwa raga. Kata Dalai Lama lagi: Perubahan sebenarnya berlaku dalaman.
Kelima, ekoran ini, Buddha mengajak dan mengajar amalan memusatkan pemikiran seolah-olah “bertakafur” untuk mencapai ketenteraman atau kesejahteraan diri yang seimbang secara berterusan. Mengikut Syaikh Hamza Yusuf, dalam ucapannya menyentuh tentang “Buddha dalam Al-Quran” menyamakan amalan ini dengan dzikir yang bertali arus. Juga kemungkinan ada bersamaan dengan pengalaman Nabi Khidzir atas beberapa sifat serta tingkah laku yang serupa, termasuk mendapat petunjuk “pencerahan” dalaman yang jitu dan mendalam. Mengikutnya lagi, Buddha ada meramalkan “kedatangan Nabi Muhammad (saw)” atas kesedaran dalaman yang dilaluinya. Apapun, hal-hal ini berkaitan dengan tamadun Buddha akan terus dibincangkan demi merapatkan lagi kefahaman mengatasi kerangka madani yang kadang-kala disempitkan sebagai singkatan enam huruf (rukun) – M.A.D.A.N.I sepertimana dalam sesawang Internet (https://malaysiamadani.gov.my) yakni Kemampanan, kesejAhteraan, Daya cipta, hormAt, keyakiNan, Ihsan). Keganjilan pilihan huruf dikatakan berpunca dari terjemahan singkatan asal Inggeris S.C.R.I.P.T (Sustainability, Care & Compassion, Respect, Innovation, Prosperity, Trust) yang cuba padankan susunannya.