Log in
Berani dalam Benar: Cetusan UITM - Menangani teknologi tanpa roh!
Dzulkifli Abdul Razak
Minggu lalu UiTM menggorak langkah berani untuk melihat jauh ke hadapan melalui Persidangan Antarabangsa tentang Pembelajaran dan Pengajaran Universiti (InCULT) 2026 bertemakan Kecemerlangan Pedagogi dalam Jangka Usia Kecerdasan Buatan dan Pembelajaran Digital. Kita berpeluang mendengar daripada para pembentang akan pendapat serta pengalamanan mereka berkaitan tema InCULT. Khasnya dalam mengendali kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran digital, dua istilah yang agak baharu, apa lagi dalam dunia ilmu dan pendidikan. Kita pernah mendengar dan berbicara tentang sejenis kecerdasan, IQ, dan kemudian pada tahun 1983, kecerdasan pelbagai atau majmuk diperkenalkan Howard Gardener, lebih 40 tahun lalu, dalam buku berjudul Frames of Mind: The Theory in Practice (Kerangka-kerangka Minda: Teori dalam Amalan). Beliau pada mulanya mencerahkan tujuh jenis kecerdasan yang penting untuk pembangunan manusia pada

keseluruhannya. Semuanya berkaitan dengan sifat manusiawi secara semulajadi, bergantung kepada definisi kepada kerangka “potensi biopsikologi untuk memproses maklumat yang boleh diaktifkan dalam suasana budaya untuk menyelesaikan masalah atau mencipta produk/hasilan yang bernilai dalam sesuatu budaya.” Istilah “biopsikologi” dan “budaya” meletakkan sentuhan setiap satu kecerdasan itu dalam kerangka manusiawi secara hakiki, walaupun berbeza dari satu budaya dengan yang lain. Umpamanya, bahasa (linguistic), ruang (spatial), muzik (music), mantik-hisab (logical‑mathematical), jasad-pergerakan (bodily‑kinesthetic), antara personal (interpersonal), dan hubungan kendiri (intrapersonal). Sekaligus membuat pendidikan berhubungkait, menyeluruh serta bersepadu mengikut hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK, 1996), khasnya dalam memahami masalah untuk diselesaikan mahupun berinovasi mencipta produk/hasilan yang bernilai kepada budaya tersebut. Maksudnya menerima bahawa setiap manusia itu unik dan tersendiri cara pembelajaran mengikut potensi masing-masing. Begitu juga cara penilaian yang tidak tertumpu kepada angka atau huruf yang seragam bagi semua budaya mahupun individu tertentu dari aspek biopsikologinya, berbeza dengan kefahaman IQ. Yakni, ukuran kecerdasan yang diseragamkan tidak memberi apa-apa makna yang mantap untuk dijadikan penilaian kecerdasan pelbagai lagi majmuk.

Albert Einstein ada membuat perumpamaan tentang kecerdasan untuk memanjat pokok, misalnya, yang lebih sesuai secara sejati kepada “kera” dan beruk umumnya, berbanding “ikan” atau haiwan laut atau sungai. Sebaliknya, bagi kecerdasan berenang yang lebih sejati kepada haiwan air. Jadi membandingkan antara dua kelompok ini tidak munasabah sama sekali, lebih-lebih lagi mentafsir sesuatu itu lebih baik/bijak/bodoh dengan yang lain. Begitu juga bagi manusia yang mempunyai pembentukan biopsikologinya yang tidak sama umpama cap jari tersendiri. Apatah lagi dicorak

atau diasuh oleh budaya masing-masing. Misalnya budaya makan dengan tangan tidak serupa dengan menggunakan sudu dan garfu, atau penyepit kayu, buluh, besi dan sebagai. Hatta, makan dengan tangan budaya Melayu dengan India sekali pun.
Apatah lagi, makan melalui mesin, umpama diberi melalui alat perubatan seperti suntikan, menggunakan alat-alatan khas melangkaui sifat biologinya, menggunakan saluran plastik tertentu atau beg bekalan makan secara automatik. Sekaligus meletakkan ia dalam kumpulan kecerdasan buatan berasas komputer atau robot mahupun teknologi lebih canggih pada masa akan datang yang tidak bersifat manusiawi sama sekali. Selaras dengan hujah ini, jika kecerdasan bukan manusiawi dikenakan atau dipaksa kepada bidang pendidikan amnya, kesimpulan yang sama , malah lebih teruk lagi boleh dijangkakan. Yakni, budaya manusiawi hakiki tidak disantuni sama sekali untuk mendapat manfaat yang menyeluruh dan sepadu seperti tuntutan FPK. Misalnya apabila bercakap tentang “pendidikan yang ada roh” berbanding dengan “tanpa roh” yang lebih “kontang” bentuknya. Malah boleh dikatakan lari jauh dari faham dan bentuk “pendidikan” mengikut FPK. Yakni, bukan dikenali sebagai “pendidikan” sama sekali.
Dengan lain perkataan, tema Kecemerlangan Pedagogi dalam Jangka Usia Kecerdasan Buatan dan Pembelajaran Digital merupakan cabaran terhebat apabila nilai manusiawi dinyahkan sama sekali melalui kerangka bukan manusiawi, yakni Kecerdasan Buatan, atau Artificial Intelligence (AI) yang disokong pula oleh pendekatan digital. Seperti mana Teori Pelbagai Kecerdasan mencabar teori satu sahaja kecerdasan (IQ) pada awalnya, pendekatan AI dan digital kini mencabar teori Gardner yang telah membawa banyak kesan dalam pembangunan manusiawi serta kemanusiaan! Ini termasuklah buku terbitan beliau pada 1999 untuk memperkayakan lagi teori kecerdasan pelbagai/majmuk. Ia berjudul Intelligence Reframed (Kecerdasan Dirangka Semula) dengan menambah dua lagi aspek: semulajadi (naturalist) dan kewujudan (existential) membawa kepada soal moral-etika serta kerohanian sesuai dengan persoalan dan cabaran abad ke-21 yang diasak oleh AI tanpa nilai manusiawi.

Disinilah sesi bertajuk Merentasi Teknologi: Mengimbangi Kecemerlangan Pedagogi dan Petimbangan Manusia dalam Jangka Usia Kecerdasan Buatan melakarkan perbincangan agak rancak. AI sebagai satu kecerdasan rata-rata bukan sahaja mencabar teori kecerdasan majmuk Gardner, malah ia tidak dianggap sebagai kecerdasan sekali pun kerana tidak bersifat “biopsikologi” berpandukan kepada definisi Gardner. Dengan kata lain pertimbangan manusia yang dicatatkan dalam tajuk sesi menjadi mutlak, kerana seperti yang difahami AI adalah “tanpa roh,” sekaligus tida- menyokong dua kecerdasan terbaharunya naturalist dan existential yang menyasar kepada sifat manusiawi dari sudut aspek semulajadi (fitrah) dan kewujudannya sebagai makhluk yang mempunyai roh, nafs beserta jiwa. Bukan setakat keberadaan semata-mata tanpa butiran seorang manusia. Dari sudut ini, keterbatasan AI, juga digital, adalah jelas dalam kerangka FPK sekiranya pertimbangan manusia sejati diabaikan dalam menzahirkan kecemerlangan pedagogi. Sayugia diingatkan “manusia” dalam kerangka FPK disasar sebagai “insan seimbang dan harmonis”, berasaskan kepada “kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.” Pendek kata, dalam Jangka Usia AI kononnya, pertimbangan manusia, disebut sebagai Insan Sejahtera, mempunyai peranan terpenting demi menyelamatkan manusia dan kemanusiaan yang mempunyai “kesejahteraan diri” melalui pelbagai kecerdasan manusiawi (biopsikologi/budaya) – bukan sifar dan kosong.
Kesimpulannya, apa yang diperlukan dalam hal ini adalah sebuah institusi adunan Insan & Teknologi tidak kira mana-mana teknologi, tidak kira apa-apa sebutannya memandangkan bahawa sifat insani itu mendahului dalam semua segi untuk mengelakkan kemelut AI tanpa roh. Contoh terkini, berbagai bibit pencabulan keselamatan siber sedunia berlaku minggu lalu, sehinggalah pencabulan adab susila tatkala imej berbogel ratusan pelajar dilaporkan tular angkara AI bertindak sewenang-wenangnya. Natijahnya, kita memerlukan sebuah cetusan institusi : UITM – Universiti Insani Teknologi Malaysia, bukan sahaja merentasi teknologi

tetapi kental dengan amalan cogan katanya – usaha, taqwa, mulia – melewati otak dan watak yang gagal menghindari apa-apa bentuk pecah amanah akibat lunturnya pertimbangan manusiawi sejagat. Semoga hal ini tercetus menjelang 26 Ogos 2029 kelak! Inshaallah.