Log in
Berani dalam Benar - Maafkan kami
Dzulkifli Abdul Razak
Berani dalam Benar: Maafkan kami, selamat Kembali ke Pangkuan Ilahi!
Kita mungkin dapat bersetuju dengan Datuk Seri Mukhriz Mahathir bahawa kita sebagai sebuah negara rasa amat bertuah mempunyai “ibu” seumpama alllahyarhamah Tun Dr Hasmah Ali yang berusia 100 tahun apabila menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 930 pagi, . Bagi seorang berusia 62 tahun masih mempunyai ibu kandung sejak beberapa hari yang lalu sudah tentu dicemburui ramai yang tidak seuntung itu. Ramai telah kehilangan itu, lebih awal lagi, dan faham betapa “ruginya” jika semasa hidupnya ibu menjadi sekadar “hiasan” hidup dan tidak merupakan “tumpuan” dalam perlumbaan dengan “tumpuan-tumpuhan” lain yang mungkin menyepikan ibu berbatu-batu jauhnya. Macam-macam kita terdengar kini hari betapa ibu disakiti, dikhianati, malah “dibunuh” tanpa disedari dengan beberapa cara yang kejam dan hina! Tidak semestinya dengan tangan, memadai dengan mata dan lidah semata. Ramai terlupa bahawa syurga terletak dibawah telapak kaki ibu. Astaghfirullah!
Dalam hal ini, usia satu abad bonda Dr Hasmah, menyedarkan kita betapa ibu “paling berharga,” tiada bandingan. Ramai dapat menumpang kasih dari insan istimewa ini bagi ribuan yang lebih tua dari Mukhriz. Bukan sahaja selaku isteri Perdana Menteri buat kedua kalinya, juga yang paling lama berkhidmat serta berbakti dalam berbagai lapangan selaku ahli perubatan wanita terulung dari anak bangsa, sehinggalah menjadi penyokong kuat sukan terutamanya badminton semasa pencapaian tahap tertinggi di peringkat dunia pada 1992. Banyak lagi termasuk ahli bidang sosial, termasuk salah guna dadah; pendidikan, kewanitaan, kekeluargaan dan sukarelawan untuk rakyat mengadu nasib apa sahaja. Pantas bertindak sendiri kalau tidak pun terlepas bisikan kepada telinga orang nombor satu negara! Masyaallah!
Kini masing-masing turut kehilangan punca, meraba-raba kerana tidak akan ada lagi insan setandingnya dalam masa terdekat ini. Mungkin buat selama-lamanya. Ramai yang akan meratap melihatkan keadaan semasa yang ngeri menyelubungi usia berbaki yang ada yang tidak membawa erti! Daripada perbualan ramai, keprihatinannya terhadap masyarakat umum masih tidak lekang di bibir dan hatinya, bukan kerana ingin meraih kuasa dan nama, tetapi kerana seratus tahun usia sudah menyebatikannya dengan derita mereka yang terseksa sejak belum Merdeka lagi. Derita itu masih belum lagi reda sehabisnya, malah terus meronta-ronta tanpa bicara. Ibu mana yang tidak tersentuh sedemikian rupa, serentak jiwa luhur dan murni dalam satu amanah yang tersimpul kuat untuk memperjuangkan segala sengketa setelah begitu lama.
Mengikut berita tersebar luas, semasa di penghujung hayatnya, bonda bagaikan sudah bersedia kembali kepada pangkuan Penciptanya dengan ungkapan kata penuh insaf lagi menyedarkan sesiapa sahaja yang mendengarinya. Nadanya riang, ikhlasnya terserlah, lakunya mesra, senyumnya masih segar walaupun dalam suasana kesihatan yang tidak selesa. Sejurus kemudian ditakdirkan jantungnya memberi isyarat masa sudah menghampiri dan kepakaran manusia tidak lagi berguna. Tuhan lebih Maha Mengetahui dan Menyayangi kepada mereka yang jernih hatinya! Lalu keluarganya, merendah diri, meminta maaf bagi pihak yang mendahului dalam apa jua hal yang tersisih di muka bumi fana ini. Bagi rakyat Malaysia yang terkejut, rasa sedih menyelubungi semua, suasana menjadi suram lagi muram, menatap wajah bonda Hasmah buat kali terakhirnya. Subhanallah!

Kepada yang masih tinggal bernyawa, sempatkah kita pula minta maaf darinya, sebagai waris manusia seadanya. Apatah lagi, bicara terakhir sebagai seorang “anak” kepada “ibu,” “adik” kepada “kakak,” dan apa sahaja hubungan siratulrahimnya. Sudah tentu masing-masing ada kenangan pahit manisnya! Ada pula suka duka. Apa lagi yang berdosa yang Tuhan tidak akan memaafkan selagi yang empunya diri tidak berminat berbuat demikian, apatah lagi bagi penderhaka yang angkuh, tidak melangkah ke hadapan menyusun jari sepuluh untuk meminta ampun dan maaf yang hanya sendiri rasai membawa padah durjana! Khasnya dalam dunia politik yang tidak mengenal jasa dan pekerti, yang tidak bersopan santun bersikap ngeri, yang tidak beradab berbudi, yang tidak saling menghormati, yang tidak mengenang jasa, yang tidak memantul cahaya bahagia, yang lantang mengeji tanpa henti, berdusta hari demi hari, yang cakap tak serupa bikin sesuka hati. Darab ini kepada yang berusia 100 tahun, dipersia-siakan dengan bodoh sombong, tomah serta keaiban itu dan ini, masih tidak terbukti! Entah untuk berapa lagi; namun, kini jendela kemaafan sudah tertutup rapi, Tuhan sudah membuat “keputusan” selepas cukup masa ditawarkan untuk menyedarkan kepada mereka yang enggan sedar! Maka bersedia sahajalah dengan “keputusanNya” mengatasi segala kekuasaan manusia yang diimpikan. Bersedia sahajalah dengan “Keadilan” dan “Amanah” yang tidak boleh dijual beli! Bersedia sahajalah akan “mati” sebelum “Mati”! Tiada masa berpura-pura lagi!
Hatta, pemergian kali ini membawa erti untuk mengingati diri, untuk membersihkan hati, untuk hidup serba murni. Pemergian kali ini untuk diinsafi bagi pertiwi yang sudah lama kemponankan masyarakat yang suci jiwa abadi. Umpama lagu balada “Seribu Tahun” nyanyian Imran Ajmain (2007), dua dekad lalu: Rela ku mengejarmu seribu batu jauh lagi / Tapi benarkah kakiku 'kan tahan sepanjang jalan ini? / Biar membisu burung bersiulan / Tenanglah gelombang lautan / Ku masih setia.
Buat bonda Hasmah: Maafkan kami, selamat kembali ke Pangkuan Ilahi yang Memberkati, Alfatihah!
