Log in
Berani dalam Benar: Kegusaran bakal menjelma menimpa semua
Dzulkifli Abdul Razak
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
Ramai masih teringat betapa berlaku kemelut dalam merebut jawatan kedua tertinggi daripada penyandangnya dewasa itu. Agak meloyakan! Ekoran itu, tercetus berbagai pecah-belah serta buruk sangka yang tidak dapat dielakkan, sehingga ramai bakat-bakat cemerlang tersisih tidak semena-mena. Oleh itu, ada yang merasakan keputusan meletak jawatan agak tergesa-gesa sehingga rebakan kesan buruk tersentuh banyak pihak yang mengharapkan perlantikan dalam jawatan kedua tertinggi membawa kecemerlangan melalui reformasi tersendiri. Namun ia tidak sedemikian berdasarkan langkah-langkah yang menyusul. Terkini meletakkan jawatan pula! Apatah lagi memandangkan keakraban hubungan anak-bapa yang dikira boleh meraih kejayaan luar biasa. Oleh kerana ini tidak akan berlaku ia membuat tekanan perletakkan jawatan tersebut terdampar kepada kehampaan dalam melaksanakan janji-janji kepada para penyokong, malah rakyat jelata yang merintih, menunggu durian tidak runtuh. Sekali gus bermakna wujud kegusaran akan siapa bakal mengganti tanpa proses pemilihan telus? Adakah ini satu lagi tindakan licik yang memperdayakan? Dengan kata lain, kemelut yang berlaku akan berterusan mengatasi apa-apa kebaikan positif yang difikirkan.
Kemungkinan perkara ini berlaku ternyata dari bukti-bukti apabila lebih ramai para politikus tempatan kini mendapat ijazah tinggi berbanding angkatan terdahulu. Malah tidak kurang juga para Menteri memegang ijazah PhD. Antaranya seorang apabila menjadi Menteri, melantik pembimbing kajian PhD sebagai ketua di Kementerian, menunjukkan betapa akrabnya pertalian dalam mendapat ijazah masing-masing. Apa pun, hasil keseluruhannya, tidak menunjukkan “perkembangan” politik yang sihat, atau lonjakan ketara di peringkat negara. Lebih tepat, sebaliknya. Menjunam ke paras memalukan berbanding sebelum ini, walaupun mereka tidak berijazah (apatah lagi ijazah tambahan) ketika itu, tetapi mempunyai tekad serta pegangan maruah yang membanggakan. Berjiwa luhur membela nasib rakyat tanpa berbelah bagi. Berani bersuara dengan lantang mengharungi kewajipan bersungguh-sungguh sebagai pengorbanan kental. Menjaga etika dengan rapi terutama nilai budaya, pandai berbudi serta tidak bertolak-ansur dalam soal prinsip, etika bermoral tinggi. Tidak gilakan kuasa, mabuk harta! Malang ini mula lenyap apabila lebih ramai perasuah tergolong dari mereka yang terpelajar dan berpendidikan tinggi. Juga berpengaruh. Yang bersalah diberi kelonggaran dan pengampunan. Atau di diam-diamkan sahaja. Tidak cukup itu, dipilih memegang jawatan tinggi dalam mengurus hal-ehwal negara – bersandarkan slogan tatakelola terpuji, kononnya! Mungkin agaknya kerana ada ijazah tertinggi sebagai penutup segala kelemahan dan keaiban.
Ringkasnya, ijazah tertinggi bukannya jaminan patuh prinsip, etika, apa lagi moral luhur menabur berbudi! Maka langkah meletakkan jawatan tidak semesti yang paling baik. Seperti yang telah dijangka, faktor masa dan langkah yang agak tergesa-gesa menampakkan bahawa ada sesuatu yang tidak kena. Tidak telus, tidak ada musabab jelas mengapa ia perlu dilakukan sekarang tatkala urusan dan pengurusan negara menjadi perbualan rakyat hampir setiap hari! Khusus di kalangan yang tidak mampu, dan tidak juga berupaya. Rumusan terakhir membabit soal kepemimpinan!
Contoh terbaik dalam hal ini adalah Amerika Syarikat yang turut terpalit apabila Presidennya dikatakan paling “rakus” dalam sejarah negara itu. Didakawa paling memecah belah, merentas masyarakat! Mengikut pungutan suara antara 154 para sejarawan presiden dua tahun lalu meletakkan ia di tempat tercorot yang mengambil kira aspek-aspek pengurusan ekonomi, pegangan moral serta pentadbiran berhemat.
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
Berbagai ugutan membuta tuli menggunakan kata-kata kesat dan lucah dilontar bagi menundukkan pihak lawan! Tidak kurang keegoan dan cakap-cakap besar yang tidak kelangsungan – cakap tak serupa bikin, penuh dengan pusingan-U pada penghujungnya! Ramai yang mengejek sebagai “pengecut.” Bukti terkini adalah peristiwa mutakhir yang amat memalukan apabila Presiden negara terkuat dan berkuasa dilaporkan terpaksa “menghilangkan diri” selepas perjumpaan NATO dengan pesawat tentera (bukan pesawat rasminya). DikKatakan kerana “ketakutan” diserang musuh ekoran pembunuhan mengejut Ketua Negara Iran melalui letupan bom di kediamannya pada pagi Februari 28 itu. Berapa orang lagi dari ahli keluarga serta rakan seperjuangannya turut terbunuh dengan kejam.
Justeru, Iran menuntut balas ke atas orang yang sejawatan dengan almarhum yang telah pergi. Hatta, tidak hairanlah kemelutnya semakin teruk sehingga ada yang meletakkan jawatan kerana tidak dapat menerima cara berurusan yang longgar tanpa berhati perut tanpa tata kelola yang diuar-uarkan! Pokok pangkal akhirnya, berkaitan dengan kepemimpinan yang bercelaru dan “ketakutan” atas tindak-tanduknya sendiri yang tidak lagi menyakinkan para penyokong. Ramai yang memilih meletak jawatan secara sukarela.

Apa pun menjelang bulan November ini satu pilihan pertengahan penggal akan menentukan keadaan sebenar oleh mereka yang telah lama bosan dengan kejengkelan yang buat-buat melanda nasib dan masyarakat mereka! Mungkinkah Malaysia juga akan berakhir sedemikian rupa tatkala beberapa lagi PRN yang akan menjelma? Satu lagi kegusaran bakal menimpa semua!
It always seems impossible until it is done Nelson Mandela (1918-2013)









