Log in
Berani dalam Benar. Hari ini tiada politik
Dzulkifli Abdul Razak
06 September 2026
Menjelang Sambutan Perayaan Merdeka tempuh hari, seorang politikus muda diberitakan menarik diri dari partinya selepas 14 tahun bersama, termasuklah menjadi Timbalan Menteri yang berwibawa untuk sepenggal. Tindakan serta merta ini tidak dijangka. Tidak juga diketahui mengapa. Hal yang seakan-akan sama pernah berlaku pada parti tersebut 20 tahun lalu, apabila seorang anggota utamanya mengundur diri. Kini menjadi seorang sukarelawan tersohor tanpa celarut politik. Malah terus dipercayai dan dihargai. Adakah ini satu lagi kes yang serupa? Namun apabila ditanya oleh para media kepada pegawai utama parti berkenaan, jawapan yang diberi amat menyenangkan. “Hari ini tiada politik” – merujuk kepada Ogos 31, katanya! Lain kali sahaja, ujarnya. Cukup mententeramkan, cukup matang, cukup Merdeka! Ia tidak terikat dengan cara-cara lama, lebih teruk lagi mengikut telunjuk atau SOP (Peraturan Piawaian Pelaksanaan) tersedia, mahu atau tidak mahu.
Pun begitu, sebaliknya terjadi apabila seorang penjawat awam yang bertanggungjawab ditanya sama ada para mantan Perdana Menteri dijemput secara rasmi untuk turut serta Perayaan Merdeka? Dilaporkan jawapan yang beri tertumpu kepada satu peraturan bertulis! Ini tidak menjawab soalan dengan tepat! Jika ia soal ujian, jawapan ini tidak mendapat markah! Apatah lagi ditambah pula dengan maklumat bahawa seorang Perdana Menteri dikatakan mendapat kebenaran keluar negara! Jadi tidak berada dalam negara untuk dijemput. Maklumat itu mungkin betul, tetapi lagi sekali tidak menjawab soal tentang dijemput atau tidak! Tidak ada markah juga. Dengan lain kata, soalan yang agak jelas tidak difahami dengan betul!
Sudah tentu ia tidak mententeramkan, atau matang, apa lagi Merdeka! Baginya Merdeka atau tidak, bukan hal. “Saya yang menurut perintah!” adalah lebih penting. Walaupun dikatakan sudah sedikit berubah: “Saya yang menurut amanah!” – nampaknya “amanah”nya adalah untuk “menurut perintah!” Tidak ada kaitan dengan apa yang dirasai sendiri termasuklah acuan: “Hari ini tiada politik” – merujuk kepada Ogos 31. Inilah yang amat menyedihkan kerana bukan sangat ia melibatkan mana-mana Perdana Menteri tertentu, tetapi sikap yang agak melulu bagi seorang memegang jawatan tinggi tidak tersentuh dengan hal perikemanusiaan. Pertamanya, menghormati orang yang lebih tua seperti mana kita sering diajar untuk menghormati mereka yang berpangkat abang/kakak keatas sampailah datuk/nenek dan lain-lain. Kalau tidak kita dianggap “kurang ajar” atau “tidak beradab” yang dirasai sudah pun mula menyelinap masuk ke dalam masyarakat semasa tanpa disedari akibat tularnya teknologi tinggi. Ada juga pihak menganggap ini sebagai satu bentuk penderhakaan.
Kedua, menyentuh soal khidmat serta jasa budi kepada negara dan rakyat secara berkesan, kadang-kala bertahun-tahun lamanya. Mungkin tidak semua setuju, namun ramai diantara yang masih hidup merasakan tempias dari usaha murni ini, sengaja atau tidak. Ada yang mendapat kerusi empuk yang tidak langsung terbayang dalam benak masing-masing! Bagaikan mimpi mengejut sehingga terus bersikap bak “Kaduk naik junjung,” kalau tidakpun “Melepaskan anjing tersepit!” Tidak pandai membalas budi, tidak berhati perut. Jauh lebih buruk dari “Habis madu, sepah dibuang.”
Ketiga, soal usia yang luar biasa, bukan sahaja jangkauan umur tetapi dihadam dengan pengorbanan dan kebijaksanaan. Apa kata, kalau berusia melampaui 100 tahun, dan berkerusi roda pula. Sudah tentu terasa belas untuk membuat sesuatu sebagai insan beramanah. Maksudnya ada ruang mengangkat sejajar nilai budaya tanpa terbelenggu oleh sikap dan amalan angkuh terhadap adab warisan semulajadi masyarakat manusiawi. Apa yang amat merungsingkan adalah cetusan berdendam seumur hidup yang menidakkan kesucian manusia itu sendiri. Khususnya dalam politik sempit. Maka terbongkarlah segala macam keaiban, betul atau tidak, sedangkan yang ikhlas tidak diakui sama sekali, seolah-olah wujudnya talam dua muka mencelarukan lagi politik dan hubungan sesama manusia. Pemimpin dan rakyat. Bergantung pula siapa yang terlibat, dibolehkan belaka, walaupun buktinya kurang jelas. Kepada yang lain, sebaliknya. Bukti dicipta bagi menzalimi individu untuk melepaskan dendam.
Lantas, tidak hairanlah, ramai tercengang melihatkan bibit-bibit sedimikian timbul terkesan dalam suasana politik di Amerika Syarikat (AS) misalnya. Presidennya merasakan dirinyalah yang terbaik antara puluhan presiden sewaktu meraikan ulangtahun kemerdekaan 250 AS (America250) baharu-baharu ini. Sedangkan soal selidik bebas menafikan sama sekali, malah ada bukti yang Presiden AS kini adalah paling buruk bagi AS, kalau pun tidak diseluruh dunia! Pun begitu, mantan-mantan sejawatnya tidak diketepikan bulat-bulat. Mereka diupayakan bersama-sama meraikan ulangtahun AS untuk mengurang berbagai perbalahan yang telah dan sedang berlaku dengan hebatnya. Contoh: mantan Presiden Obama dan Bush berserta isteri mereka berpeluang menyumbang sebagai pengerusi bersama America250 yang diwujudkan khas. Umumnya, ada rasa tanggungjawab untuk mengatasi dendam kesumat politik yang menular. Berbeza dengan Malaysia, kematangan berfikir memainkan peranan besar. Meletakkan Merdeka di tempat sewajarnya tanpa dinodai. Ini belum lagi mengambil kira kegilaan kuasa sang Presiden yang kemaruk nama dan status apa sahaja. Terkini ingin nama Selat Hormuz diganti dengan namanya, menjadi bahan ketawa, selain dari nama-nama bangunan presiden terdahulu yang terkenal yang ditukar ganti dengan menyelitkan namanya, dan berbagai lagi langkah sumbang gubahannya.
Semua ini dikatakan menderhakai semangat kemerdekaan tulen sesebuah negara apabila mengubah sejarah demi mengembar-gemburkan ego individu tertentu, tanpa sedikit pun berasa malu, apa lagi bersalah. Mudah-mudahan negara kita terselamat dari kepemimpinan yang sedemikian rupa. Cukuplah sekadar berpeluang berjoget sejenak tahun lalu. Jangan pula terikut-ikut dengan kedangkalan gelagatnya. Kebetulan Hari Malaysia akan muncul tiba dan Sarawak menjadi tuan rumahnya. Malangnya, persekitaran yang disasarkan direndung kepolan jerebu tebal yang dijangka menjadi bertambah teruk berbanding Hari Merdeka! Ini ini bukan satu kebetulan, lebih bagaikan satu peringatan yang tidak menyenangkan. Tambahan pengumuman darurat telah pun diluluskan di sebuah kawasan di Sarawak. Tuntas, ia memerlukan tindakan matang yang dapat mententeramkan untuk digarap melebihi perayaan Hari Merdeka. Teratas, diharapkan soal jemputan yang bangkitkan terhurai pada kali ini. Kerana "Hari ini tiada politik" merujuk kepada tanggal September 16. Selamat negara tercinta, Malaysia!
It always seems impossible until it is done Nelson Mandela (1918-2013)