Log in
Berani dalam Benar - KWAP, bukannya tindakan sembarangan!
Dzulkifli Abdul Razak
Menteri Pemangku Hal Ehwal Islam Singapura, Muhammad Faishal Ibrahim, yang meletakkan jawatannya baharu-baharu ini, mengejutkan berbagai pihak. Sumber dari Perdana Menteri Singapura menyatakan hal itu berkait dengan seorang wanita secara peribadi, didakwa diketahui kira-kira sebulan lalu selepas Pejabat Perdana Menteri menerima emel daripada seorang wanita yang membuat aduan berkaitan hubungannya dengan Menteri tersebut.
"Kebanyakan perhubungan mereka berlaku melalui mesej dalam talian. Mereka juga bertemu ketika menghadiri acara awam," katanya dalam satu kenyataan.
Menteri terlibat telah menjadi Ahli Parlimen sejak 2006 dan dilantik sebagai Menteri Pemangku Hal Ehwal Islam pada 2025. Beliau turut meletakkan jawatan sebagai anggota Parti Tindakan Rakyat (PAP), parti pemerintah Singapura, memberi gambaran tidak mahu mengheret imej dalam kancah negatif. Dalam surat perletakan jawatan yang disiarkan Pejabat Perdana Menteri, beliau dilaporkan “mengakui berlaku kelemahan dalam pertimbangannya ketika mengendalikan hubungan berkenaan,” walaupun tanpa apa-apa hubungan fisikal, mengikutnya. Namun cara beliau mengendalikan hubungan itu, di dalam pertimbangannya “terdapat kelemahan” serta terdapat “kegagalan menetapkan batasan lebih jelas pada peringkat awal," menurutnya. Khasnya, tindakan yang diambil dikatakan menepati piawaian yang diharapkan daripada seorang pemegang jawatan politik dan Ahli Parlimen Singapura, apa lagi “hasil siasatan mendapati tiada kesalahan jenayah dilakukan oleh mana-mana pihak dan tiada tindakan pendakwaan akan diambil.” Maka perletakan jawatan tersebut dianggap sebagai atas alasan peribadi tanpa ada kaitan dengan pihak lain. Seraya memohon maaf sedalam-dalamnya kepada para penduduk dan penyokongnya selepas meletak jawatan daripada semua jawatan politik.
"Saya amat sesal kerana telah mengecewakan para penduduk dan penyokong saya, yang telah memberikan kepercayaan kepada saya," katanya dalam satu catatan di Facebook. "Saya tahu berita ini akan mengejutkan ramai. Saya harap anda dapat memahami keputusan saya untuk tidak mengulas lebih lanjut demi menghormati privasi keluarga saya." Beliau terus mengucapkan terima kasih kepada para penduduk atas sokongan mereka selama ini, sambil menyifatkan peluang untuk berkhidmat dan bersama-sama mereka sebagai satu penghormatan. "Kemesraan, persahabatan dan sokongan anda amat bermakna bagi saya, lebih daripada yang dapat saya ungkapkan," katanya.
Nampaknya isu ini berakhir dengan cukup pantas dan agak cekap serta bersih dalam mendapat penyelesaian keseluruhan. Tiada video diviralkan dalam media soal, tidak ada ugutan itu dan ini, tidak ada pihak yang mencabar kesahihan fakta! Siasatan yang dijalankan untuk menentukan tiada kesalahan jenayah sekali gus tidak pengundang pendakwaan. Bukan teragak-agak membangkitkan rasa bimbang dan ragu berbagai pihak khusus dari khalayak kerana tidak telus atau jujur. Tidak perlu berhimpun berteriak “turun si-anu, turun” – itu pun umpama tidak berkesan sahaja. Terus membuta tuli atas permintaan ramai!
Cara Perdana Menteri Singapura dan Pejabatnya menangani isu yang agak sensitif seperti ini turut meyakinkan. Begitu tuntasan lagi terbuka! Memberi satu kesungguhan bahawa yang “salah itu tetap salah” dan tindakan susulan mengikut tatakelola yang betul, tidak kacau bilau. Noktah. Perdana Menteri mengambil peranan terus, cakap serupa bikin! Tidak ada helah atau menuding jari ke situ sini!
Bagi yang terbabit pula, terus mengakui “lemahan” sendiri tanpa dipaksa atau dimomokkan oleh hantu-hantu media sosial untuk mengusutkan lagi kemelut. Malahan menganggap beberapa “kegagalan” untuk benteng diri memelihara amanah sebagai seorang bertanggungjawab untuk kebajikan semua yang diberi kepercayaan – apatah lagi dalam urusan agama teramai! Tidak pula cuba menyalahkan sesiapa, khasnya wanita yang terlibat yang biasanya dimangsakan oleh mereka yang berkuasa! Sebaliknya ia memohon maaf, serta kecewa dan mengambil tanggungjawab atas alasan peribadi. Jika itu tidak cukup, merakam ucapan terima kasih dan penghormatan berkhidmat bersama-sama. Sambil mengekalkan "kemesraan, persahabatan dan sokongan anda amat bermakna bagi saya, lebih daripada yang dapat saya ungkapkan," katanya. Tidak maki hamun, mengenakan siasatan perlu atau tidak untuk menunjukkan kuasa! Jelas, budi bicara yang ditunjukkan bukan sembarangan bagi ahli sembangan juga!
Kata-kata seperti ini jarang bahkan tidak langsung terdengar dari kumpulan politikus yang hanya mampu mendabik dada dengan angkuh dalam menegakkan benang yang basah. Mencari-cari salah siapa sahaja, apa sahaja, malahan bersedia “membuat alasan palsu” asalkan dapat menyelamat diri sendiri serta suku-sakatnya. Dadah, senjata api, video lucah, fitnah membuka aib segala macam turut menjadi “juru cakap” mereka tanpa rasa malu. Biarpun berbohong terang-terangan melibat mahkamah serta institusi terpelajar sekalipun. Sebutan seperti DNAA, NFA, REFORMBASI dan REFORMATI menjadi pelali dalam menuntut kebenaran dan keterbukaan. Jangan katalah, keadilan dan amanah kononnya.
Terbaharu, umum memerhatikan skandal pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) berjumlah RM200 juta. Ramai t termasuk Ahli Parlimen Pasir Gudang PKR YB Hassan Karim, telah pun mendesak perletakkan jawatan mereka yang libat, serta-merta. Akibat dari terperdaya oleh sebuah syarikat perintis berpangkalan di Indonesia, dikenali sebagai eFishery. Pengasasnya sudahpun didapati bersalah dan dihukum. Menurut Hassan lagi, “lembaga pengarah, panel pelaburan, dan pengurusan tertinggi KWAP telah melakukan kecuaian besar dalam kawalan serta tadbir urus sehingga menyebabkan kerugian dana yang amat signifikan.” KWAP berada di bawah tanggungjawab Kementerian Kewangan.
“Maka, saya sebagai seorang ahli Parlimen penyokong Kerajaan MADANI di Dewan Rakyat menyeru kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya membuat contoh teladan yang baik dan bertanggungjawab mengambil keputusan yang berani dengan meletakkan jawatan sebagai Menteri Kewangan Malaysia dalam kadar yang segera,” kata Hassan dalam kenyataan baharu-baharu. Skandal kecuaian membabitkan institusi yang diamanahkan untuk menjaga kebajikan penjawat awam itu adalah satu kesalahan berat yang tidak boleh dipandang ringan sama sekali, tegas beliau. Apatah lagi, mengikutnya, KWAP sebelum ini pernah diperdaya dalam skandal penyelewengan SRC International membabitkan dana berbilion ringgit, yang akhirnya mengheret bekas Perdana Menteri ke penjara. Dengan kata lain, adakah Malaysia akan melihat kebijakan serta budi bicara setara, bercakap serupa bikin. Kita tunggu dan lihat. Berani dalam benar?