Log in
Berani dalam Benar – Malaysia wajar waspada dengan muslihat Setan Besar. Dzulkifli Abdul Razak, Mei 6, 2026
Dzulkifli Abdul Razak
Pada April 19, ruangan ini menumpukkan kepada lima pola utama tentang kepemimpinan Setan Besar khususnya selepas “mengimpikan” dirinya seakan-akan “Jesus” dan membuat beberapa ancaman luar biasa terhadap musuhnyanya, Iran. Ini cukup bertentangan dengan sifat "Jesus" yang diutarakan oleh para pengikutnya. Malah, ada seorang profesor yang terkenal dari Universiti Columbia mengatakan, dalam satu temu bual, bahawa Setan Besar merupakan ketua negara yang “terbodoh” diseluruh dunia, serentak menunjukkan ketololannya melalui berbagai tindakan!
Nampaknya hal-hal ini tidak putus-putus diperhatikan akhir-akhir ini. Terkini ada yang mencatatkan beberapa sifat serta laku yang menampakkan keganjilan kurang mampu mengawal diri dalam mengeluarkan kata-kata kesat (termasuk lucah) kepada sesiapa sahaja yang tidak “menjilatnya.” Ini termasuk amalan kurang sabar, yang pokok kepada "Jesus," atau disiplin diri yang amat menonjol sebagai watak-watak utama khasnya selepas menjadi presiden pada kali keduanya. Semua seolah-olah t idak bersesuaian dengan impian membawa watak “Jesus” keseluruhannya. Misalnya, gaya mengurus secara melulu baik diperingkat antarabangsa sekalipun cukup mengaibkan. Ini diulang berkali-kali sehingga menjemukan kerana tidak mendatangkan apa-apa manfaat – cakap tak serupa bikin. Ini semakin ketara dari hari-hari awal menjadi presiden yang mengidamkan kedamaian serta membantu membangunkan ekonomi semua pihak. Masa itu, ada juga kejayaan yang diperolehi ramai. Namun, ini berubah sehingga lebih ramai tertekan olehnya. Egonya tidak lagi terkawal dan apa sahaja yang tidak dipersetujui akan diubah, ditutup, dibuang dan diolah semula mengikut seleranya belaka. Yang lain membisu seribu kata kerana Setan Besar tidak suka ditegur, apatah lagi diperkecilkan atau tidak dipuji-puji dikhalayak.
Terbesar antara ini adalah dalam melaksanakan peperangan mengejut ke atas Iran melebihi dua bulan lalu. Berbagai contoh jelas diperlihatkan. Bahkan yang lucu serta menjadi bahan ketawa dunia. Tindak-tanduk permulaannya sahaja amat jelas sehingga sampai hari ini. Bukan sahaja tidak telus, malah banyak yang tidak berkelangsungan sepenuhnya. Lantas, ada yang menganjurkan bahawa kesihatan mentalnya sudah mulai kusut kerana berbagai desakan emosi yang buntu untuk diselesaikan dengan terbuka. Masih beselindung didalam kepura-puraan yang membuat kedudukannya terus merudum, wataknya terus merosot di mata dunia. Terkini paling pedas adalah komen Canselor Jerman yang terus terang mengatakan Amerika Syarikat dipersenda Iran diperingkat global. Ini membuat Setan Besar bingkas dan menyindir akan Jerman “memperbaiki” negaranya sendiri terlebih dahulu. Kemudian terus mengancam untuk menarik balik bala tenteranya dari penempatan Jerman, juga Sepanyol dan Itali kerana kesemuanya agak lantang dan berani bersuara menyerang kata-kata Setan Besar. Perancis dan United Kingdom tidak terkecuali dalam hal yang sama. Boleh dikatakan banyak anggota NATO sekata dalam hal ini, menjadinya bahan cacian serta kutukan Setan Besar setiap kali ada peluang berbuat demikian dalam desakan menentang Iran. Terkini apabila NATO umumnya tidak sehaluan dengan Setan Besar untuk “merebut” kawalan ketat Iran ke atas Selat Hormuz!
Akhirnya, permainan tarif dikemukakan semula ke atas Eropah umumnya untuk “membalas dendam” – satu lagi tabiat yang sebati dengan ego kesyaitanannya. Maka hari demi hari, watak Setan Besar membayangkan kelemahan sebagai kononnya pemimpin terkuat dunia. Lebih umpama itik capek yang tiada langsung pengaruh atau maruah, tetapi tidak berhenti membuat bising seadanya. Satu contoh yang diuar-uarkan adalah kartun Warner Bros., Pinky and the Brain, tentang seekor tikus yang setiap malam membuat rancangan untuk menakluk dunia. Tetapi setiap kali gagal, terdampar dalam sangkar, merah padam menanggung marah tidak terhingga yang dihamburkan kepada orang lain. Inilah gelagat kepemimpinan Setan Besar serta kuncu-kuncu jilatannya, tanpa malu. Cukup menghinakan.
Mengikut suatu kajian, lebih banyak pemimpin dunia bebas kini jatuh dalam kancah pola seperti ini. Ia berkaitan dengan watak yang kusut masai tanpa sebarang fikiran mendalam, hanya sekadar mendapat populariti “sementara” mengatasi kemerosotan kedudukan mendadak. Misalnya, pasport terbaru Amerika Syarikat dikatakan akan meletakkan gambar Setan Besar yang dianjurkannya. Begitu kepingan wang negaranya, dan nama-nama tempat serta barangan dari masa ke masa. Semuanya menyimpulkan kepada sahsiah yang dangkal bagai seorang “penipu-pembohong-pendusta” (3P) dalam melincir egonya tanpa segan silu. Kadang-kala keluarga dan waris dikorbankan bersama, khususnya dalam pembongkaran fail Epstein yang sedang ditunggu-tunggu ramai. Natijah kepada semua ini boleh dirujuk kepada satu kata-kata seorang menyokong kuat Setan Besar yang berpaling tadak apabila mengelarkan bahawa pentadbirnya adalah “pentadbiran syaitan” dan meminta Kongres menamatkan kepemimpinan tersebut secepat mungkin. Dalam satu episod lain, seorang pelawak popular program televisyen Amerika Syarikat ada mengutarakan akan Setan Besar datang ke Malaysia sekiranya ingin mencari destinasi selamat! Mengapa Malaysia, tidak jelas; mungkin kerana kedatangannya ke negara ini pada 2025 meninggalkan banyak kenangan begitu manis, walaupun hanya untuk seketika ekoran layanan mesra yang tidak tertanding oleh negara-negara lain. Tunjuk perasaan secara aman terhadapnya pada ketika itu ditolak ke tepi sahaja oleh pihak berkenaan, misalnya. Apapun, ini bukan sesuatu yang dapat dibanggakan, tatkala Setan Besar di negaranya tersendiri tersepak kesana kemari oleh peratusan rakyat yang dicatatkan meningkat menjelang pilihan raya pertengahan penggal November ini. Malah kerisauan sebaliknya tatkala suasana demokrasi Amerika Syarikat mula dicemari berbagai tindakan songsang dan meyalahi undang-undang yang ada untuk berani bersuara dalam menyelamatkan negara serta warga sendiri. Semua ini wajar membuat Malaysia dan rakyat Malaysia lebih berwaspada supaya tidak terjerumus dengan Setan Besar oleh dakyahnya yang menyesatkan!